Kapten Fiorentina, Davide Astori Mati Mengejut Pada Usia 31 Tahun

Kapten Fiorentina, Davide Astori telah meninggal dunia pada usai 31 tahun menurut kenyataan rasmi dari kelab tersebut.

Astori berada di hotel penginapan pemain bersama rakan sepasukannya yang lain bagi menghadapi perlawanan Serie A hari ini menentang Udinese di tempat lawan ketika beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Berita yang mengejutkan bolasepak Itali dan seluruh Eropah

Beliau ditemui tidak sedarkan diri selepas bermalam di dalam bilik hotelnya ketika pasukan Fiorentina menginap di Hotel La Di Moret menjelang pertemuan menentang Udinese.

Pemain antarabangsa Itali ini telah berjaya mengumpul 14 penampilan bersama pasukan kebangsaan sepanjang kariernya. Beliau merupakan produk akademi AC Milan tetapi malangnya beliau gagal membuat sebarang penampilan bersama kelab Milan tersebut sebelum dijual kepada Cagliari.

Dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Fiorentina, pihak kelab telah meminta pihak media memberikan ruang kepada ahli keluarga Astori untuk meratapi kehilangan pemain tersebut yang meninggal secara mengejut.

“Kelab bolasepak Fiorentina agak terjejas dengan perkembangan ini dan dengan berat hati mengumumkan kapten pasukan, Davide Astori telah menghembuskan nafasnya yang terakhir.”

Astori pernah dipanggil menganggotai pasukan kebangsaan Itali. Beliau selesa bermain di bahagian pertahanan tengah

“Disebabkan situasi sukar ini, bagi menghormati perasaan ahli keluarga pemain tersebut, kami meminta pihak media menjaga sensitiviti setiap pihak yang terjejas dengan kehilangan Astori.”

Perlawanan menentang Udinese yang dijadualkan bakal berlangsung hari ini telah ditunda berikutan pengumuman kematian pemain tersebut.

Dalam perkembangan terkini, semua perlawanan Serie A yang dijadualkan berlangsung hari ini telah dibatalkan bagi menghormati kehilangan Astori. Berikut adalah senarai perlawanan yang ditunda:

  1. Genoa vs Cagliari
  2. Atalanta  vs Sampdoria
  3. Benevento vs Hellas Verona
  4. Chievo Verona vs Sassuolo
  5. Torino vs Crotone
  6. Udinese vs Fiorentina
  7. AC Milan vs Inter Milan

Bekas rakan sepasukan Astori di Cagliari, Radja Nainggolan antara pemain terawal yang menulis penghargaan terhadap Astori dalam laman sosial Instagram miliknya.

Rakan baik Nainggolan ketika bermain bersama di Cagliari

“Pemain yang hebat, dan seorang individu yang sangat hebat. Berapa banyak ‘pertarungan’ telah kita terlibat ketika di Cagliari ? Dan kemudian kita bersatu kembali di Roma. Aku masih tidak dapat mempercayai berita ini. Takziah diucapkan kepada keluarga dan kenalan rapat Astori. RIP.”

Sepanjang karier Astori dalam bolasepak, beliau pernah bermain sebagai pemain pinjaman di AS Roma dan Fiorentina sebelum menyertai Fiorentina secara tetap dua tahun lepas. Sebelum itu, beliau bermain selama 6 tahun bersama Cagliari.

Astrori merupakan salah seorang pemain dalam skuad Itali yang beraksi di Piala Konfederasi 2013 Brazil. Beliau berjaya menjaringkan gol pertamanya dalam kancah antarabangsa ketika perlawanan play-off menentukan tempat ke-3 dan ke-4 menentang Uruguay. Itali menang perlawanan tersebut.

BACA:  Serie A: Fiorentina 0-2 Juventus