Kejohanan AFF Bawah 19 Tahun 2015 : Singapura 0-4 Malaysia (video)

Malaysia melakar kemenangan kedua pada kempen Kejohanan AFF Bawah 19 Tahun 2015 di Vientiane, Laos selepas membelasah Singapura 4-0 pada perlawanan kedua di Stadium Nasional Laos, sebentar tadi.

Pada aksi pembukaan kelmarin (Ahad), skuad B-19 negara kendalian ketua jurulatih Hassan Sazali Mohd Waras menewaskan Timor Leste 2-1.

Penyerang berbahaya, Jafri Firdaus Chew muncul wira apabila meledak dua gol pada minit ke-15 melalui tandukan kemas dan pada minit ke-21 melalui sepakan percuma.

Bersambung separuh masa kedua, penjaga gol, Muhd Hazrul Hafiz bertindak cemerlang untuk menyelamatkan sepakan penalti Singapura pada minit ke-62 sebelum pemain pertahanan, Nazirul Afif menjaringkan gol ketiga dan Danial Ashraf melengkapkan kemenangan bergaya Malaysia.

Terdahulu pada satu lagi perlawanan Kumpulan B, Vietnam menewaskan Timor Leste 2-0.

Perlawanan ketiga bakal menyaksikan skuad B-19 kebangsaan menentang Vietnam, Khamis ini (27 Ogos 2015) pada pukul 8 malam (Waktu Malaysia).

KOMEN JURULATIH MALAYSIA B-19, HASSAN SAZALI MOHD WARAS

“Terima kasih kepada semua pemain dan barisan kejurulatihan yang berkerjasama untuk mencapai kemenangan pada hari ini, pemain mula mendapat rentak permainan mereka yang sebenar dengan hantaran-hantaran kemas di bahagian tengah, dengan membuat 4 pertukaran pemain dalam kesebelasan utama pada hari ini.

“Terutamanya di bahagian tengah ternyata memberi kesan kepada pasukan. Dari perlawanan ini juga, saya dapat melihat pemain-pemain yang akan diturunkan dalam perlawanan menentang Vietnam pada Khamis ini (27 Ogos 2015).

“Saya berharap beliau (Jafri Firdaus Chew) terus dapat mengekalkan persembahan beliau.”

KEPUTUSAN HARI INI – 25 OGOS 2015

KUMPULAN B

FT | TIMOR LESTE 0-2 VIETNAM
Lam Thuan m-28,
Nguyen Tien Linh m-88

FT | MALAYSIA 4-0 SINGAPURA
Jafri Firdaus Chew m-15, m-21,
Nazirul Afif m-66,
Danial Ashraf m-87

BACA:  Sukan SEA: Umar Lakar Kejutan, Shereen Tepati Ramalan Emas Dalam Acara 400m