Kelab Arab Saudi Batal Niat Pancing Wijnaldum

Deretan pemain berstatus bintang bola sepak Eropah kini sedang dipujuk dengan bayaran gaji lumayan untuk berhijrah ke Arab Saudi.

Asalkan pernah beraksi dengan mana-mana kelab utama di liga utama Eropah, ia sudah cukup menjadi syarat untuk mendapat tawaran dari kelab yang beraksi di Saudi Pro League.

Namun satu-satunya pemain yang menyebabkan kelab-kelab Saudi Pro League menjauhkan diri adalah Georginio Wijnaldum.

Ini kerana bekas pemain Liverpool itu dikatakan menuntut jumlah gaji yang tidak masuk akal sehingga menyukarkan ia dipenuhi oleh kelab-kelab tersebut.

Sepanjang musim 2022/23 yang lalu pemain tengah berusia 32 tahun itu beraksi bersama AS Roma secara pinjaman.

Wijnaldum sepatutnya kembali menyertai kelab asalnya, Paris Saint-Germain (PSG) pada musim panas ini walaupun masa depannya bersama jaguh Ligue 1 itu juga masih tidak jelas.

Wijnaldum menyertai PSG pada 2021 selepas pelbagai spekulasi mengenai masa depannya, sebelum berhijrah ke Ligue 1 secara percuma daripada Liverpool.

Walaupun dianggap sebagai tonggak utama Liverpool yang menjuarai hampir kesemua trofi dipertandingkan di dunia pada ketika itu, Wijnaldum bergelut dengan prestasi bersama kelab baharunya itu sehingga memaksa beliau dipinjamkan ke Itali.

Malang terus menimpa pemain antarabangsa Belanda itu apabila terpaksa disisihkan selama 6 bulan oleh Roma akibat kecederaan.

Setelah kembali cergas, Wijnaldum sempat melakukan 23 penampilan untuk skuad kendalian Jose Mourinho sebelum sekali lagi dikaitkan dengan perpindahan ke kelab lain.

Beberapa kelab telah menyatakan minat untuk mendapatkan khidmat pemain tersebut, termasuk beberapa kelab Eredivisie seperti Feyenoord dan PSV Eindhoven.

Wijnaldum yang turut pernah menyarung jersi Newcastle baru-baru ini memberikan komen mengenai minat daripada kelab-kelab Belanda itu.

“Saya telah membaca [khabar angin] mengenai PSV dan Feyenoord sejak beberapa hari lalu.

“Saya sentiasa terbuka mengenai peluang perpindahan pada musim opanas ini. Tetapi pulang ke Belanda bukan pilihan buat saya pada masa ini,” ujar beliau.

Laporan dari Perancis kemudiannya turut mengaitkan pemain itu dengan kelab dari Arab Saudi.

Bagaimanapun pemain itu dikatakan menuntut jumlah gaji yang jauh lebih tinggi berbanding yang diterimanya bersama PSG (sekitar £8.5 juta setahun) pada ketika ini.

Berdasarkan bayaran yang diterima oleh beberapa bintang Eropah yang sudah mengesahkan perpindahan ke negara Timur Tengah, kemungkinan permintaan Wijnaldum terlampau tinggi sehingga dianggap tidak masuk akal oleh kelab-kelab dari Arab Saudi.

Sebagai perbandingan Karim Benzema yang menyertai Al Ittihad daripada Real Madrid dibayar £172 juta setahun untuk kontrak selama tiga tahun.

Manakala N’Golo Kante yang mengesahkan perpindahan daripada Chelsea untuk menyertai kelab kendalian Nuno Espirito Santo pula menerima £21.5 juta setahun.

Cristiano Ronaldo menerima bayaran paling mahal apabila dibayar £173 juta setahun oleh Al Nassr.

Jumlah bayaran yang diterima oleh Benzema dan Ronaldo memang tinggi. Namun demikian pencapaian dan rekod kedua-dua pemain sebelum ini turut harus diambil kira.

Bercakap kepada L’Equippe sebelum ini Wijnaldum berkata: “Jika mereka [PSG] berkata mereka mahu saya kekal, mungkin saya akan kekal.”

BACA:  Jurgen Klopp Merendah Diri Meraikan Kemenangan Tipis Liverpool Keatas Manchester United