Kenali Bekas Pemain Kelantan dan Middlesborough Yang Menjadi Pembantu Ketua Jurulatih Mesir di AFCON 2022

Pasukan kebangsaan Mesir telah berjaya layak ke perlawanan akhir Piala Negara-Negara Afrika Eidisi 2021 selepas berjaya menewaskan tuan rumah, Cameroon menerusi penentuan sepakan penalti dalam perlawanan peringkat separuh akhir, sekaligus menempah tiket untuk bertemu Senegal.

Selepas perlawanan terikat tanpa jaringan sepanjang 120 minit, tiga pemain Mesir Ahmed Sayed, Mohamed Abdelmonem dan Mohanad Lasheen dengan tenang menyudahkan sepakan penalti masing-masing.

Vincent Aboubakar menjadi satu-satunya pemain Cameroon yang berjaya menyudahkan sepakan penalti, manakala Harold Moukoudi, James Lea Siliki dan Clinton Njie masing-masing gagal meletakkan bola ke belakang jaring sekaligus menamatkan cabaran Cameroon untuk mencari kejuaraan pada tahun ini.

Pujian menggunung diberikan kepada ketua jurulatih Mesir, Carlos Queiroz yang berjaya membawa pasukan Lembah Sungai Nil tersebut ke perlawanan akhir, selepas kali terakhir melakukannya pada tahun 2017 sebelum ditewaskan oleh Cameroon.

Mula memegang jawatan tersebut sejak tahun 2021, Queiroz berjaya mencipta satu pasukan yang mapan dan mantap, meskipun tewas dalam perlawanan pembukaan AFCON tahun ini kepada Nigeria.

Memandangkan Queiroz merupakan orang Eropah dan tidak fasih berbahasa Arab Mesir, semestinya dia memerlukan seorang pembantu yang muda dan berpengalaman dari kalangan orang tempatan, seperti mana yang diperlukan oleh ketua jurulatih Malaysia yang baharu, Kim Pang-gon dan di sinilah bekas pemain Middlesborough dan Kelantan, Mohamed Shawky telah dipilih.

Nama Shawky mungkin tidak gah seperti nama Mohamed Ghaddar selaku pemain import di Malaysia yang menyarung jersi Kelantan, namun di Mesir, dia adalah seorang yang boleh diangkat sebagai legenda.

Mula mewakili pasukan kebangsaan Mesir pada tahun 2001 sehingga 2012, Shawky telah bermain sebanyak 65 perlawanan dan menjaringkan lima gol buat pasukan yang digelar Firaun tersebut.

Shawky mula bermain bola sepak pada tahun 2000, ketika berusia 19 tahun bersama kelab Al Masry di liga Mesir. Selepas tiga musim dan tampil dalam 10 perlawanan bersama pasukan utama beserta tiga jaringan gol, Shawky telah dilamar pasukan gergasi Mesir, Al-Ahly dan bersama kelab ini, Shawky terus menjadi pemain utama pasukan.

Sepanjang 2003 sehingga 2007, Shawky telah tampil dalam 119 perlawanan, dan pada tahun 2005 dan 2006, dia berjaya membantu Al Ahly menjuarai Liga Juara-Juara CAF – kalau di Eropah bertaraf UCL lah – dan layak untuk mewakili benua Afrika dalam pertandingan Kejohanan Kelab Dunia FIFA, memenangi pingat gangsa pada tahun 2006.

Pada tahun yang sama juga, Shawky telah menjulang Piala Negara-Negara Afrika yang dianjurkan di tanah airnya, menewaskan pasukan Ivory Coast dalam perlawanan akhir menerusi penentuan sepakan penalti.

Dua tahun kemudian, Shawky sekali lagi menjadi watak utama dalam membantu pasukan kebangsaannya mengekalkan AFCON yang dianjurkan di Ghana dan kali ini menewaskan pasukan Cameroon dalam perlawanan akhir menerusi jaringan legenda ulung bola sepak Mesir, Mohamed Aboutrika.

Kecemerlangannya bersama skuad Mesir dan Al-Ahly telah membuka jalan buat Shawky untuk berkelanan ke Eropah dan menyertai pasukan Liga Perdana Inggeris, Middlesborough.

Hanya kekal selama dua musim, Shawky hanya tampil dalam 18 perlawanan liga dan empat perlawanan piala domestik. Musim keduanya di England menyaksikan kelabnya tersingkir ke Liga Kejuaraan, lantas menyaksikan dia dijual kepada kelab Turki, Kayserispor.

Sepanjang setengah musim bersama Kayserispor, Shawky telah bermain sebanyak sebelas kali dan melakukan satu bantuan gol. Tidak panjang jodohnya di Turki, Shawky telah kembali ke Mesir, ke pangkuan kelab Al Ahly.

Dengan usia yang semakin meningkat, Shawky tidak banyak diturunkan untuk beraksi, namun masih sempat bermain dalam 40 perlawanan sepanjang tiga musim.

Pada tahun 2013, Shawky tertarik dengan tawaran pasukan Kelantan, dan terbang ke Malaysia untuk beraksi dalam kancah Liga Super. Selama semusim di Kota Bharu, Shawky telah tampil dalam 16 perlawanan dan menjaringkan lapan gol. Walaubagaimanapun, jodohnya bersama Kelantan tidak lama dan dia kembali ke Mesir untuk beraksi bersama Al Mokawloon selama semusim sebelum menggantung but.

Shawky bersama pasukan Kelantan. Gamabr : Kingfut

Sebaik bersara, Shawky terus mengambil bahagian dalam kejurulatihan bola sepak, dan dilantik ke dalam barisan kejurulatihan pasukan bawah-23 Mesir pada tahun 2018, sebelum diangkat menjadi pembantu Queiroz pada tahun 2021.

Rujukan :

Shawky
AFCON 2006
AFCON 2008
Transfermarkt
Labolamalaya

BACA:  Aksi Larian Pelik Pengadil AFCON Ini Mencuri Perhatian Peminat Seluruh Dunia