Kim Pan-gon telah dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan Malaysia menggantikan Tan Cheng Hoe yang meletakkan jawatan sesudah kempen Piala AFF Suzuki awal tahun ini.
Untuk rekod, Pan-gon telah dilantik secara rasminya sejak bulan Januari lalu dan mula diperkenalkan kepada umum dalam satu sidang media yang diadakan oleh FAM pada hari Khamis, 17 Februari, di Wisma FAM.
Dalam sidang media tersebut, Pan-gon berpendapat bahawa pasukan bola sepak Malaysia mempunyai potensi yang tinggi dan mampu pergi jauh.
“Pemain Malaysia ada potensi yang baik tapi mereka tidak yakin dengan diri sendiri. Jika yakin dengan diri sendiri, saya percaya mereka boleh capai sesuatu sehingga ke peringkat tertinggi di rantau ini. Saya yakin tentang tu,” ujarnya di dalam sidang media tersebut, yang turut dihadiri oleh presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, seperti yang dilaporkan di msn.com.
“Saya mampu bantu pasukan dan saya yakin pasukan mampu jadi kuat dengan berbekalkan semangat berpasukan dan beraksi sebagai satu unit.
“Kita akan dedahkan dengan permainan bola sepak moden dan beri tunjuk ajar bagaimana untuk bermain. Jika mereka memahami apa yang didedahkan dengan baik, saya yakin kita boleh berubah.”
Dalam sidang media yang sama, Pan-gon turut memperkenalkan kumpulan jurulatih yang dibawanya bersama demi memberikan yang terbaik buat Harimau Malaya yang kini sedang agak tempang.
Pau Marti Vicente akan bertindak selaku penolong jurulatih, Cho Jun-ho pula bakal mengendalikan sesi latihan penjaga gol, Dr Gokhan Kandemir bertugas sebagai jurulatih kecergasan dan Lim Jae-hun selaku penganalisis prestasi pasukan.
Jadi, siapakah lima sekumpulan yang bakal menghadapi tekanan daripada seluruh pencinta bola sepak di Malaysia ini?
Kim Pan-gon
Jurulatih ini dilahirkan pada 1 Mei 1969 dan selaku pemain, Pan-gon telah beraksi untuk lima pasukan, Ulsan Hyundai dan Jeonduk Hyundai Motors di Korea Selatan dari 1992 sehingga 1997, sebelum menamatkan kariernya di Hong Kong dengan bermain untuk tiga pasukan – Instant-Dict, Double Flower dan Buler Rangers.
Dalam musim terakhirnya di Buler Rangers pada tahun 2004, Pan-gon telah dilantik sebagai pengurus merangkap pemain dan pada tahun 2005, dia kembali ke Korea Selatan dengan menjadi pembantu jurulatih di Busan Park.
Pada tahun 2012, Pan-gon telah dilantik sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan Hong Kong sehingga 2017. Sepanjang dia bersama pasukan kebangsaan negara bekas tanah jajahan British tersebut, tidak banyak yang mampu dia lakukan kerana kebanyakan pemain bola sepak di Hong Kong adalah bertaraf semi professional.
#News | 🇲🇾 The FA of Malaysia (FAM) today unveiled Kim Pan Gon as the head coach of the Malaysian national team in a media conference at Wisma FAM today, upon completing the stipulated quarantine period following his arrival from Seoul.
📸 #FAM pic.twitter.com/9lewpNVLq5
— ASEAN FOOTBALL (@theaseanball) February 17, 2022
Demi memperkuatkan lagi pasukan tersebut, Pan-gon bertindak mengambil beberapa pemain naturalisasi seperti Festus Baise dan juga Itaparica, tetapi ditentang hebat oleh penyokong pasukan tersebut.
Tidak endahkan penyokong, Pan-gon telah menyiram minyak ke atas api yang marak dengan menambah lagi beberapa pemain naturalisasi, di samping menerapkan gaya permainan yang konservatif dan tidak menyerang, lantas membuatkan para penyokong melaungkan slogan “Kim Out” sewaktu Hong Kong bertemu Korea Utara.
Pan-gon meletakkan jawatan selaku ketua jurulatih di Hong Kong pada tahun 2017 dan kembali ke Korea Selatan untuk menggalas tugas selaku pengarah teknikal, sebelum disambar oleh FAM pada tahun ini.
Pau Marti Vicente
Pau Marti Vicente mungkin bukan nama besar dalam arena kejurulatihan bola sepak tetapi dia adalah watak penting dalam pembangunan bakat di akademi terkenal di dunia, La Masia, milik Barcelona.
Memegang lesen kejurulatihan pro keluaran UEFA, Vicente merupakan pembantu pengurus kepada pasukan bawah 18 tahun Barcelona dan mula bersama akademi tersebut sejak tahun 2017, selepas berkhidmat selaku pembantu jurulatih di Kitchee FC, Hong Kong, serta Adelaide Untied di Australia.
Antara pemain yang pernah digilap oleh Pau Marti adalah Riqui Puig, Alvaro Sanz, Arnau Comas, Anrau Tenas dan juga bintang yang semakin meningkat naik, Ansu Fati.
Kesemua pemain yang disebut adalah pemain skuad utama pasukan Barcelona pada hari ini dan menjadi kebanggaan La Masia yang tidak putus-putus melahirkan pemain berbakat.
Cho Jun-ho
Jun-ho merupakan bekas penjaga gol pasukan di Liga Korea di mana dia telah menyarung jersi empat pasukan sejak tahun 1996 sehingga 2010 dengan mewakili Korea Housing & Commercial Bank, Pohang Steelers, Jeju United dan juga Daegu FC.
Tahun 2006 menyaksikan Jun-ho telah dipanggil untuk menyertai kem latihan pasukan kebangsaan Korea Selatan namun tidak membuat sebarang penampilan bersama pasukan yang digelar Pahlawan Taeguk itu dan hanya diletakkan di bangku simpanan.
Sebaik bersara, Jun-ho telah menyambung khidmatnya di dalam bola sepak dengan menjadi jurulatih penjaga gol di pasukan Daegu FC, sebelum berpindah ke FC Seoul pada tahun 2014 selaku jurulatih bagi penjaga gol pasukan bawah 15 tahun pasukan sehingga 2019.
Chiangrai United menjadi pilihan Jun-ho pada tahun 2019 di mana dia berkelana ke Thailand dan menjadi jurulatih penjaga gol pasukan tersebut.
Dr. Gokhan Kandemir
Berasal dari Turki, Dr. Gokhan Kandemir merupakan jurulatih kecergasan dan telah berkhidmat di enam kelab di dalam liga Turki. Pada tahun 2014, Dr. Gokhan mula menjadi jurulatih kecergasan di kelab semi pro, 1461 Trabzon.
Pada musim 2016-17, Dr. Gokhan berpindah ke kelab Gaziantepspor sebelum menyertai pasukan bawah 21 Trabszonspor. Pada musim berikutnya, Dr. Gokhan berkhidmat sementara di kelab Ankaragucu sebelum kembali ke Trabzonspor untuk menjadi jurulatih kecergasan pasukan utama.
Pada bulan Ogos 2021, Dr. Gokhan telah mula berkhidmat bersama kelab Kocaelispor sebelum khidmatnya disambar oleh Pan-gon dan Harimau Malaya pada tahun ini.
Nota kaki : Tidak banyak info tentang jurulanalisis, Lim Jae-hun. Maka tidak dapat kami kongsikan kisah hidup beliau pada waktu ini.
E. Elavarasan
Elangowan Elavarasan atau E. Elavarasan dengan nama timangan Ela menggalas tugas sebagai penolong jurulatih tempatan dalam barisan kejurulatihan Harimau Malaya yang diketuai Kim Pan Gon.
Elavarasan yang lahir pada 5 Januari 1962 kini merupakan ketua jurulatih Sarawak United FC, jawatan yang disandangnya sejak Februari 2020 yang mana beliau berjaya membawa pasukan itu muncul naib juara Liga Premier 2021, sekali gus layak ke Liga Super 2022.
Siaran Media: Kim Pan Gon Pilih E. Elavarasan Penolong Jurulatih Harimau Malaya
Baca penuh di https://t.co/8EUGsPSanS
—-
Media Release: Kim Pan Gon Selects E. Elavarasan As Harimau Malaya Assistant Coach
Read more at https://t.co/8EUGsPSanS#FAM #HarimauMalaya pic.twitter.com/1TFn109J3e
— FA Malaysia (@FAM_Malaysia) February 23, 2022
Menurut Pan Gon, pemilihan jurulatih berusia 60 tahun kelahiran Selangor itu menepati kriteria utama yang dikehendakinya iaitu seorang jurulatih yang berpengalaman luas dengan senario bola sepak Malaysia dan cukup mengenali pemain-pemain yang sedang beraksi dalam kancah Liga Super dan Liga Premier.
“Selepas meneliti calon-calon yang telah ditemu duga oleh Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell sebelum ini, saya sendiri telah bertemu Elavarasan untuk menemu duga beliau yang mana saya melihat Elavarasan sebagai calon terbaik dan individu paling sesuai untuk membantu saya dalam memberi informasi tepat, nasihat dan pendapat serta beberapa perkara lain.
“Saya melihat Elavarasan sebagai seorang jurulatih yang jujur, komited dan beliau sedia untuk memberi sepenuh kerjasama dalam usaha membantu kami barisan kejurulatihan baharu ini mengembalikan skuad Harimau Malaya ke satu tahap prestasi yang lebih baik,” kata Pan Gon.
Sumber rujukan karier setiap individu : Transfermarkt dan Wikipedia.