Kenali Sandro Tonali, Pemain Muda Yang Dicanang Bakal Gantikan Tempat Andrea Pirlo

Jurulatih Itali, Roberto Mancini telah memanggil seramai 27 pemain untuk menghadapi perlawanan terakhir UEFA Nations League menentang Portugal yang dijadualkan berlangsung pada 18 November nanti di San Siro.

Namun apa yang mencuri perhatian adalah tindakan Mancini memanggil seorang pemain berusia 18 tahun yang bernama Sandro Tonali. Pemain tengah itu beraksi untuk Brescia dalam saingan Serie B dan telah menjadi tonggak utama untuk pasukan tersebut pada usia yang sangat muda.

Sebijik macam Pirlo

Prestasi cemerlang Tonali musim ini telah menarik perhatian beberapa kelab besar Itali seperti Juventus dan AS Roma yang dijangka membuat bidaan secara rasmi dalam masa terdekat ini. Selain itu, beliau juga telah menarik minat pengurus Chelsea, Maurizio Sarri yang sanggup membayar €30 juta kepada Brescia bagi memastikan pemain muda itu bermain di England.

Corak permainan Tonali juga hampir sama seperti legenda Itali yang bersara tahun lepas, Andrea Pirlo. Pirlo dan Tonali bermain di posisi yang sama, jadi tidak hairanlah peminat mula membuat perbandingan di antara kedua pemain ini.

Antara kekuatan yang dimiliki Tonali adalah kebolehan beliau melakukan hantaran dan juga kreatif dalam menggunakan bola. Bukan itu sahaja, Tonali juga mempunyai susuk tubuh dan wajah yang hampir sama seperti Pirlo. Anda boleh nilaikan sendiri cara beliau mengambil sepakan percuma dalam gambar di bawah ni. Sama macam Pirlo kan ?

Tonali sudah melakukan 19 penampilan bersama Brescia sejak melakukan debut pada Ogos tahun lepas. Beliau dicanang bakal menjadi komponen penting dalam skuad kebangsaan Itali untuk tahun-tahun yang mendatang berdasarkan persembahan cemerlang beliau dalam Kejohanan Eropah Bawah 19-Tahun yang baru sahaja berakhir.

Walaupun beraksi di liga bawahan, ia tidak menghalang Mancini untuk memanggil Tonali bagi menghadapi perlawanan antarabangsa menentang Portugal dan Amerika Syarikat tidak lama lagi.

Mengikut laporan dari akhbar Itali, beliau telah menerima panggilan telefon dari orang kuat Juventus, Guisuppe Marotta beberapa hari yang lalu untuk menyatakan minat terhadap pemain tersebut.

Jika Juventus berjaya mendapatkan khidmat Tonali, beliau akan mengikut jejak langkah Pirlo yang memenangi pelbagai trofi ketika menyarung jersi hitam putih Old Lady tidak lama dahulu.

Saksikan video di bawah jika anda mahu mengenali pemain yang digelar ‘Azam Azih Itali’ ini dengan lebih dekat.

BACA:  Individu Ini Meneka Tepat Keputusan Turki 0-3 Itali Temasuk Senarai Penjaring