Kenapa Arsenal Mahukan Raya Ketika Mereka Sudah Mempunyai Ramsdale

Arsenal sedang mencari peluang untuk berunding dengan Brentford dalam usahanya membeli David Raya. Kelab dari Utara London itu mahu membeli Raya supaya dia dapat memberi saingan kuat kepada penjaga gol nombor 1 semasa iaitu Aaron Ramsdale. Namun sehingga hari ini Brentford belum menerima sebarang tawaran rasmi dari mana-mana kelab.

Gergasi Bundesliga, Bayern Munich antara kelab yang berminat untuk mendapatkan Raya tetapi mereka cenderung untuk melakukan urusniaga itu secara pinjaman. Dalam kes ini Brentford mahu Raya menyambung terlebih dahulu kontraknya yang akan tamat pada Jun 2024 sebelum perbincangan dengan Bayern boleh diteruskan.

Penjaga gol berusia 27 tahun itu lebih berminat menyertai projek jangka panjang Arsenal disamping dapat kembali bersama dengan bekas jurulatih penjaga golnya di Brentford, Inaki Cana yang kini bersama Arsenal.

Cana merupakan individu paling berjasa dalam karier Raya. Jurulatih penjaga gol ini telah membawanya ke Brentford dari Blackburn. Di Brentford karier Raya mula menunjukkan graf peningkatan luar biasa sehingga dilabelkan antara penjaga gol moden terbaik di liga paling sukar didunia.

Pada musim lepas Raya telah bermain dalam kesemua 38 perlawanan liga dan pasukan itu muncul sebagai pasukan kelima terbaik dari sudut defensif – hanya bolos 46 kali.

Situasi di Arsenal, penjaga gol keduanya, Matt Turner sedang berada dalam radar Nottingham Forest. Pada jendela perpindahan kali ini Forest mahu membeli dua penjaga gol baru. Turner dan Dean Henderson dari Manchester United merupakan dua pemain yang dimahukan oleh kelab itu.

Terdapat perbezaan tentang harga dari kedua-dua kelab itu dan Arsenal tidak memberi jaminan mereka akan menjual Turner. Namun Arsenal sedar Forest akan terus mengekalkan minatnya terhadap penjaga gol yang berusia 29 tahun itu. Arsenal tidak menutup pintu dan terus akan mengadakan dialog sekiranya Forest kembali lagi.

Apa set kemahiran yang dimiliki Raya

Ball playing ability telah menjadi sebahagian perkara penting dalam set kemahiran seorang penjaga gol hari ini, atau lebih dikenali sebagai penjaga gol moden. Raya mempunyai kemahiran ini dan dia telah membuktikan dirinya antara penjaga gol terhandal di Liga Perdana Inggeris melalui kemahiran tersebut.

Dibawah Thomas Frank, Raya sentiasa bermain short passes dengan bek-tengahnya namun keupayaan untuk melakukan chip ke bahagian-tengah juga cemerlang. Brentford meraih manfaat dari keupayaan Raya dalam mempelbagaikan bentuk serangannya dan ia sukar diramal oleh pasukan lawan.

Raya juga telah menunjukkan dirinya seorang shot stopper yang mantap. Tiga perkara yang sentiasa menjadi dambaan kelab dari seorang penjaga gol adalah pengedar bola yang baik, shot stopper yang baik dan konsistensi. Raya memiliki ketiga-tiganya.

Apa kesan kepada Ramsdale jika Arsenal membeli Raya

Sejak 2 musim lepas Ramsdale antara pemain yang telah mengangkat Arsenal ke tahap mereka capai pada hari ini. Pada tahun 2021, dia cemerlang ketika pasukannya masih goyah dan belum seimbang. Ramsdale telah memberi dimensi baru melalui permainan dengan bola dikakinya.

Dengan sumbangan dan kualiti tersebut disamping wataknya di luar padang, pada Mei lepas Arsenal telah menghadiahkan satu kontrak jangka panjang kepadanya.

Pemburuan untuk mendapatkan Raya tidak akan sama seperti ketika membeli Ramsdale satu ketika dahulu. Ramsdale dibeli kerana Bern Leno bukan jenis penjaga gol yang Mikel Arteta mahukan tetapi Ramsdale dan Raya mempunyai ciri-ciri yang sama.

Terdapat dua atau tiga sebab mengapa Arsenal mahu mendapatkan Raya walaupun mereka sudah mempunyai Ramsdale.

1. Arsenal mahu memberi persaingan di setiap posisinya. Kualiti antara dua penjaga akan dirapatkan dan margin untuk kedua-dua penjaga gol tersebut akan dikecilkan.

Arteta sedar dia perlu meningkatkan kualiti pasukannya jika mereka benar-benar berhasrat untuk bersaing dengan Manchester City. Pada musim lepas Arsenal mempunyai terlalu banyak posisi yang sudah mempunyai pemain tetap.

Pada musim ini Ben White akan mendapat persaingan dari Jurrien Timber. Selepas ketibaan Declan Rice, Thomas Partey perlu mencari semula prestasinya dan Gabriel Jesus tahu Kai Havertz boleh memberi tawaran berbeza sebagai penyerang.

2. Raya berada di pasaran kerana kontraknya hanya berbaki 12 bulan, lebih-lebih lagi Raya sudah lama berada dalam senarai sasarannya dan mempunyai ciri-ciri yang sesuai dengan pasukannya.

3. Dengan memasukkan Raya, Turner boleh dijual ke Nottingham Forest. Melalui Raya usia penjaga gol boleh diturunkan dan menjadi sedikit muda. Turner berusia 29 tahun dan Raya berusia 27 tahun.

BACA:  De Bruyne Beri Petanda Sanchez Bakal Sertai Manchester City