Keown: Mesut Ozil Tidak Layak Memakai Jersi Arsenal

Bekas pemain Arsenal, Martin Keown menyelar persembahan Mesut Ozil ketika mereka tumpas 1-0 di tangan Atletico Madrid awal pagi tadi dan mendakwa pemain tersebut tidak layak memakai jersi Arsenal.

Dalam perlawanan timbal balik separuh akhir Europa League awal pagi tadi, Arsenal gagal melayakkan diri ke pentas final selepas tumpas 2-1 secara aggregat, hasil jaringan tunggal daripada Diego Costa pada penghujung babak pertama.

You are not fit to wear the jersey !

Kekalahan itu juga menyaksikan pengurus Arsenal selama 22 tahun, Arsene Wenger bakal meninggalkan kelab tersebut tanpa memenangi sebarang kejuaraan Eropah.

Pengurus berasal dari Perancis tersebut pernah memimpin Arsenal layak ke dua perlawanan akhir peringkat Eropah, iaitu Piala UEFA pada tahun 2000 dan Liga Juara-Juara Eropah pada tahun 2006. Kedua-dua perlawanan tersebut berakhir dengan kekalahan buat Arsenal dan Wenger akan meninggalkan Arsenal tanap mengecapi sebarang kejayaan di peringkat Eropah.

Keown merupakan produk akademi Arsenal dan bermain untuk Arsenal selama 13 tahun. Beliau mengecapi zaman kegemilangannya ketika bermain di bawah Arsene Wenger, dimana beliau berjaya menjuarai Liga Perdana Inggeris sebanyak 3 kali.

Keown merupakan panel jemputan BT Sport untuk mengulas perlawanan Atletico Madrid menentang Arsenal awal pagi tadi dan beliau telah mengkritikpersembahan Mesut Ozil yang didakwanya tidak layak menyarung jersi Arsenal.

Tangisan buaya dari Ozil tidak mampu memperdayakan Keown

“Saya dapat melihat tangisan buaya dari Mesut Ozil [tangisan yang tidak ikhlas]. Beliau tidak dapat menipu saya. Saya berani bertaruh beliau tidak mahu bermain lagi musim ini.”

“Ozil akan mengalami masalah emosi hujung minggu ini dan tidak akan turun beraksi menentang Burnley. Bagi saya, beliau tidak layak menyarung jersi Arsenal dalam perlawanan tadi. Sudah banyak kali saya melihat persembahan sebegitu daripada beliau musim ini.”

Arsenal terlepas beberapa peluang untuk menyamakan kedudukan di Madrid tetapi dikecewakan oleh penyudah bahagian serangan yang tumpul dan pertahanan Atletico Madrid yang bertahan dengan cukup baik.

Tersingkirnya Arsenal dari Europa League mengakhiri impian mereka untuk bermain dalam Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan dan Keown telah mengenalpasti pemain antarabangsa Jerman tersebut sebagai punca utama.

“Sudah lama saya tidak gembira dengan persembahan Ozil. Beliau kelihatan seperti memilih untuk bermain dengan baik dalam perlawanan tertentu sahaja.”

“Itu bukan persembahan yang baik daripada Ozil. Beliau tidak memberikan segala-galanya kerana saya tahu beliau lebih baik dari apa yang dipamerkannya dalam perlawanan tadi. Peminat Arsenal mengharapkan lebih dari Ozil kerana beliau adalah juara dunia.”

Costa sekali lagi menjadi duri dalam daging buat Arsenal

Walaubagaimanapun, seperti biasa Arsene Wenger tidak bersetuju dengan komen Keown terhadap Ozil dan mempertahankan pemain yang dibelinya dari Real Madrid pada tahun 2013.

“Kita kalah sebagai satu pasukan. Anda dapat lihat dari analisis perlawanan yang Ozil telah memberikan persembahan yang baik. ”

“Ia merupakan perlawanan yang sukar. Dari segi fizikal, ia sangat tegang. Saya yakin Ozil tidak patut menjadi mangsa oleh sesiapa disebabkan kami gagal menjaringkan gol.”

BACA:  Adebayor Nyatakan Kebenciannya Terhadap Wenger, Puji Kejujuran Mourinho