Kepulangan Bak Seorang Wira Yang Bernama Phil Jones Selepas 707 Hari

Pemain pertahanan Manchester United yang mungkin sudah dilupakan ramai, Phil Jones melakukan satu kepulangan yang dinanti bak seorang wira selepas 707 hari tidak beraksi.

Perlawanan menentang Wolverhampton Wanderers menjadi medan kepulangan Jones yang kali terakhir beraksi pada Januari 2020 di Piala FA ketika menentang Tranmere Rovers.

Harry Maguire tidak dapat diturunkan selepas mengalami kecederaan dengan pilihan yang ada adalah Raphael Varane yang tidak cergas, Victor Lindelof baru bebas jangkitan dan Eric Bailly akan ke kejohanan Piala Negara Afrika (AFCON).

Ralf Rangnick tiada pilihan lain dengan menggandingkan Raphael Varane dan Phil Jones yang pemain paling lama berkhidmat bersama Setan Merah, 10 tahun 183 hari.

Untuk perlawanan Premier League, ini merupakan perlawanan pertama Phil Jones selepas 712 hari.

Ini merupakan tempoh terpanjang untuk mana-mana pemain Setan Merah yang tidak meninggalkan kelab termasuklah pemain yang dipinjamkan untuk kembali beraksi di Premier League.

Walaupun nampak berkarat tanpa perlawanan kompetitif hampir dua tahun aksi separuh masa pertama Jones boleh dikatakan agak padu menggagalkan 15 percubaan Wolves.

Statistik separuh masa pertama Jones vs Wolves:

100% duels won
96% pass accuracy
4 ball recoveries
3 blocks (most)
2 interceptions (=most)
2 tackles
1 clearance

Secara keseluruhannya untuk perlawanan menentang Wolves ini Jones amat cemerlang selama lama bertapa namun tidak mampu menghalang kekalahan setan merah.

Statistik penuh masa Jones vs Wolves:

90% pass accuracy
60 touches
8 duels contested
7 duels won
7 ball recoveries
3 tackles
3 blocked shots
2 clearances
2 interceptions
1 take-on

Rangnick Beri Jones Sinar Harapan

Pemain pertahanan Manchester United, Phil Jones yang mungkin sudah dilupakan ramai tetapi harus diingat Jones masih lagi merupakan pemain Manchester United hingga kini.

Sejak pemergian Ole Gunnar Solskjaer, nama Phil Jones kembali wujud dalam senarai pemain dibangku simpanan, hampir untuk semua perlawanan walaupun masih tidak diturunkan.

Pengurus Interim Manchester United, Ralf Rangnick sudah berhajat mahu menurunkan Phil Jones dalam perlawanan terakhir Champions League di peringkat kumpulan menentang Young Boys namun tidak kesampaian.

Ibarat cinta terhalang oleh orang tua, Phil Jones tidak dapat digunakan Ralf Rangnick dalam perlawanan itu kerana nama Jones tidak didaftarkan untuk skuad Manchester United di kejohanan Eropah itu.

Menurut The Athletic, pengurus interim Manchester United, Ralf Rangnick teramat kagum dengan Jones sejak ketibaannya di kelab itu dan merancang untuk memilih pemain pertahanan itu untuk perlawanan menentang Young Boys.

Pemain berusia 29 tahun itu bergelut mencari peluang di bawah bekas pengurus Ole Gunnar Solskjaer dan penampilan terakhir Jones bersama pasukan utama adalah ketika menentang Tranmere pada Januari, 2020.

Jones ternyata adalah seorang pejuang yang terus berusaha untuk mendapat tempat, kegigihan Jones inilah yang membuat Rangnick kagum dan menyenaraikan namanya di bangku simpanan ketika dua perlawanan terakhir menentang Crystal Palace dan Norwich.

Jones tidak diturunkan Rangnick dalam perlawanan menentang Crystal Palace dan Norwich kerana kekaguman saja tidak cukup untuk Rangnick mengambil risiko dalam dua perlawanan wajin menang itu.

Menurut laporan itu juga Jones gigih berjuang untuk mendapatkan tempat kembali apabila meminta untuk beraksi bersama pasukan simpanan menentang Chelsea bagi mendapatkan kembali kecergasan perlawanan.

Jones telah pun beraksi untuk pasukan simpanan tiga kali musim ini dalam perlawanan menentang Arsenal, Brighton dan bekas kelabnya Blackburn.

Bekas pemain antarabangsa England, Jones telah bergelut untuk mendapatkan kembali kecergasan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dengan kecederaan lutut yang serius menyebabkan dia tidak dapat bermain selama kira-kira 18 bulan.

Semulajadi

Bercakap awal tahun ini, bekas bos United, Solskjaer memuji komitmen Jones dan mempertahankannya daripada kritikan kerana kekurangan aksi bola sepak pasukan utama.

Namun tidak diberikan peluang walaupun untuk perlawanan Piala Liga.

“Phil melalui tempoh 18-19 bulan yang mengerikan dan mungkin setahun sebelum itu juga dengan kecederaan.” Solskjaer memberitahu laman web kelab suatu ketika dahulu.”

“Phil adalah jenis lelaki yang tidak cerewet, suka bergaul dengannya. Saya tahu lebih daripada sesiapa sahaja bagaimana rasanya tercedera pada peringkat itu.

“Dia belum berumur 30 tahun. Sejak saya datang ke sini, dia bertarung dengan kecederaan lutut ini, dia meletakkan badannya di barisan, setiap sesi latihan, setiap perlawanan.”

Aksi Cemerlang Jones Gagal Elak Kekalahan Setan Merah

Keputusan seri antara Liverpool dan Chelsea ditambah pula dengan kekalahan Arsenal kepada Manchester City membuka kepada Manchester United mengejar kedudukan keempat dan mengurangkan jarak mata dengan pasukan atasan.

Dengan kelebihan satu perlawanan, tiga mata perlu dicari Setan Merah bagi meletakkan diri dikedudukan aksi Eropah dan turun menentang Wolverhampton Wanderers sepatutnya tiada masalah.

Pemain pertahanan termahal dunia, Harry Maguire tidak dapat diturunkan kerana mengalami kecederaan, Raphael Varane dijangkan bergandingan dengan Eric Bailly atau Victor Lindelof.

Namun Ralf Rangnick membuat kejutan apabila menurunkan Phil Jones yang sudah lama diperam di kesebelasan utama.

Ini merupakan kali pertama Phil Jones bermula dari kesebelasan utama dalam tempoh 707 hari. Kali terakhir Jones melakukannya pada Januari 2020.

Bruno Fernandes dan pemain tonggak serta kesayangan peminat Manchester United masih lagi tidak diturunkan. Cristiano Ronaldo telah diberikan lilitan lengan sebagai ketua pasukan.

Old Trafford yang menjadi gelanggang keramat setan merah tidak lagi menggentarkan jiwa lawan, Wolverhampton Wanderers tenang menguasai perlawanan menentang taktikal genius Ralf Rangnick.

Tiada apa yang berubah dengan permainan Setan Merah yang nampak tidak jelas apa yang mahu dilakukan dengan hantaran berterabur dan setiap unit tidak bersambung seperti sel otak.

Selepas 20 minit tiada apa yang istimewa dari Manchester United yang hanya melakukan dua percubaan sahaja tanpa percubaan tepat berbanding Wolves dengan 8 percubaan dan tiga percubaan tepat.

Percubaan dilakukan kedua-dua pasukan sangatlah tidak berbahaya untuk membeliakkan biji mata.

Seperti perlawanan lepas bahagian tengah Manchester United terus hilang dan tidak menjadi titik penyambung permainan ditambah pula dengan aksi hantaran kebelakang.

Sesungguhnya perlawanan separuh masa pertama bapak bosan dan mujurlah perlawanan pukul 1.30 pagi bukan 4 pagi.

Setan Merah bernasib baik walaupun beraksi buruk kerana penyudah tumpul Wolves. Phil Jones jelas nampak berkarat namun mampu menyerap asakan.

Wolves telah melakukan 15 percubaan pada separuh masa pertama, rekod terbanyak percubaan di separuh masa pertama sejak musim 2003/04 yang berjaya dicipta pasukan pelawat

Lima minit pertama babak kedua menyaksikan Manchester United menguasai perlawanan namun hanya satu pecubaan sahaja berjaya dilakukan berbanding Wolves tiga percubaan.

Setan Merah masih lagi tiada kreativiti dan keserasian serta tidak bermain sebagai satu pasukan dan Wolves terus mencari sentuhan penyudah.

Mason Greenwood yang gagal berfungsi telah dikeluarkan dan Bruno Fernandes telah dimasukkan untuk menambah seri.

Pada minit ke-65, Bruno Fernandes mendapat peluang terbaik dari hantaran Nemanja Matic tetapi telah di nafikan palang.

Cristiano Ronaldo memecahkan kebuntuan dengan satu sudulan tajam menerjah gawang tetapi dibatalkan kerana offside.

Kemudian Ronaldo berjaya lepasi perangkap offside, percubaan dari sudut sempit tersasar.

Bruno Lage telah memasukkan Adama Traore yang menjadi titik penting serangan balas pantas. Rasford dimasukkan menggantikan Sancho.

Hasil serangan balas Adama Traore, Wolves berjaya mendapatkan sepakan percuma di luar kotak.

Sepakan percuma dari Romain Saiss semuanya tampak sempurna tetapi palang yang menjadi penghalang.

Pada minit ke-82 ketika pengulas menyebut Fergie Time, Joao Moutinho akhirnya memecahkan kebuntuan dengan satu rembatan kaki kiri yang sangat manis mencari penjuru.

David De Gea tertewas jua akhirnya, Joao Moutinho telah mengajar rakan senegaranya, Ronaldo dan Fernandes bagaimana menjaringkan gol.

Marcus Rashford masuk tidak memberi impak dan masih lagi mengarut seperti perlawanan sebelum ini.

Selepas jaringan Joao Moutinho itu, Wolves terus bersemangat dan tidak lagi bertahan dan melancarkan serangan bertali arus untuk membunuh perlawanan.

Pengorbanan Jones diminit akhir perlawanan untuk mendapatkan sepakan percuma dengan menghulurkan kepala ke kaki lawan hampir membuahkan hasil.

Sepakan percuma Bruno Fernandes tidak mampu menewaskan penjaga gol Wolves, Jose Sa dan Ralf Rangnick merasai kekalahan pertamanya.

Tahun 2022 dimulakan Setan Merah dengan kekalahan. Ini merupakan kekalahan ke-6 setan merah di Premier League musim ini.

Buat pertama kalinya dalam sejarah kewujudan Wolves menang di Old Trafford dalam perlawanan Premier League. Kali pertama Wolves menang di Old Trafford 42 tahun yang lalu.

Man Utd: Dde Gea, Wan-Bissaka, Varane, Jones, Shaw, McTominay, Matic, Greenwood, Sancho, Cavani, Ronaldo.

Subs: Rashford, Lingard, Fred, Bruno Fernandes, Dalot, Henderson, Alex Telles, Van de Beek, Elanga.

Wolves: Jose Sa, Kilman, Coady, Saiss, Nelson Semedo, Trincao, Neves, Joao Moutinho, Marcal, Jimenez, Daniel Podence.

Subs: Hoever, Ait Nouri, Bruno Jordao, Silva, Ruddy, Dendoncker, Traore, Cundle, Bueno.

Referee: Mike Dean (Wirral)

BACA:  Jones: England Tidak Gentar Jumpa Mana-Mana Pasukan Di Peringkat Kalah Mati