Phil Jones Ada Dalam Perancangan Ole Musim Ini

Phil Jones telah diberitahu oleh Ole Gunnar Solskjaer yang beliau berada dalam perancangan pengurus dari Norway itu untuk menghadapi saingan musim baharu ini.

Ole berkemungkinan akan menggunakan semula khidmat Lord Jones pada musim baharu ini, selepas pemain pertahanan United itu tidak bermain sejak awal tahun lalu lagi.

Jones sejak tahun lalu terpaksa diketepikan kerana dibelenggu masalah kecederaan lutut, dengan penampilan terakhirnya bersama United adalah ketika aksi kemenangan 3-1 setan merah menewaskan Tranmere dalam saingan FA Cup pada Januari 2020.

Beliau ketika ini sudah pulih sepenuhnya selepas menjalani pembedahan pada tahun lalu dan turut diturunkan ketika aksi perlawanan persahabatan bertemu Burnley petang kemarin.

Pemain kebangsaan England itu dilihat sudah berada di tahap kecergasan terbaiknya dan tiada masalah untuk diturunkan dalam mana-mana perlawanan selepas ini.

Selepas berjaya melengkapkan perpindahan Raphael Varane, ramai peminat percaya yang Jones tidak akan mendapat tempat lagi, dan berkemungkinan akan dijual.

Beliau perlu bersaing dengan pemain seperti Varane, Harry Maguire, Victor Lindelof dan Eric Bailly untuk mendapat tempat dalam skuad utama setan merah.

Walau bagaimanapun, dengan pemergian Axel Tuanzebe menyertai Aston Villa sebagai pemain pinjaman, Solskjaer dilihat bakal menggunakan khidmat Jones sebagai salah seorang dari lima centre-back yang beliau miliki ketika ini.

Ketika Jones baru saja mahu membina semula kariernya di Old Trafford, para peminat sudah mula membanjiri laman twitter United untuk menghentam keputusan kelab kerana masih menyimpan pemain centre-back England itu.

“Selama ni kelab bayar gaji dia untuk apa saya pun tidak tahu, kita sepatutnya sudah tidak perlukan khidmat dia.”

“Mengapa kita masih perlukan dia? Kenapa dia masih ada dalam perancangan? Dia sepatutnya sudah tiada di sini.”

“Pembaziran paling teruk dalam sejarah kelab adalah masih menyimpan Jones yang kita semua tahu dia akan cedera lagi selepas ini.”

“Ya, dia akan bermain, lepas tu dia cedera dan kita akan terus bayar gaji dia untuk sekadar menjalani sesi rawatan sahaja di sini.”

Begitulah komen-komen dari para peminat yang sepertinya tidak gembira dengan keputusan kelab yang masih mahu menggunakan khidmat Jones.

Jones kemarin diturunkan dalam aksi perlawanan tertutup bertemu Burnley, namun penandatanganan terbaru kelab, Varane masih belum boleh diturunkan pada ketika ini.

Varane juga masih belum tentu boleh diturunkan atau tidak pada aksi bertemu Southampton nanti, dengan Jones berpotensi untuk diberi peluang membuktikan kemampuannya pada kelab.

Raphael Varane sebelum ini pernah meminta untuk memakai nombor empat, namun Jones menolak untuk memberikan nombor tersebut padanya dan beliau terpaksa memakai jersi bernombor 19.

Ketika Jones berkeras untuk tidak mahu melepaskan nombor jersinya kepada Varane, para peminat sudah mula memberi bermacam komen untuk menghentam beliau.

Ramai yang yakin beliau sepatutnya melepaskan nombor tersebut kerana masa depannya bersama kelab sudah berakhir, namun begitu, berita ini sudah tentu akan membuatkan penyokong United menangis kerana Jones sudah ada dalam perancangan Ole.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Jones: England Tidak Gentar Jumpa Mana-Mana Pasukan Di Peringkat Kalah Mati