Keputusan Pengadil Hadiahkan Penalti Kepada Perancis Cetuskan Kontroversi

Perancis telah dihadiahkan penalti yang sangat kontroversi ketika aksi perlawanan terakhir peringkat kumpulan F bertemu Portugal, awal pagi tadi.

Sentuhan yang boleh dianggap terlalu lembut tetapi mengundang penalti dan kerana itulah ia mencetuskan kontroversi dan mengundang kemarahan di kalangan peminat.

Portugal terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-31 permainan, menerusi Cristiano Ronaldo hasil dari sudut sepakan penalti.

Jaringan itu meletakkan Portugal di landasan yang tepat untuk melayakan diri mereka ke pusingan kalah mati.

Perancis yang dilihat tidak berada di tahap persembahan terbaik mereka itu kemudiannya berpeluang untuk menyamakan kedudukan selepas dihadiahkan sepakan penalti yang sangat kontroversi.

Perancis dihadiahkan sepakan penalti di penghujung aksi babak pertama permainan, selepas Kylian Mbappe dijatuhkan oleh Nelson Semedo di dalam kotak penalti.

Sebaik melihat Mbappe cium rumput, pengadil perlawanan dengan segera meniupkan wiselnya sambil memberi isyarat penalti.

Selepas menerima bantahan dari para pemain Portugal, pengadil perlawanan kemudiannya merujuk VAR, seterusnya mengesahkan penalti tersebut untuk Perancis.

Karim Benzema kemudiannya dengan tenang dan bersahaja berjaya menyumbat gol dari sudut sepakan penalti itu untuk mengikat Portugal 1-1 pada aksi babak pertama permainan.

Walau bagaimanapun, keputusan pengadil perlawanan menghadiahkan Perancis sepakan penalti itu tidak diterima dengan baik oleh pelbagai pihak.

Jermaine Jenas yang bertugas sebagai pengulas di BBC Sport antara yang paling lantang dalam membantah dan mengkritik keputusan kontroversi itu.

“Itu bukan penalti.”

Jelas Jermaine Jenas.

“Sebagai pemain full-back, itu memang kerja kamu.”

“Kamu mengesan orang yang berlari masuk dan kamu dibenarkan untuk menghalang dia.”

“Kamu boleh nampak mengapa Portugal tidak gembira. Itu tak cukup untuk berikan mereka penalti bagi saya.”

“Saya tak pasti apa yang Semedo seharusnya buat di situ tadi.”

Penyampai BBC, Rio Ferdinand turut menentang keputusan tersebut dengan menyatakan:

“Ini merupakan keputusan yang sangat teruk. Itu merupakan teknik bertahan yang cukup baik dari Semedo. Dia hanya mengarahkan badannya di antara dia dan Mbappe.”

“Sebagai seorang pertahanan, kedudukan itu membantu kamu untuk menghalang orang dari membuat larian masuk.”

“Bahkan saya rasa sentuhan itu langsung tak cukup kuat untuk dia jatuh sampai macam itu.”

Para peminat di media sosial juga kebanyakannya menganggap keputusan pengadil menghadiahkan sepakan penalti kepada Perancis adalah keputusan yang salah.

“Penalti? Mbappe jelas merebahkan badan dia, Semedo melakukan halangan yang bersih.”

“Adakah Semedo patut lepaskan saja Mbappe membuat larian masuk ke dalam tanpa perlu menghalangnya?”

“Keputusan yang teruk, terlalu jelas itu bukan penalti. Lebih teruk lagi kenapa VAR juga bersetuju yang itu adalah penalti.”

“Agak memalukan untuk melihat Perancis dihadiahkan sepakan penalti hanya dari sentuhan selembut itu. Mbappe lebih banyak habiskan masa dia untuk merebahkan badan berbanding menyerang.”

Perlawanan tersebut berakhir dengan keputusan seri 2-2 seterusnya membantu Portugal untuk mara ke pusingan kalah mati walau berada di kedudukan ketiga dalam kumpulan F.

Memandangkan Jerman juga mencatatkan keputusan seri bertemu Hungary, maka Perancis mara ke pusingan 16 terbaik sebagai Juara kumpulan F.

Portugal akan bertemu dengan Belgium di pusingan 16 terbaik, sementara Perancis pula akan berdepan dengan Switzerland.

Jerman seperti di jangka, mereka akan bertemu dengan England di pusingan kalah mati nanti, dengan Hungary terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada Euro 2020.

BACA:  Pogba Buka Mulut Mengenai Isu Beliau Dengan Mourinho