Mourinho Dakwa Gol Kemenangan Perancis Bukan Milik Pogba

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho percaya gol kemenangan Perancis ketika mereka mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Australia tidak sepatutnya diberikan kepada Paul Pogba, tetapi memuji kesungguhan yang dipamerkan Pogba untuk menghadiahkan 3 mata untuk negaranya dalam aksi pertama Piala Dunia.

Posisi terbaik Pogba sering menjadi perbualan banyak pihak dengan ramai mengatakan Mourinho tidak pandai menggunakan Pogba di posisi terbaiknya.

Mourinho juga didakwa menjadi punca mengapa Pogba bergelut dengan masalah prestasi musim lalu dan beberapa kali dipinggirkan dari terlibat dalam perlawanan penting.

Gol jaringan Pogba ketika menentang Australia merupakan jaringan ke-10 beliau di peringkat antarabangsa.

Walau bagaimanapun ketika bercakap kepada stesen radio Russia Today, Mourinho memuji peranan Pogba selaku pemain tengah ‘box to box’ dalam membantu Perancis mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas Australia.

“Bagi saya, ia bukan mengenai gol. Saya percaya gol kedua Perancis merupakan jaringan sendiri pemain Australia. Tetapi aksi keseluruhan Pogba wajar diberi pujian. Beliau mempamerkan keazaman yang tinggi untuk merealisasikan gol kedua Perancis.”

“Majoriti pemain Perancis dilihat sangat selesa dan tidak mahu mengambil risiko atau tidak yakin untuk mencipta sesuatu untuk pasukan mereka. Kylian Mbappe tidak mempunyai perlawanan yang bagus, termasuk Ousmane Dembele dan Antoine Griezmann.”

Perancis bergelut untuk mencari gol kemenangan sehingga kemasukan Nabil Fekir dan Olivier Giroud

“Barisan tengah pula terlalu mementingkan posisi mereka. Pogba pula tidak berapa terlibat dalam perlawanan tersebut. Tetapi inilah yang orang panggil sebagai aksi dari seorang pemain No.8”

“Pogba mempamerkan permainan seorang pemain tengah ‘box-to-box’. Dalam kes ini [gol kedua Perancis], Pogba menunjukkan sisi menyerang dalam peranan ‘box-to-box’.”

“Saya berasa sedikit kecewa kerana ia bukan tendangan yang bersih untuk menghasilkan gol yang sangat cantik, tetapi gol itu membantu Perancis mengutip 3 mata penuh.”

Mourinho juga berkata beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan pemilihan kesebelasan utama oleh Didier Deschamps tetapi mengakui Perancis gagal menyedari potensi yang ada pada mereka ketika berdepan pasukan yang terpaksa berhempas pulas menewaskan Syria dalam pusingan play-off Piala Dunia.

Pogba dibawa masuk Mourinho pada August 2016 dari Juventus

“Saya suka bagaimana Perancis melayan perlawanan ini – saya suka melihat 3 pemain serangan bergerak dengan bebas, Mbappe, Griezmann, dan Dembele. Mereka tidak mempunyai pemain No.9 yang sebenar tetapi taktik tersebut gagal berfungsi dengan baik.”

“Asutralia dilihat sangat selesa ketika mereka tidak mempunyai bola dan mereka juga mempunyai masa yang banyak untuk merangka pergerakan mereka ke arah kotak penalti Perancis. Barisan tengah Perancis tidak berapa bagus dalam aspek menekan pihak lawan.”

“Saya rasa idea utama setiap pasukan sepanjang 3 hari berlangsungnya Piala Dunia adalah untuk tidak terlalu ‘menekan’. Setiap pasukan dilihat sangat compact ketika bertahan dan barisan pertahanan yang teratur. Setakat ini, kita belum lagi melihat pasukan yang ‘menekan’ pihak lawan.”

BACA:  Deschamps Kritik Penyokong Perancis Yang Mengecam Pogba