Khabib Dedah Pukulan Siapa Paling Padu Pernah Beliau Rasa Ketika Kariernya Bersama UFC

Khabib Nurmagomedov telah menamakan petarung yang pernah memberi beliau rasa penumbuk paling padu sepanjang karier bersama UFC.

Apa yang pasti, penumbuk paling padu pernah Khabib Nurmagomedov rasakan bukanlah penumbuk dari seteru utamanya Conor McGregor.

Ramai yang mengatakan bahawa Conor McGregor antara petarung yang mampu membuat Khabib merasa sakit, dan beliau juga turut berjaya melepaskan tumbukan padu ketika pertarungan kedua-dua petarung itu sebelum ini.

Khabib ketika itu berjaya menewaskan McGregor selepas petarung dari Ireland itu tap-out, seterusnya mempertahankan kejuaraan lightweight UFC miliknya.

Walau bagaimanapun ramai yang merasakan McGregor sudah memberi tentangan yang menarik dan Khabib bernasib baik kerana tidak tumbang terkena beberapa das tumbukan dari petarung Ireland itu.

Namun begitu, mengikut pendedahan yang dilakukan oleh Khabib Nurmagomedov, ia sebenarnya jauh berbeza dari kesemua pendapat tersebut.

Petarung dari Dagestan itu mengumumkan persaraannya dari dunia seni bela diri campuran pada tahun lalu selepas kejayaannya menewaskan Justin Gaethje.

Beliau bersara dengan cukup bergaya kerana mempertahankan sabuk kejuaraan lightweight miliknya bertemu petarung dari Amerika Syarikat itu.

Justin Gaethje memiliki rekod 22 kemenangan dengan 19 darinya merupakan kemenangan menerusi TKO dan Khabib menganggap penumbuk petarung Amerika itu jauh lebih padu berbanding McGregor.

“Lelaki ini tumbuk saya macam sebuah trak melanggar saya.”

Jelas Khabib Nurmagomedov ketika temu bual bersama Mike Tyson dalam Hotboxin podcast.

“Tidak ada sesiapa yang menumbuk saya lebih kuat berbanding Justin Gaethje. Penyepak dia, penumbuk dia, hook kiri, hook kanan, uppercut kanan. Saya pastikan dia pukul saya, kamu tau.”

“Ketika saya masuk ke gelanggang dan saya sedang duduk, saya fikir, ‘Okay, saya akan lakukannya, saya akan bawa dia ke lautan paling dalam.”

“Saya akan buat dia penat ketika stand up fight dan saya akan bawa dia bertarung di bawah dan saya akan habiskan dia.”

Walau bagaimanapun, hal ini bukanlah sesuatu yang baru, kerana Presiden UFC, Dana White sendiri pernah memberitahu media selepas tamat acara UFC 254, yang Khabib sendiri mengadu padanya bahawa pukulan Gaethje adalah yang paling menyakitkan pernah beliau rasa di dalam octagon.

Bercakap selepas pertarungan tersebut, White menyatakan:

“Khabib beritahu saya ini ketika saya bersama dia semalam, dan saya tak tahu tentang ini, mungkin kamu semua tahu tentang ini, tapi ia adalah hal tentang segalanya yang berlaku antara dia dengan Gaethje di atas gelanggang.”

“Dia beritahu saya semalam yang dia tak pernah ditumbuk atau disepak sekuat yang Gaethje pukul dia.”

Antara sepakan padu pernah singgah ke tubuh Khabib

“Gaethje sempat menyerang dia beberapa kali dan dia fikir Gaethje nampak sedikit aneh dan dia pandang Gaethje kemudian dia kata, ‘kamu ada ‘jetlag’ ketika mereka sedang bertarung.”

“Gaethje jawab tidak dan terus melepas uppercut serta hook kiri. Khabib lepas tu cakap sesuatu lagi dan Gaethje sepak kaki dia.”

“Kemudian saya rasa ketika Khabib rebahkan dia, dan berada di atas dia, Khabib kata, ‘Sekarang apa yang mahu kamu lakukan?”

Dalam temu bual yang sama ketika Khabib bersama Mike Tyson, beliau turut mendedahkan tentang pendapatnya berkait kontroversi yang sering dicetuskan oleh McGregor.

McGregor yang pernah tewas kepada Khabib di acara UFC 229 pada tahun 2018 lalu, telah mencetuskan kontroversi dengan menghina arwah ayah petarung Rusia itu bulan lalu.

Khabib awalnya menulis di laman twitter miliknya:

“Kebaikan akan selalu menewaskan kejahatan”

Beliau menujukan status tersebut pada Dustin Poirier yang ketika itu baru sahaja menewaskan Conor McGregor di acara UFC 264 di Las Vegas.

McGregor ketika itu langsung tidak peduli dengan status tersebut, namun beberapa minggu kemudian, beliau telah memuat naik status yang mencetuskan kontroversi.

“Covid kebaikan dan ayah kejahatan.”

Beliau mungkin merasakan ia sekadar menganjing semula kenyataan dari Khabib, namun ketika beliau melibatkan individu yang sudah meninggal dunia, perbuatan itu dianggap sudah melampau.

Ramai yang mengecam McGregor pada ketika itu hingga beliau kemudiannya memadam semula muat naik tersebut dan terus mendiamkan diri berkait hal itu sehingga ke hari ini.

Bercakap ketika dalam temu bual bersama Mike Tyson di Hotboxin, Khabib mendedahkan yang hanya orang jahat sahaja yang akan menyasarkan ayah, isteri, anak atau agama seseorang.

Petarung Rusia yang kini berusia 32 tahun itu turut membahaskan tentang sikap McGregor yang sering memadam setiap status kontroversi yang beliau muat naik.

“Ketika dia bercakap tentang ini, hanya kejahatan sahaja yang akan bercakap tentang ayah kamu, seperti isteri, anak, agama.”

Jelas Khabib.

“Jika kamu manusia biasa, kamu tak akan pernah bercakap tentang hal seperti itu. Bagi saya, saya rasa dia memuat naik status itu ketika dia sedang terlalu mabuk atau ketika dia baru melakukan sesuatu. Dia juga selalu memadam status dia.”

“Ketika dia kembali menjadi normal, dia akan tengok semula telefon dia, ‘oh, apa saya sudah buat’. Lepas tu dia padam. Ini pendapat saya, apa yang selalu dia buat sebelum ini.”

Sumber: GMS

BACA:  Peminat Kritik Mike Tyson Kerana Terlebih 'Sedap' Ketika Podcast Bersama Khabib