Peminat Kritik Mike Tyson Kerana Terlebih ‘Sedap’ Ketika Podcast Bersama Khabib

Tidak ada yang lebih menarik selain dari melihat gabungan Mike Tyson, Khabib Nurmagomedov dan Henry Cejudo dalam satu podcast membincangkan hal tentang MMA.

Dengan tiga atlet terbaik dan boleh dianggap legenda dalam dunia sukan seni bela diri campuran ini bergabung dalam satu ruang, berkongsi tentang pengalaman dan ilmu mereka, sukar untuk peminat mencari kekurangan podcast tersebut.

Walau bagaimanapun, sepertinya ramai yang tidak begitu gembira dengan episod terbaru Tyson Hotboxin podcast, walaupun tetamu undangannya memang dinanti-nantikan.

Ia kerana para peminat mengesan Mike Tyson terlalu ‘sedap’ sepanjang siaran, bahkan sampai berat mulut untuk bercakap.

Memang tak dinafikan lagi ‘Baddest Man On The Planet’ itu sering menggunakan ‘bong’ untuk mendapatkan ketenangan, dan beliau tidak pernah menyembunyikan hal tersebut.

Legenda boxing heavyweight dunia itu sememangnya ada ladang sendiri, dan mempunyai kilang yang menghasilkan segala macam barangan yang berkait dengan ‘ketenangan’.

Bekas petinju yang kini berusia 55 tahun itu secara terbuka pernah mendedahkan yang beliau turut menggunakan produk keluarannya itu untuk kegunaan peribadi dan turut mencetuskan idea untuk menubuhkan podcast sendiri yang dipanggil ‘hotboxin with Mike Tyson’.

Ketika tetamu undangan terbarunya diumumkan dan nama yang disebut adalah legenda tak terkalahkan dalam sejarah UFC, Khabib Nurmagomedov, para peminat jadi semakin teruja untuk menonton episod terbaru ini.

Walau bagaimanapun, selepas satu jam rakaman podcast tersebut disiarkan di atas talian, ramai peminat yang meluarkan rasa kecewa mereka melihat Mike Tyson terlalu ‘sedap’ sepanjang siaran tersebut.

Iron Mike nampak sangat tenang dalam gambar ini

Melihat beliau tidak begitu banyak bercakap, para peminat merasakan yang Mike dah ‘kena’ terlebih dahulu sebelum merakam podcast tersebut bersama Khabib.

Ia kerana beliau tidak boleh ‘sedap’ ketika ada Khabib, kerana semua tahu bagaimana petarung dari Rusia itu patuh pada peraturan dan agama, jadi Mike ‘kena’ terlebih dahulu sebelum legenda UFC itu tiba di lokasi.

“Mike Tyson nampak macam terlampau ‘sedap’ tu, dia duduk je tak mampu bercakap.”

“Mike sedang berkomunikasi dengan dunia lain, jasad dia saja ada di situ, tapi dia sudah sampai ke planet lain.”

“Adakah kita semua kena diamkan saja diri kita untuk melihat Mike ‘layan’ sekilo ‘benda’ tu sebelum bermulanya podcast, dan beliau kononnya mahu menghormati Khabib jadi seolah tak menghormati kerana langsung tak bercakap sepanjang podcast tersebut.”

“Mike bernasib baik Cejudo dan Khabib pada bawa diri sendiri dalam rancangan ini, pujian harus diberikan pada Cejudo yang mengambil tugas Iron Mike dengan sangat baik.”

Begitulah komen-komen dari para peminat di youtube yang tidak selesa dengan tindakan Mike.

Peminat merasakan yang Mike agak keterlaluan kerana beliau tidak sepatutnya melakukan hal seperti itu yang jelas boleh merosakkan imejnya sendiri.

Dan Cejudo sememangnya layak menerima pujian kerana beliau benar-benar bertanggungjawab dalam menjayakan podcast tersebut.

Walaupun video tersebut dibanjiri dengan komen-komen maki-makian dan hinaan, namun episod bersama Khabib merupakan yang paling meletop setakat ini dengan ia sudah menerima lebih dari 2.6 juta tontonan selepas lima hari ditayangkan.

Pelbagai topik menarik yang dibincangkan dalam podcast tersebut, dengan Khabib banyak menceritakan kisah-kisah perjalanannya dan turut berkongsi tentang musuh tradisinya, Conor McGregor.

Cejudo juga bijak dalam menyusun soalan dan bertanya hal-hal menarik yang memang ramai peminat berminat untuk tahu jawapannya.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Khabib Dedah Beliau Sudah Lama Tahu Ronaldo Akan Ke Old Trafford