Khabib Ketepikan Jon Jones Ketika Menamakan Petarung Terhebat UFC Pilihannya

Khabib Nurmagomedov telah menamakan petarung terhebat UFC pilihannya, dengan beliau telah mengetepikan Juara pound-for-pound, Jon Jones dari pilihannya.

Bekas juara light heavyweight dunia UFC, Jon Jones sememangnya dianggap antara petarung terhebat sepanjang zaman oleh para peminat.

Bahkan ramai legenda UFC yang lain turut bersetuju untuk menganggap Jones sebagai petarung terhebat sepanjang zaman dalam dunia sukan MMA ini.

Walau bagaimanapun, ia tidak untuk Khabib yang mana petarung dari Rusia itu lebih memilih Juara Welterweight Dunia UFC, Kamaru Usman sebagai petarung MMA terhebat di dunia.

Beliau memuat naik gambar dirinya bersama ‘The Nigerian Nightmare’ itu dengan turut menulis:

“Bersama p4p (Pound for Pound) terhebat dunia, @usman84kg di #cytaka di Dubai.”

Jon Jones sebenarnya berada di kedudukan pertama dalam senarai pound for pound pada ketika ini, dan beliau sendiri turut menganggap dirinya yang terhebat sepanjang zaman.

The Eagle walau bagaimanapun merasakan yang Usman ketika ini sedang berada di tahap persembahan terbaiknya dan layak untuk dianggap sebagai petarung terhebat di UFC.

Usman ketika ini memegang rekod tanpa kalah dalam gelanggang Octagon dan beliau cemerlang memenangi empat perlawanan yang mempertaruhkan kejuaraannya sebelum ini.

Beliau berjaya menewaskan Colby Covington, Gilbert Burns dan dua kali menumpaskan Jorge Masvidal untuk mempertahankan kejuaraan miliknya.

Jones ketika ini merasakan yang beliau akan diberi kesempatan untuk mengukuhkan legasinya dalam sejarah UFC dengan beliau mahu bertarung untuk merebut kejuaraan heavyweight dunia.

Beliau dijangka akan melakukan debutnya dalam kategori heavyweight selepas ini, dengan Dana White mendakwa Jones hanya akan kembali bertarung pada tahun hadapan.

Berkait Jones, Presiden UFC itu telah menyatakan bahawa:

“Dia tidak akan bertarung sehingga tahun hadapan. Ini tahun 2021. Dia tidak akan bertarung sehingga 2022. Saya tidak berfikir tentang dia sehingga 2022.”

Bercakap selepas kejayaan Ciryl Gane menewaskan Derrick Lewis untuk memenangi kejuaraan interim heavyweight UFC, White menyatakan bahawa:

“Satu-satunya keindahan dalam division ini sekarang adalah kita ada perlawanan ini pada malam ini.”

“Sekarang Francis bertemu Ciryl, kamu akan lihat Jon Jones kembali pada tahun hadapan dan kamu juga akan melihat Stipe selepas ini.”

“Ia bermaksud akan ada lebih banyak hal yang menakjubkan menanti anda semua tahun hadapan.”

Conor McGregor yang ketika ini sedang dibelenggu kecederaan juga berkemungkinan akan kembali ke Octagon tahun hadapan dan jelas sekali tahun 2022 bakal menjadi tahun yang menakjubkan untuk peminat UFC.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Peminat Kritik Mike Tyson Kerana Terlebih 'Sedap' Ketika Podcast Bersama Khabib