Kim Pan Gon Mahu Bawa Malaysia Ke Piala Dunia

Ketua jurulatih Harimau Malaya yang baharu Kim Pan Gon menyasarkan untuk membawa skuad kebangsaan itu ke satu tahap baharu dan melebihi rantau Asia Tenggara pada masa hadapan.

Dalam menjadikannya kenyataan, Pan Gon yang memulakan tugasnya di Kelana Jaya hari ini, merancang untuk meletakkan asas yang kukuh selain membantu pemain muda dibangunkan dengan baik, dalam usaha membantu pasukan kebangsaan layak ke Piala Dunia suatu hari nanti.

Tanpa menyatakan edisi Piala Dunia yang mana, Pan Gon percaya beliau mampu untuk membawa Malaysia ke kejohanan bola sepak utama itu, kerana rantau Asia akan diberikan sehingga sembilan slot pada masa hadapan.

“Kami (termasuk pasukan pengurusan) akan bina asas yang kuat dahulu dan bergerak kehadapan dengan memfokuskan kepada suatu yang lebih besar, iaitu layak ke peringkat akhir Piala Dunia.
“Piala Dunia pada masa hadapan, Asia boleh dapat sembilan slot, bagi layak ke akhir, jadi saya rasa saya nak sediakan untuk itu,” katanya dalam sidang medianya yang pertama selepas dilantik sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya bulan lepas.

Piala Dunia FIFA 2026 yang akan berlangsung di tiga negara iaitu Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat merupakan edisi pertama mempunyai 48 pasukan bertanding, berbanding 32 pasukan pada masa ini.

Oleh kerana Piala Dunia akan menjadi sasaran jangka panjangnya, jurulatih kelahiran Korea Selata itu berkata beliau akan cuba untuk membuatkan peminat gembira dengan memberikan keputusan yang baik untuk pasukan kebangsaan.

Beliau yang melihat bahawa pasukan Harimau Malaya mempunyai potensi untuk membuat impak yang besar di masa hadapan, namum menyatakan bahawa pemain masih lagi kekurangan tahap keyakinan apabila mereka di padang.

“Mereka (pemain) perlu percaya yang mereka adalah cukup baik, boleh capai lebih daripada peringkat Asia Tenggara… Saya akan bantu mereka untuk dapatkan keyakinan dan buatkan pasukan kuat sebagai satu pasukan dan bersatu,” katanya.

Ditanya mengenai apa yang menarik beliau untuk mengambil alih pasukan kebangsaan, bekas ketua jurulatih Hong Kong itu menyatakan bahawa projek baharu beliau ini sebagai menarik kerana pasukan Malaysia berpotensi besar untuk pergi jauh.

“Sebaik saya menerima tawaran ini, saya tidak teragak-agak untuk menerimanya dan ia amat menarik kerana walaupun saya boleh ke Piala Dunia 2022 di Qatar bersama pasukan kebangsaan Korea Selatan, tetapi apa yang paling menarik bagi saya saya ialah untuk bersama Malaysia.

“Saya boleh katakan, terdapat satu ruang penambahbaikan yang besar dan saya boleh lihat potensi yang banyak jika kita boleh perbetulkan beberapa perkara, untukbMalaysia meningkat ke satu tahap yang lain,” kata bekas Pengarah Pasukan Kebangsaan Persatuan Bola Sepak Korea Selatan.

Pan Gon juga akui bahawa menjadi ketua yang baharu kepada Harimau Malaya menjadi suatu perkara terbesar dalam karier pengurusannya kerana beliau tahu peminat tentunya meletakkan harapan tinggi untuk beliau mengembalikan pasukan negara ke zaman kegemilangannya.

Program hari ini juga menyaksikan pengenalan barisan kejurulatihannya termasuk penolong jurulatih Pau Marti Vicente dari Sepanyol, jurulatih penjaga gol Cho Jun Ho, jurulatih kecergasan Dr Gokhan Kandemir dan penganalisis Lim Jaehun.

Pan Gon dilantik mengantikan Tan Cheng Hoe, yang meletakkan jawatannya bulan lepas dengan mengambil tanggungjawab penuh ke atas kegagalan Malaysia di Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) di Singapura, Disember lepas.

— BERNAMA

Siaran Media FAM: Kim Pan Gon Umum Barisan Kejurulatihan Skuad Harimau Malaya

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini telah memperkenalkan ketua jurulatih kebangsaan yang baharu, Kim Pan Gon pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya yang mana ia merupakan sesi pertama beliau selepas tiba di tanah air dan selesai menjalani tempoh kuarantin.

Pada sesi sidang media hari ini, Pan Gon telah mengumumkan senarai barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya yang baharu di bawah kendaliannya iaitu Pau Marti Vicente (penolong jurulatih), Cho Junho (jurulatih penjaga gol), Dr. Gokhan Kandemir (jurulatih kecergasan) dan Lim Jaehun (jurulatih analisis prestasi).

Skuad Harimau Malaya di bawah kendalian Pan Gon ini dijadual bertemu Filipina pada 23 Mac 2022 dan bertemu Singapura pada 26 Mac 2022, kedua-duanya di Singapura sebagai persiapan dan persediaan pasukan menjelang Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 dari 8 hingga 14 Jun 2022.

BACA:  Kesebelasan Utama Malaysia vs Taiwan