Ole Gunnar Solskjaer menceritakan kembali kisah bagaimana beliau memohon restu Sir Alex Ferguson bagi perlawanan pertamanya sebagai pengurus Manchester United yang kesenduan teruk ketika itu.
Selepas pemecatan Jose Mourinho dengan sindrom musim ketiganya pada bulan Disember 2018, Ole Gunnar Solskjaer kembali ke bekas kelabnya selaku pengurus interim.
Perlawanan pertama Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengurus Interim adalah menentang bekas kelab lama yang diuruskannya sebelum itu, Cardiff City di tempat lawan.
Pada ketika itu Ole Gunnar Solskjaer memegang reputasi yang teruk di Premier League apabila gagal teruk mengendalikan Cardiff City sehingga terhumban ke liga bawahan.
Ole berjaya membawa kemenangan 5-1 kepada Setan Merah menundukkan Cardiff City di South Wales dan pada perlawanan pertama rekod dicipta oleh Ole.
Itu merupakan buat pertama kalinya Manchester United menjaringkan lima gol dalam satu perlawanan Premier League selepas bersaranya Sir Alex Ferguson.
Kali terakhir Setan Merah menjaringkan lima gol selepas seri 5-5 dengan West Bromwich Albion yang merupakan perlawanan terakhir Sir Alex Ferguson sebelum bersara pada May 2013.
David Moyes, Louis Van Gaal dan Jose Mourinho gagal mencatatkan jaringan lima gol dalam satu perlawanan di Premier League sehiggalah Ole tiba.
Selepas perlawanan itu, Ole Gunnar Solskjaer telah mendedahkan kisah bagaimana beliau meminta restu Sir Alex Ferguson melalui perbualan teks sebelum perlawanan.
Ole juga membawa semula tradisi dan mengikut SOP Fergie dengan mewajibkan pemain memakai sut rasmi kelab demi mengembalikan semula sebahagian dari falsafah United.
“Kami datang sebelum Krismas. Aku rasa seperti datang sebagai pinjaman… tidak seperti ‘Masuk dan ubah kelab ini, letakkan cap dagang anda di atasnya,” kata Solskjaer dalam sebuah buku baru berjudul, ‘The First 100 Days: Lessons In Leadership From The Football Bosses’, yang ditulis bersama oleh pengurus Dundee United, Micky Mellon.
“Ini seperti masuklah, Kau kenal kelab ni, kau tahu harapan kelab, buat mereka tersenyum, bermain bola sepak menyerang dan memberi peluang kepada pemain muda.
“Kami bercakap mengenai harapan tinggi, nikmati kegembiraan dan bahkan buat kejutan kepada beberapa orang … pada hari itu aku teringat ketika berjalan dan mendengar orang berkata: ‘Akhirnya, kita bercakap tentang menjadi Manchester United semula.’ Aku terus mengikuti, memberi sedikit ucapan dan menari!”
The First 100 Days : Lessons in #leadership
from #football bosses. Top football managers including #MUFC Ole Gunnar Solskjaer, Sam Allardyce, David Moyes and Sean Dyche reveal the inside story of their first days in the job @reach_sport #Management #book #bookshops https://t.co/k6KEzTR0Xd pic.twitter.com/jJjudF9UyR— Bang The Drum (@GoBangTheDrum) March 12, 2021
Ole Gunnar Solskjaer mencertitakan beliau mendapat mesej daripada Sir Alex Ferguson dan dia membalas mesej itu dengan menghantar senarai pemain yang akan diturunkan.
“Aku mendapat teks dari pengurus (Sir Alex) yang mengatakan ‘Pilih pasukan kau dan tidur lena.'”
“Aku menghantar senarai pemain yang aku pilih dan aku baru mendapat mesej kembali: ‘Itu akan berjaya’.”
“Semasa perjalanan kami ke Dubai, kami membuat dua perubahan besar. Yang pertama adalah sistem kami untuk menentang Tottenham. Perkara besar kedua adalah pemakaian sut rasmi kelab, pemain Tottenham melihat mereka dan berfikir ‘Aku mahu bermain untuk Manchester United.”
Ole Gunnar Solskjaer reveals Sir Alex Ferguson's reaction to his first Man Utd XI | @johncrossmirrorhttps://t.co/y2J05CBV4L pic.twitter.com/t0hkCqRoEh
— Mirror Football (@MirrorFootball) March 18, 2021
Solskjaer biasa membuat catatan mengenai Ferguson ketika cedera ketika bermain sebagai pemain. Setelah mendapat tempat di United, Ole dilaporkan menolak untuk meletak kereta di tempat letak kereta pengurus kerana menghormati pemenang Liga Perdana 13 kali, Sir Alex Ferguson.
Selepas dua tahun menjadi pengurus Manchester United, Ole kini selesa membuat keputusan dan menguruskan pasukan mengikut caranya sendri dan merasakan tidak memerlukan bantuan orang lain.
“Aku banyak dipengaruhi Sir Alex Ferguson kerana pernah bersama selama 15 tahun tetapi kami mempunyai personaliti yang berbeza.”
“Aku mengurus mengikut cara yang aku rasakan betul. Aku tidak meminta pendapat sesiapa bagaimana aku perlu mengurus. Itulah yang mungkin ada dalam personaliti aku.”
Ole kini menjadi kesayangan majoriti peminat Manchester United walaupun masih lagi belum membawa pulang sebarang trofi untuk di letakkan dalam kabinet di Old Trafford.
Formula Kejayaan Sir Alex Ferguson
Sir Alex Ferguson merupakan jurulatih bola sepak yang paling berjaya dalam sejarah di mana beliau telah membimbing Manchester United memenangi pelbagai kejuaraan, anugerah dan pingat dari tahun 1986 sehingga 2013.
Ferguson dilahirkan pada 31 Disember 1941 berasal dari Scotland merupakan seorang bekas pemain dan telah menjadi sebagai antara pengurus yang paling berjaya dalam dunia bola sepak bersama pasukan Manchester United.
Tanggal 6 November 1986 menyaksikan Sir Alex Ferguson telah dilantik sebagai pengurus di Old Trafford. Fergie bernasib baik kerana diberi peluang untuk walaupun mengharungi permulaan yang tidak berapa memberansangkan.
Jarang ada pengurus atau jurulatih yang mampu bertahan di sesuatu kelab selama 27 tahun dan memenangi kejuaraan seperti Ferguson, tambahan pula bola sepak sekarang menjadi satu industri yang memberikan pulangan kewangan yang besar dan membuatkan para pengurus dan jurulatih senang dipecat walau tewas tiga perlawanan berturut-turut.
Kalau di Malaysia, keadaannya lebih parah. Bola sepak dijadikan sebagai alat untuk menaikkan atau mencuci nama ramai orang dari latar belakang politik dan istana, dan tidak diuruskan oleh mereka yang benar-benar faham bola sepak.
Mereka hanya inginkan kejayaan segera, ibarat tanam orang mati, malam esok dapat makan kenduri arwah. Bagi mereka, jurulatih perlu ‘hire and fire’ – ambil dan pecat – untuk memastikan kejayaan segera pasukannya dalam pertadingan liga gred D.
Bagi Ferguson, beliau telah berpegang kepada lapan prinsip utama dan dari situ, beliau berjaya bertahan dan kekal begitu lama dengan satu pasukan.
Berikut adalah 8 formula Ferguson untuk mencapai kejayaan sebagai jurulatih.
Bermula Dari Asas
Ketika beliau mula-mula duduk di kerusi pengurus United, kelab itu hanya ada seorang pemain yang berumur bawah 24 tahun dalam skuad utama. Dari situ, Fergie mula memasang hasrat beliau – membina kelab bola sepak.
Untuk merealisasikan hasratnya, beliau telah bekerjasama dengan kelab untuk membina satu akademi yang fokus untuk jangka masa panjang dan beliau juga telah membuka ‘dua pusat kecemerlangan’, satu untuk mendapatkan pemain muda – semuda 9 tahun, dan mengambil sekumpulan talent scout – satu perkara yang masih belum diamalkan di Malaysia.
Antara pemain terawal yang dapat dikesan oleh pasukan Fergie ini ialah David Beckham dan Ryan Giggs.
Bagi Fergie, akademi ini penting sebagai teras dan identiti pasukan. Di sini pemain-pemain muda akan membesar bersama-sama dan pada masa yang sama dibentuk mengikut program-program pembangunan yang telah disusun. Secara jangka panjangnya, pemain-pemain yang berkualiti akan dapat dihasilkan dan menjadi nadi utama kelab.
Berani Untuk Membina Semula Pasukan
Sepanjang 27 tahun, Fergie telah mempunyai lima skuad utama yang memenangi pelbagai kejuaraan. Dari zaman Eric Cantona sehingga ke Wayne Rooney, pemain yang menyarung jersi The Red Devils sentiasa berubah. Jadi untuk berjaya, Fergie harus sentiasa membina pasukan baru.
Ferguson adalah seorang yang bersifat strategik, rasional dan sistematik. Segala perancangan disusun dengan begitu rapi dan teratur.
Dari kalangan pemainnya, Ferguson mengelaskan mereka kepada tiga kategori :
1. Pemain berusia 30 tahun dan ke atas
2. Pemain berumur 23-30 tahun
3. Pemain berumur bawah 23
Biasanya untuk pemain baru, Ferguson akan membeli pemain muda kecuali beberapa pemain yang bertaraf bintang dan berusia seperti Robin Van Persie yang dibeli ketika usianya 29 tahun.
Pemain yang berusia atas 30 tahun biasanya tidak ramai tetapi mereka adalah pemain berkualiti, seperti Ryan Giggs, Rio Ferdinand, Paul Scholes dan Micahel Carrick. Pemain-pemain veteran ini akan menjadi tutor dan memberi tunjuk kepada pemain-pemain muda bawah 23 tahun.
Pemain bawah 23 tahun pula diperhatikan betul-betul perkembangan mereka dan sekiranya mereka sudah mampu untuk bersaing bersama lawan yang lebih berusia, pemain-pemain ini akan dipinjamkan ke kelab bawahan lain dalam tempoh dari sebulan sehingga semusim.
Melalui pendekatan ini, kaedah pembelajaran berterusan dapat diamalkan di Man United dan menjadi asas kejayaan mereka yang bertahun-tahun.
Bak kata Ryan Giggs, “Ferguson seorang yang tidak melihat waktu sekarang, dia selalu memandang ke masa hadapan.”
Meletakkan Matlamat Yang Tinggi Dan Menyeru Semua Untuk Bersama
Bagi Ferguson, skill dan teknik adalah penting, tetapi tidak sepenting nilai jatidiri seseorang pemain dan Ferguson selalu menanam nilai-nilai positif ke dalam jiwa pemain-pemainnya. Jadi, pemain akan berkembang menjadi seorang yang berjiwa besar dan tidak mudah mengalah.
Bayangkan seorang pemain perlu bersaing dengan ramai pemain yang bertaraf dunia, maka usaha keras perlu dilipatgandakan dan semua ini tidak akan berlaku tanpa semangat yang tinggi.
Sir Alex juga sangat tegas dalam mendisiplinkan pemain dan beliau amat tidak gemar pemain yang tidak bersungguh-sungguh sama ada dalam permainan atau sewaktu latihan. Ferguson mengaggap pemainnya adalah bad loser dan perlu bersungguh-sungguh untuk mencapai tahap tertinggi.
Di sebalik ketegasannya kepada para pemain, Ferguson juga memberikan contoh yang positif kepada mereka. Ferguson akan menjadi orang yang pertama sampai di padang latihan setiap pagi dan membuat persediaan rapi dan penting baginya supaya setiap latihan adalah laithan yang berkualiti dan bukan membuang masa.
Dengan ini pemain secara automatik ditanam dengan sikap yang sentiasa ingin menjadi lebih baik dari pemain lain. Ada di antara mereka sehingga terpaksa ‘dihalau’ dari padang latihan seperti Cristiano Ronaldo, David Beckham dan Wayne Rooney.
BERSATU! BERSETIA! BERKHIDMAT!
Jangan Hilang Kawalan
Seorang jurulatih adalah seorang jeneral dan tiada orang lain dalam pasukan yang berada pada kedudukan yang lebih tinggi. Nampak agak autokrasi tetapi itulah gaya Sir Alex.
Untuk mengendalikan 30 pemain hebat yang mempunyai ego tinggi dan bertaraf jutawan bukan tugas yang mudah. Ramai jurulatih yang gagal mengawal bilik persalinan seperti Andre Villas Boas di Chelsea dan Mark Huges di Manchester City. Akibatnya, pasukan mereka gagal bermain seperti yang plan dan akhirnya mereka dipecat.
Bagi Ferguson, jurulatih boleh ditegur tetapi tidak boleh dilawan. Sepanjang kariernya bersama United ada beberapa pemain yang dilihatnya mula mencetuskan suasana negatif di bilik persalinan dan terus dicantasnya.
Roy Keane pernah mengkritik rakan sepasukan ketika satu interviu dengan media dan tidak lama selepas itu dia terus ditamatkan kontraknya bersama United.
Ruud Van Nistlerooy, walaupun merupakan penjaring terbanyak United untuk banyak musim, telah dijuall ke Real Madrid dek tindakannya yang meluahkan perasaan tidak puas hati kerap memanaskan bangku simpanan kepada wartawan.
David Beckham diraikan sebagai wira penyokong dan cukup digemari ramai, tetapi Fergie melihat pemain itu mula besar kepala dan terus dijual kepada Real Madrid.
Itu adalah contoh tiga pemain dan ramai lagi pemain yang disingkirkan Ferguson kerana sikap mereka. Jaap Stam, Andrei Kanchelskis, Mark Huges dan Paul Pogba antara nama-nama lain yang turut disingkirkan kerana sikap dan membawa aura negatif di bilik persalinan.
Baginya, jurulatih perlu menjadi pencetus semangat di bilik persalinan, bukan melayan karenah pemain yang berlagak diva.
Teknik Menyampaikan Maklumat atau Berita
Melalui media, Sir Alex dikatakan seorang yang bengis dan cukup terkenal dengan hairdryernya. Ramai bekas pemainnya yang menceritakan kegerunan jika mereka bermain teruk dan kalah kerana mereka perlu berhadapan dengan amukan seorang tua yang garang.
Gary Nevillle, Nicky Butt, Ronaldo, Nani, Rafael – semuanya pernah merasai hairdryer.
“Jika kami kalah tetapi Ferguson puas hati di atas usaha kami, dia akan memuji dan pada menegur kesalahan kami lakukan, tetapi sekiranya kami kalah dan tidak mempamerkan aksi yang terpuji, maka kami perlu tadah telinga!” kata Andy Cole, pemain yang memenangi treble bersama Fergie.
Bagi Ferguson, menengking dan memberikan arahan secara keras bukanlah satu teknik yang bagus dalam membina pasukan. Tiada orang yang suka dikritik tetapi orang lebih memberikan respon positif di atas pujian dan galakan.
Bersedia Untuk Menang
Man United kerap memenangi perlawanan pada minit-minit akhir permainan atau sekurang-kurangnya menjaringkan gol dan masa ini dipanggil ‘waktu Fergie’.
Paling diingati ketika perlawanan akhir Piala Eropah pada tahun 1998-99 di mana United menjaringkan dua gol pada minit-minit akhir perlawanan menerusi Teddy Sherringham dan Ole Gunnar Solksjaer sekaligus membawa pulang piala eropah ke Old Trafford.
Bagaimana Man United kerap kali mampu menjaringkan gol di saat-saat akhir?
Fergie sangat-sangat terperinci dalam mempersediakan pasukannya sehinggakan beliau selalu melakukan shadow play bagi situasi minit-minit akhir perlawanan. Baginya, 10-15 minit terakhir perlawanan adalah waktu yang sangat mendebarkan terutamanya jika pasukannya sedang ketinggalan.
Katalah United sedang ketinggalan 2-1 dan perlawanan hanya tinggal 15 minit. Dengan tenang Fergie akan memasukkan seorang pemain bersifat menyerang dan menyerang kubu lawan bertubi-tubi walaupun bahagian pertahanan mereka terdedah kepada bahaya.
Kalau mereka tidak menyerang habis-habisan, mereka akan kalah 2-1 juga, jadi dengan menyerang habis-habisan mungkin akan memberikan kejayaan yang lebih manis dengan kemenangan 3-2, tetapi mereka boleh tewas 3-1 pada masa yang sama.
Bagi Fergie, lebih baik tewas 3-1 melawan berbanding tewas 2-1 dan bersahaja.
Kuasa Memerhati – The Power of Observation
Memulakan karier sebagai jurulatih pada usia 32 tahun bersama East Stirlingshire pada 1974, kariernya terus berkembang ke St. Mirren, Aberdeen dan akhirnya Man United.
Menurut Ferguson, syarat-syarat utama yang perlu ada bagi seorang jurulatih ialah :
- Memahami skil dan teknik yang diperlukan oleh seseorang pemain untuk berjaya di peringkat tertinggi
- Mampu bermain bola sepak dengan baik
- Mampu melatih pemain
- Mampu membuat keputusan
Berdasarkan empat ciri-ciri di atas, ketika di awal kemunculannya, Fergie lebih suka mengendalikan latihan secara langsung dan pembantunya tidak mempunyai banyak tugas melainkan membantunya memilih pemain dan apabila diperlukan.
Namun segalanya berubah apabila pembantunya di Aberdeen, Archie Knox meminta untuk lebih terlibat dalam latihan, dan Ferguson setuju. Dari situ, Ferguson mendapati bahawa lebih mudah baginya untuk memahami kekuatan dan kelemahan pemainnya.
Dari tepi padang juga beliau mampu membaca mood dan kesungguhan pemainnnya, sehinggakan jika ada seorang pemain yang kurang memberi komitmen, maka berputar di fikirannya ‘adakah pemain ini mempunyai masalah keluarga? Adakah pemain ini mempunyai masalah kewangan?’
Ferguson juga mengatakan,
“Kemampuan untuk melihat sesuatu perkara ialah kunci kejayaan, tetapi kemampuan untuk melihat perkara yang kita tidak jangka akan melihatnya adalah kunci istimewa kejayaan.”
Jangan Berhenti Berevolusi
Sir Alex, jika diteliti rekodnya, adalah seorang yang boleh dikatakan trend-setter dan selalu mengevolusikan pemikiran dan pandangannya tentang bola sepak. Jika tidak, mustahil baginya untuk kekal selama itu di Old Trafford.
Menurut rekod, Fergie adalah jurulatih pertama yang menurunkan pemain muda untuk perlawanan piala yang kurang prestiji – Piala Liga (sekarang Piala Capital One). Awalnya langkah ini dikritik hebat media dan jurulatih lawan tetapi pada hari ini hampir kesemua pasukan Liga Perdana Inggeris mengambil langkah ini.
Pada musim 1998-99, Fergie juga adalah jurulatih yang pertama mengambil empat orang penyerang untuk bersaing merebut dua tempat di kesebelasan utama, dan langkah ini dianggap satu kerja gila juga pada awalnya. Hasilnya, United menjadi juara treble pada musim tersebut dan langkah it uterus diikuti oleh kelab-kelab lain.
Fergie juga telah mengembangkan hierarki staf pasukan di mana beliau telah menggaji beberapa orang saintis sukan untuk membantu meningkatkan prestasi pemain.
Di samping itu, Fergie telah menngaplikasikan nasihat para saintis supaya diletakkan satu meja vitamin D di dalam bilik persalinan untuk diambil oleh pemain kerana daerah Manchester kurang mendapat cahaya matahari sepanjang tahun.
Antara lain-lain pembaharuan yang dibuat Fergie ialah menggunakan GPS sensor untuk memantau prestasi pemain ketika latihan :
1. Menggunakan khidmat pakar mata untuk memastikan mata para pemainnya sentiasa berada dalam keadaan terbaik.
2. Memanggil pengajar yoga sebanyak dua kali seminggu untuk sesi bersama pemain.
3. Mewujudkan fasiliti perubatan di Old Trafford dan dengan ini para pemain tidak perlu lagi pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecederaan.
Kesimpulan
Prinsip dan formula dari Sir Alex Ferguson ini ternyata berkesan dan boleh diamalkan di Malaysia, terutamanya di peringkat negeri. Namun, suasana bola sepak yang berbeza antara Malaysia dan England mungkin akan menjadi sedikit penghalang kepada idea-idea bernas ini.
Jadi diharapkan agar mereka yang mengendalikan bola sepak Malaysia mampu mempunyai pandangan dan pelan jangka masa panjang untuk menaikkan mutu dan kualiti bola sepak Harimau Malaya.
Baca : Bagaimana Untuk Menyerang Pasukan Yang Bertahan Secara Deep?