Fred Titik Terlemah United Yang Menjadi Dambaan Solskjaer

Manchester United sekali lagi mencatatkan keputusan buruk di Old Trafford dalam saingan Premier League musim ini, selepas mereka sekadar mampu mencatatkan keputusan seri sahaja bertemu Everton malam semalam.

Setan merah pada minggu lalu telah mencatatkan kekalahan 1-0 di tangan Aston Villa dan selepas terikat 1-1 bertemu Everton, United kini sudah kehilangan 5 mata dari dua penampilan terakhir mereka dalam saingan Premier League.

Ia bukanlah satu keputusan yang diharapkan oleh sebuah pasukan yang dibarisi oleh para pemain berkelas dunia seperti Man Utd, apa lagi selepas melihat bagaimana mereka melalui jendela perpindahan musim panas baru-baru ini.

Setan merah berjaya menandatangani Cristiano Ronaldo, Jadon Sancho dan Raphel Varane pada jendela perpindahan musim panas baru-baru ini, dalam usaha mereka untuk mencabar kejuaraan liga, seterusnya memburu Piala pertama mereka di bawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer.

Melihat kepada kesebelasan utama United ketika bertemu Everton malam semalam, para penyokong sudah mula memaki hamun Ole atas pemilihan pemain yang beliau lakukan.

Pengurus dari Norway itu meletakkan Cristiano Ronaldo, Jadon Sancho dan Paul Pogba sebagai pemain simpanan dengan beliau menurunkan Anthony Martial, Cavani dan Fred dalam kesebelasan utamanya.

Fred sepanjang musim ini sering menjadi mangsa makian para penyokong, selepas beliau senantiasa mempamerkan aksi dungu setiap kali diturunkan untuk bermain.

Pemain kebangsaan Brazil itu jelas sekali tidak berada di tahap persembahan terbaiknya pada ketika ini, namun Solskjaer tidak pernah meragui kemampuan pemainnya itu, dan sentiasa menyediakan tempat untuknya dalam kesebelasan utama skuad.

Ketika aksi bertemu Everton malam semalam, Fred telah dipersalahkan sebagai punca mengapa pasukan pelawat berjaya menjaringkan gol penyamaan.

Demarai Gray mudah merampas bola dari Fred dengan hanya menggunakan kekuatan tubuh yang menyebabkan bintang Brazil itu terhuyung-hayang di tepi padang.

Demarai Gray kemudian menolak bola kepada Abdoulaye Doucoure yang berjaya lepas dari asakan tiga pemain Setan Merah sebelum melorongkan bola kepada Andros Townsend.

Andros Townsend yang tidak dikawal mempunyai masa dan ruang yang secukupnya untuk membuat satu percubaan yang dijelmakan sebagai gol penyamaan.

Lebih padu lagi apabila gol itu telah diraikan Andros Townsend dengan keraian Siu yang menjadi cap dagang Cristiano Ronaldo di hadapan peminat Setan Merah di Old Trafford.

Fred turut mencatatkan statistik yang sangat teruk sepanjang 70 minit beliau beraksi di atas padang, dengan para peminat tidak habis fikir mengapa beliau masih ada dalam senarai pemain utama.

Owen Hargreaves turut menyalahkan Fred atas gol penyamaan Everton dalam perlawanan ini dengan beliau menyatakan:

“Sir Alex tidak akan memaafkan kamu untuk kesalahan itu. Kamu tak akan bermain untuk tempoh sebulan.”

Satu hal yang pasti, ia tidak mungkin menjadi kenyataan di bawah pimpinan Ole Gunnar Solskjaer yang terlalu sayang kepada Fred.

Walau sudah menjaringkan gol sendiri, Solskjaer tetap akan menurunkan Fred dalam kesebelasan utamanya atau setidak-tidaknya akan dimasukkan sebagai pemain gantian.

Para penyokong menganggap bintang Brazil itu merupakan titik terlemah skuad, namun di mata Solskjaer, Fred merupakan pemain tengah harapan kelab.

Fred telah menyertai United pada jendela perpindahan musim panas 2018 yang lalu dengan yuran perpindahan bernilai £ 52 juta dari Shakhtar Donetsk.

Beliau sememangnya senantiasa menjadi lubuk dan sering melakukan kesilapan dungu yang mengancam gawang gol United sendiri.

Para peminat turut sering mempertikaikan keputusan Solskjaer yang kerap menggandingkan Fred dan McTominay di bahagian tengah, namun pengurus dari Norway itu sama sekali tidak mempedulikan rintihan peminat.

Beliau tetap meletakkan sepenuh kepercayaannya kepada Fred dan akan tetap menurunkan bintang Brazil itu walau apa sekali pun yang berlaku.

Beliau antara pemain United yang paling kerap ditewaskan dan atas semua hal tersebutlah Fred menjadi pemain paling tidak digemari di Old Trafford pada ketika ini.

Manchester United sebenarnya hampir diaibkan oleh Everton dalam perlawanan ini, namun mujur saja gol jaringan Yerry Mina di batalkan oleh pengadil perlawanan kerana beliau berada di kedudukan offside.

Dakyah #OleOut semakin menjadi-jadi pada ketika ini dengan ramai yang menggesa pihak kelab agar memecat Solskjaer atas segala keputusan dungu yang beliau lakukan sepanjang bergelar pengurus United.

Sumber: FP

BACA:  Impian Usain Bolt Akhirnya Terlaksana, Bakal Beraksi Di Old Trafford