Klopp: Liverpool Akan Fokus Terhadap Newcastle Sekarang, Bukan Barcelona

Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp berkata anak buahnya tidak boleh terlalu kecewa dengan kekalahan mereka kepada Barcelona dalam perlawanan pertama separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah di Nou Camp beberapa hari lalu.

Liverpool masih lagi berpeluang untuk muncul juara Liga Perdana Inggeris musim ini dan wajib mengutip 3 mata penuh apabila bertandang ke Newcastle pada awal pagi Ahad nanti.

Klopp mahu pemainnya melupakan kekalahan kepada Barcelona secepat mungkin

Liverpool dibelasah Barcelona 3 gol tanpa balas dengan Lionel Messi memainkan peranan penting dalam mengkucar-kacirkan barisan pertahanan Liverpool. Messi mengakhiri perlawanan tersebut dengan 2 gol, manakala satu lagi gol dijaringkan oleh bekas pemain The Reds, Luis Suarez.

Barcelona akan bertandang ke Anfield pada pertengahan minggu depan bagi perlawanan timbal balik tetapi Klopp mengakui Liverpool tidak boleh terlalu fokus pada pertembungan tersebut kerana saingan liga juga amat penting untuk pasukannya.

Liverpool akan bertemu Newcastle terlebih dahulu malam esok sebelum pendahulu Liga Perdana Inggeris, Manchester City menjadi tuan rumah kepada Leicester City.

Sekiranya mereka tewas kepada Newcastle dan City berjaya meraih mata penuh, skuad bimbingan Pep Guardiola akan dinobatkan sebagai juara Liga Perdana Inggeris musim ini.

Mimpi ngeri penyokong Liverpool

“2 perkara yang kaita boleh bincang dari perlawanan terdahulu [Barcelona], keputusan dan persembahan pasukan. Dari segi persembahan, agak memuaskan. Tetapi dari segi keputusan perlawanan, ia tidak dapat diterima.”

“Kami perlu memperbetulkan keadaan pada hari Selasa nanti – Tetapi bukan sekarang. Apabila kami terbang kembali ke sini, segalanya ok. Semua pemain saya sudah mengalihkan fokus mereka terhadap Newcastle seratus peratus.”

“Sekarang kami mempunyai lebih kurang 20 jam untuk berehat. Kami akan menjalani satu sesi latihan untuk mempersiapkan pasukan bagi menghadapi Newcastle, yang merupakan perlawanan cukup penting. Ia akan menjadi satu perlawanan yang berbeza.”

Seperti diketahui umum, pengurus Newcastle, Rafael Benitez adalah individu yang sangat dekat di hati peminat Liverpool kerana pernah membimbing pasukan tersebut memenangi Liga Juara-Juara Eropah suatu ketika dahulu.

Walau bagaimanapun, Klopp percaya Benitez tidak akan memberikan jalan mudah kepada Liverpool malam esok.

“Ia akan menjadi satu perlawanan yang sukar. Newcastle sedang berada dalam prestasi yang baik. Rafa dan Newcastle berjuang untuk terus kekal berada dalam Liga Perdana Inggeris, dan sejak itu mereka bermain dengan baik, memenangi beberapa perlawanan sejak kebelakangan ini.”

BACA:  Peminat Percaya Emak Mbappe Beri Hint Mbappe Akan Ke Liverpool