Kontrak Hafizh Syahrin Bersama Tech 3 Disambung Sehingga Tahun 2019

Pasukan Monster Yamaha Tech 3 baru sahaja mengumumkan pelumba mereka musim ini, Hafizh Syahrin akan terus kekal bersama pasukan tersebut sehingga tahun 2019.

Pelumba yang berasal dari Malaysia itu bersetuju untuk menandatangani kontrak lanjutan selama setahun dengan pasukan yang dikendalikan oleh Hervé Poncharal yang mana Hafizh akan menunggang motosikal KTM musim hadapan.

Hafizh bersama watak-watak penting yang banyak membantu kariernya. 

Hafizh menceriakan rakyat Malaysia awal tahun ini apabila menerima panggilan saat akhir daripada Monster Yamaha Tech 3 untuk menjadi pelumba ke-2 pasukan tersebut, menggantikan tempat Jonas Folger.

Dalam perlumbaan MotoGP pertama beliau di Litar Qatar, Hafizh berjaya mempamerkan pemanduan yang memberangsangkan dan berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan ke 14 sekaligus mengutip mata dua mata berharga.

Dalam perlumbaan kedua beliau di Argentina, Hafizh sekali lagi menunjukkan pemanduan yang cemerlang dalam keadaan litar yang mencabar untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan 10 teratas. Beliau berjaya menduduki tangga teratas dalam senarai pelumba rookie dalam perlumbaan keduanya, iaitu satu pencapaian yang cukup membanggakan.

Hafizh kini menduduki tangga teratas dalam senarai pungutan mata pelumba rookie

Sepanjang 6 perlumbaan yang beliau telah tempuhi musim ini, Hafizh berjaya mengutip mata sebanyak 4 kali dan kini sedang mendahului pungutan mata dalam senarai pelumba rookie. Ia merupakan pencapaian yang hebat buat pelumba yang menyangka beliau akan beraksi dalam Moto2 musim ini.

“Agak sukar untuk saya percaya dengan apa yang telah berlaku. Pertamanya, saya mahu mengucapkan terima kasih kepada Herve kerana mempercayai saya dan memberi peluang untuk saya terus bersama keluarga Tech 3 dan juga menyertai keluarga KTM.”

“Saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada pengurus saya iaitu Dato’ Razlan yang telah banyak membantu saya mencapai impian untuk beraksi dalam kelas MotoGP, dan juga terima kasih kepada KTM kerana percaya dengan saya dan juga Herve.”

“Saya akan berusaha keras untuk tahun 2019 dan kali ini saya akan lebih bersedia kerana pengalaman ini bukan lagi satu kejutan seperti musim ini.”

“Saya sangat gembira kerana diberi peluang ini, saya hampir menangis kegembiraan. Terima kasih kepada semua terutamanya Herve dan Dato’ Razlan kerana selalu mempercayai kemampuan saya.”

Pengurus Monster Yamaha Tech 3, Herve Poncharal meluahkan rasa bangganya melihat pencapaian Hafizh musim ini dan memuji karakter yang dimiliki pemuda dari Malaysia tersebut.

“Hari ini merupakan hari yang cukup istimewa buat saya dan seluruh pasukan Tech 3. Sejak Hafizh beraksi untuk pasukan kami di MotoGP, ia seperti satu mimpi setiap hari kerana beliau sangat laju dan lebih laju dari apa yang kami sangkakan dari beliau.”

Semoga Hafizh dapat mempamerkan pemanduan yang baik dan tidak dihimpit Marquez yang gila

“Kami berasa sangat bangga dengan apa yang Hafizh telah lakukan. Saya tahu ia merupakan pencapaian yang cukup hebat bagi Hafizh menjadi pelumba pertama dari Malaysia beraksi dalam kelas MotoGP.”

“Dalam aksi pertamanya di MotoGP, beliau berjaya mengutip mata dan sejak hari itu, beliau terus konsisten bersaing merebut tempat teratas dalam senarai pelumba rookie. Selain itu, Hafizh juga memiliki karakter yang sangat istimewa.”

Hafizh akan menyertai rakan sepasukannya musim ini, Johann Zarco, Pol Espargaro (Red Bull KTM Factory Racing) dan Miguel Oliveira (Red Bull KTM Ajo) menunggang jentera RC16s musim hadapan.

BACA:  Pawang Hujan Dakwa Fabio Menang Perlumbaan Kerana Meniru Ritualnya