Lewat 3 Minit, Dembele Jadi Pemain Pertama Dihukum Oleh Xavi

Xavi telah membuktikan yang beliau tidak main-main dalam usahanya untuk membawa Barcelona kembali menjadi pasukan yang digeruni, dengan memastikan para pemain harus sentiasa berdisiplin.

Beberapa hari selepas mengeluarkan senarai 10 peraturan yang wajib dipatuhi oleh para pemain dan staff, salah seorang pemain Barcelona sudah dikenakan hukuman denda oleh Xavi.

Ousmane Dembele telah dikenakan hukuman denda oleh pengurus baharu kelab kerana beliau didapati bersalah terlambat 3 minit untuk datang ke pusat latihan.

Ya. Pemain kebangsaan Perancis itu telah dikenakan hukuman denda kerana beliau tiba di pusat latihan jam 8:33, tiga minit dari waktu sepatutnya jam 8:30, sebelum bermulanya sesi latihan jam 10:00.

Ia mungkin nampak terlalu tegas, namun itulah sebaik-baik cara yang boleh Xavi gunakan untuk memperbetulkan disiplin para pemainnya.

Dembele telah melalui musim yang agak mengecewakan dengan beliau hanya mampu membuat satu penampilan sahaja dalam semua pertandingan kerana dibelenggu masalah kecederaan lutut.

satu-satunya penampilan beliau bersama Barca pada musim ini adalah ketika aksi kemenangan 1-0 menewaskan Dynamo Kiev dalam aksi saingan Champions League awal bulan lalu.

Baru-baru ini, Barcelona kena comeback bertemu Celta Vigo dengan mereka yang awalnya mendahului perlawanan 3-0, terpaksa akur terikat dengan 3-3 di penghujung perlawanan.

10 peraturan yang wajib pemain dan staff Barcelona patuhi

Pengurus baru Barcelona, Xavi Hernandez tidak membuang masa untuk memainkan peranan beliau sebagai pengurus harapan yang diharapkan akan berjaya membawa Barca kembali menjadi pasukan yang disegani.

Bekas pemain midfield kelab itu sudah menyenaraikan 10 peraturan baru yang perlu diikuti oleh para pemain dan staff, dan ia merupakan langkah awal untuk buktikan beliau benar-benar bersungguh untuk menaikkan semula kelab.

Pengurus berusia 41 tahun itu dilantik sebagai pengurus Barcelona pada hujung minggu lalu, dengan beliau secara rasminya diumumkan sebagai pengurus pada petang Jumaat lalu di hadapan media dan para peminat.

Beberapa hari sahaja selepas sah menggalas tugas sebagai pengurus kelab, Xavi kini dilihat cuba memperkenalkan sistem baru di Nou Camp, bermula dengan menyenaraikan 10 peraturan yang wajib dipatuhi oleh para pemain dan staff.

Menurut laporan dari media Sepanyol, AS, bekas pengurus Al-Sadd itu memperkenalkan peraturan tersebut kemarin, dalam usahanya untuk mengubah Barca dari pasukan belasahan, kembali menjadi pasukan yang digeruni.

Juara bertahan saingan Copa del Rey itu pada ketika ini sedang berada di kedudukan ke-10 dalam carta La Liga dengan mereka hanya mampu mencatatkan empat kemenangan sahaja dari 12 perlawanan terakhir.

Ia bermaksud, Xavi perlu melakukan perubahan yang drastik atas beberapa hal dalam usaha untuk memperbaiki kesilapan dan kekurangan kelab pada ketika ini.

Berikut merupakan senarai 10 peraturan yang Xavi tetapkan dan wajib dipatuhi oleh para pemain dan staff Barcelona.

1. Para pemain perlu sampai ke pusat latihan 90 minit sebelum latihan bermula

2. Staff perlu sampai ke pusat latihan dua jam sebelum sesi latihan dimulakan

3. Pemain perlu makan di pusat latihan kelab

4. Sistem denda

5. Denda akan digandakan andai kesalahan dilakukan berulang-ulang

6. Pemain mesti sampai di rumah sebelum lewat malam, dua hari sebelum perlawanan

7. Pemain perlu berikan segalanya dalam semua sesi latihan

8. Aktiviti luar padang pemain akan terus dipantau

9. Aktiviti berisiko sudah tidak lagi dibenarkan

10. Imej yang baik sangat diutamakan

Kesemua peraturan tersebut sebenarnya agak tegas dan pemain sepertinya tidak akan dapat kebebasan seperti apa yang mereka lalui bersama pengurus sebelum ini.

Jelas sekali, permintaan beliau untuk para pemain menepati masa untuk jalani sesi latihan dan sebagainya merupakan hal yang biasa dituntut oleh pengurus lain.

Namun ada beberapa peraturan lain yang beliau tetapkan dalam senarai itu, sebenarnya agak menarik untuk dibincangkan.

Beberapa peraturan lain yang dituntut oleh Xavi jelas sekali sangat berbeza berbanding apa yang telah dilalui oleh para pemain sebelum ini.

Peraturan seperti tidak membenarkan aktiviti berisiko, dan mengekalkan imej baik adalah dua peraturan yang paling banyak mencetuskan perdebatan di kalangan peminat.

Kedua-dua peraturan itu dikaitkan dengan berita yang mengatakan bahawa Xavi tidak gembira dengan bagaimana sikap para pemain Barcelona sebelum ketibaan beliau.

Memperkenalkan semula sistem denda juga sebenarnya turut menimbulkan pelbagai perdebatan memandangkan polisi yang sama sebelum ini telah mencetuskan perbalahan dalam bilik persalinan.

Sumber: SPORTbible

BACA:  De Jong Berasa Jelek Dengan Layanan Barcelona Dan Bengang Dengan Xavi