PSG ‘Reject’ Bidaan Luar Biasa Barca Untuk Mbappe

Barcelona dilaporkan telah melakukan bidaan sensasi untuk mendapatkan Kylian Mbappe dengan menawarkan tiga pemain termasuk Ousmane Dembele kepada PSG.

Seorang ejen berprofil tinggi dan mempunyai reputasi besar di dalam dunia perpindahan dikatakan telah mewakili Barcelona untuk berunding dengan PSG.

Kelab Ligue 1 itu bagaimanapun bertindak menolak tawaran daripada kelab Catalan itu kerana tidak berkenaan dengan dua daripada tiga pemain yang ditawarkan kepada mereka.

Kontrak Dembele bersama Barcelona bakal tamat pada musim panas akan datang dan pemain itu sememangnya berada di dalam radar gergasi Perancis itu.

PSG sebelum ini dilaporkan telah melakukan perbincangan dengan Dembele, tetapi klausa pelepasan pemain itu yang terkandung di dalam kontrak bersama Barcelona – meningkat sekali ganda daripada £43 juta kepada £86 juta – menjadi masalah utama untuk PSG membawa pemain itu ke Parc des Princess pada jendela perpindahan musim panas ini.

Laporan daripada Foot Mercato mendedahkan dua lagi pemain yang ditawarkan oleh Barcelona adalah Rapinha dan juga Gavi. Kedua-duanya adalah pemain skuad utama Barcelona.

Dembele dikatakan menolak untuk kekal di Barcelona selepas permintaan gajinya berjumlah sekitar £5-£6 juta tidak dapat dipenuhi kelab.

PSG melantik Luis Enrique sebagai pengendali baharu pada musim panas ini dan dilaporkan mahukan Dembele berada di dalam pasukannya.

Pemain sayap itu telah meminta majikannya untuk membenarkan dirinya berbincang secara langsung dengan PSG. Itu berlaku sebelum klausa pelepasannya meningkat dua kali ganda.

Barcelona sudah tentu berharap mampu mendapatkan sedikit daripada pelaburan berjumlah £135.5 juta yang dibayar kelab itu untuk mendapatkan Dembele daripada Borussia Dortmund pada 2017.

Pemain sayap itu setakat ini telah membantu Barcelona menjuarai tiga kejuaraan La Liga dan menjaringkan 40 gol daripada 185 penampilan.

Walaupun sanggup berpisah dengan Dembele, ia agak mengejutkan Barcelona turut menyenaraikan Gavi, pemain tengah berusia 18 tahun yang dicanang sebagai masa depan kelab Catalan itu.

Rapinha pula baru sahaja dibawa masuk dari Leeds dengan nilai £56 juta pada musim lalu.

BACA:  Man United Tolak Tawaran Barca Yang Berminat Mahu Dapatkan Harry Maguire