Lihat Aksi Lingard Jadi DJ Ketika Menonton Perlawanan England Bertemu Croatia

Video yang memperlihatkan Jesse Lingard sedang menonton aksi perlawanan England sambil bersorak dan bernyanyi bersama rakan-rakannya tular di media sosial.

Sangat menarik untuk menyaksikan bagaimana Lingard memberi sokongan kepada pasukan England walau namanya telah digugurkan dari skuad.

Lingard sebelum ini tersenarai dalam skuad sementara Gareth Southgate namun namanya terpaksa digugurkan ketika pengurus England itu mengeluarkan senarai 26 pemain pilihannya untuk Euro 2020 ini.

Walaupun tidak mendapat tempat dalam skuad utama England, ia tidak menghalang Lingard untuk terus memberi sokongan kepada rakan sepasukannya itu.

Beliau meraikan kemenangan 1-0 The Three Lions menewaskan Croatia dengan begitu bersemangat dan penuh keterujaan.

Bintang Manchester United yang dipinjamkan kepada West Ham itu berkongsi gambar beliau sedang menonton aksi perlawanan pembukaan England bertemu Croatia malam semalam.

Dalam gambar tersebut, beliau dilihat memakai jersi England dengan nama Declan Rice di belakangnya. Tidak dilupakan seekor burung kakak tua (mungkin) yang ada bertenggek di atas bahunya.

Beliau dalam gambar tersebut dilihat sedang memberi tumpuan penuh untuk memberikan sokongan padu kepada skuad kendalian Gareth Southgate.

Lingard turut mengambil kesempatan untuk menjadi DJ selepas tamat perlawanan tersebut dengan meraikan kemenangan England bersama peminat yang lain.

Para peminat di sana turut menikmati suasana yang menakjubkan dengan menonton perlawanan England sambil dihiburkan oleh DJ Lingz.

England akan kembali meneruskan kempen saingan Euro musim ini dengan melayan kunjungan Scotland, sebelum menutup aksi peringkat kumpulan bertemu Czech Republic.

Bercakap selepas kemenangan skuadnya menewaskan Croatia, Southgate menyatakan:

“Kamu tahu jika kamu gagal catat kemenangan dalam perlawanan pembukaan, tekanan untuk kamu akan lebih tinggi.”

“Kita ada dua lagi perlawanan yang sukar selepas ini dalam aksi peringkat kumpulan dan kita telah memulakan kempen ini dengan baik hari ini, tapi masih ada jalan yang harus dilalui untuk layak.”

“Saya sangat berbangga dengan persembahan mereka.”

“Sudah tentu, kemenangan satu hal yang penting. Ini merupakan perlawanan penting, dengan cuaca yang panas dan pemain berjaya sesuaikan diri dengan segera, mengawal bola dengan baik dan kami menyekat Croatia dari mencipta lebih banyak peluang sepanjang aksi perlawanan ini.”

England berjaya menewaskan Croatia 1-0 malam semalam hasil jaringan Raheem Sterling yang menerima umpanan cantik dari Kalvin Phillips.

England selepas ini akan bertemu Scotland pada 19 Jun nanti untuk perlawanan kedua peringkat kumpulan D saingan Euro 2020.

BACA:  Abang Lingard Bantai Keane Dan Neville Kerana Bersikap Berat Sebelah