Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo adalah dua orang pemain bola sepak terhebat di dunia setakat ini. Mereka adalah pemain yang akan mendapat sepenuh perhatian ketika beraksi diatas padang. Segala rekod telah dipegang dan dipecahkan oleh dua pemain ini.
Mereka juga sering menjadi isu perdebatan siapa lebih hebat antara dua pemain terhebat dunia itu. Pelbagai kejayaan telah dicapai oleh kedua pemain ini. Namun masih ada satu piala yang mereka tidak pernah berjaya Untuk miliki hingga saat ini. Piala Dunia, mereka berdua masih belum pernah menjulang piala teragong dalam bola sepak dunia itu.
Piala Dunia telah ditubuhkan pada tahun 1930, kejohanan empat tahun sekali ini adalah kejohanan terbesar untuk peminat bola sepak diseluruh dunia. Bola sepak adalah sukan yang berjaya menyatu padukan rakyat. Terlalu banyak sisi keindahan sukan bola sepak boleh dilihat dalam acara empat tahun sekali itu.
Satu yang menarik untuk ditonton di pentas Piala Dunia adalah, menyaksikan rekod dicipta dan dipecahkan. Setiap edisi piala dunia pasti akan ada rekod baru dicipta atau rekod lama dipecahkan, itu lah sisi indah dalam menonton temasya terbesar bola sepak ini.
Namun bukan semua pemain bintang yang mampu memenangi Piala Dunia ini. Bahkan ada pemain terkenal yang tidak pernah beraksi di pentas Piala Dunia kerana Negara yang mereka wakili tidak layak untuk ke pusingan akhir temasya itu.
Walaupon bergelar pemain terbaik dunia ketika ini, mereka tidak pernah menjulang Piala teragung itu. Pelbagai rekod telah dicipta oleh dua pemain ini, namun ada rekod yang mungkin tidak akan dapat dipecahkan.
Disini kita kongsikan lima rekod yang sukar dan mungkin tidak akan pernah dipecahkan oleh dua bintang bola sepak terhebat dunia ini.
5) Bantuan Jaringan Terbanyak
Pemegang untuk rekod assist terbanyak dalam piala dunia dipegang oleh lagenda bola sepak Brazil, Pele. Beliau telah beraksi dalam 4 kejohanan Piala Dunia sepanjang kariernya dan telah menyumbangkan 10 assist untuk pasukan Brazil dalam pentas teragung itu.
Lagenda Brazil itu hanya melakukan tiga assist dari tiga penampilan pertama beliau di pentas Piala Dunia pada tahun 1958, 1962 dan 1966. Pada edisi piala dunia tahun 1970 Pele telah menunjukkan aksi luar biasa dengan melakukan 7 assist dalam kejohanan itu lalu membantu pasukan Brazil menjuarai Piala Dunia pada ketika itu.
Secara tidak langsung tujuh assist yang dilakukan itu adalah jumlah tertinggi untuk satu kejohanan Piala Dunia yang dilakukan oleh seorang pemain. Lagenda Brazil itu juga telah berjaya melakukan tiga assist dalam perlawanan akhir Piala Dunia pada tahun 1958 dan 1970. Itu juga adalah rekod yang masih belum dipecahkan sehingga kini.
Messi mempunyai lima assist dari 19 penampilan dalam Piala Dunia, sementara Ronaldo mempunyai dua assist dari 17 penampilan dalam Piala Dunia. Bolehkah salah satu daripada mereka memecahkan rekod Pele? Ia tidak mustahil tetapi kelihatannya seperti tidak mungkin.
4) Ketua Pasukan Paling Banyak Beraksi
Rekod ketua pasukan yang paling banyak beraksi di pentas Piala Dunia dipegang oleh Rafael Marquez dari Mexico, beliau memakai armband untuk negaranya di Piala Dunia sebanyak lima edisi. Bekas pemain pertahanan Barcelona itu dipilih sebagai kapten pasukan Mexico buat pertama kalinya pada Piala Dunia 2002, oleh pelatih Mexico ketika itu, Javier Aguirre, meskipun ketika itu beliau baru berusia 23 tahun.
Marquez menerajui pasukan Mexico pada tahun 2002 sehingga 2018. Beliau menjadi pemain bola sepak ketiga di dunia untuk bermain dalam lima edisi Piala Dunia dan juga yang pertama bermain dalam lima edisi sebagai kapten pasukan.
Messi telah dipilih sebagai ketua pasukan Argentina pada tahun 2011 ketika Alejandro Sabella menjadi jurulatih pasukannya. Messi juga telah beraksi dalam dua edisi Piala Dunia sebagai ketua pasukan. Messi telah mewakili Argentina dalam empat edisi Piala Dunia setakat ini, sama seperti Ronaldo untuk negaranya.
Walau bagaimanapun, Pemain Portugis itu telah bermain dalam tiga edisi Piala Dunia sebagai ketua pasukan. Ronaldo dilantik menjadi ketua pasukan Portugal pada tahun 2008 ketika Carlos Queiroz menjadi pengurus untuk pasukan kebangsaan Portugal.
Dilihat kepada usia Ronaldo dan Messi ketika ini sangat sukar untuk mereka memecahkan rekod yang dipegang oleh Marquez dan kemungkinan rekod ini tidak akan berjaya dipecahkan oleh mereka.
3) Penjaring Gol Termuda
Pele mula bermain di Piala Dunia buat kali pertama pada tahun 1958, beliau melakukan debut Piala Dunianya ketika beraksi dalam perlawanan peringkat akhir kumpulan menentang Kesatuan Soviet. Beliau tidak dapat menjaringkan gol, tetapi Brazil memenangi perlawanan itu dengan keputusan 2-0.
Brazil kemudian bertemu Wales diperingkat suku akhir dan dalam perlawanan itu lah Pele menjaringkan gol pertama Piala Dunianya. Ketika itu Pele hanya berusia 17 tahun 239 hari. Brazil memenangi perlawanan itu dengan keputusan 1-0. Jaringan kemenangan dari Pele itu menjadikan dia pemain paling muda yang menjaringkan gol dalam sejarah Piala Dunia.
Pele juga memegang dua lagi rekod sebagai penjaring termuda dalam kejohanan Piala Dunia. Lagenda Brazil itu adalah pemain termuda yang menjaringkan Hatrik dipentas Piala Dunia dan pemain termuda yang menjaringkan gol dalam perlawanan akhir Piala Dunia.
Messi pula telah menjaringkan gol pertama dalam piala dunianya untuk Argentina ketika menentang Serbia dan Montenegro pada edisi Piala Dunia 2006. Messi ketika itu berusia 19 tahun. Ronaldo pula menjaringkan gol pertamanya dipentas Piala Dunia sewaktu berusia 21 tahun ketika menentang Iran di pentas Piala Dunia 2006.
Ketiga-tiga rekod yang dicipta oleh Lagenda Brazil itu tidak dapat dipecahkan sehingga kini. Messi dan Ronaldo jelas mustahil untuk melakukannya.
2) Kemunculan Di Perlawanan Akhir Terbanyak
Rekod pemain yang paling kerap bermain di perlawanan akhir dalam Piala Dunia dikongsi antara enam pemain. Nilton Santos, Pele, Cafu dan Ronaldo dari Brazil bersama Pierre Littbarski dan Lothar Matthaus dari Jerman Barat adalah antara pemain yang paling kerap beraksi di pentas perlawanan akhir Piala Dunia.
Di antara mereka, hanya Pele yang berjaya memenangi kesemua perlawanan akhir yang beliau sertai. Sementara Santos, Cafu, dan Ronaldo menduduki tempat kedua dengan memenangi dua dari tiga perlawanan akhir mereka manakala Littbarski dan Matthaus memenangi satu dari tiga perlawanan akhir mereka di pentas Piala Dunia.
Messi berjaya membawa Argentina layak ke perlawanan akhir Piala Dunia 2014 tetapi mereka tewas kepada pasukan Jerman ketika itu. Sebaliknya, penamat terbaik Ronaldo dipentas Piala Dunia hanyalah sekadar sampai ke peringkat separuh akhir yang dilakukan ketika penampilan piala dunia pertamanya untuk Portugal pada tahun 2006.
Tidak mungkin untuk Ronaldo dan Messi memecahkan rekod ini, memandangkan rekod semasa dan usia mereka yang memustahilkan untuk kedua-dua pemain itu melakukannya.
1) Pemain Yang Memenangi Piala Dunia Terbanyak
Piala Dunia sudah dimulakan sejak tahun 1930 lagi dan seramai 445 orang pemain telah berjaya menjadi sebahagian dari pasukan pemenang kejohanan ini.
Dari 445 pemain itu hanya 21 orang pemain sahaja yang pernah memenangi Piala Dunia lebih dari sekali dalam karier mereka.
Dan hanya ada seorang pemain sahaja yang berjaya menjulang piala teragung itu lebih dari dua kali, pemain itu adalah Pele.
Lagenda Brazil itu memenangi Piala Dunia pertamanya pada tahun 1958 dan ketika itu juga beliau memegang rekod sebagai penjaring termuda dalam perlawanan akhir Piala Dunia serta menjadi pemain termuda memenangi Piala Dunia dengan usia 17 tahun.
Pele memenangi dua lagi edisi Piala dunia pada tahun 1962 dan 1970 menjadikan beliau sebagai seorang Lagenda yang pernah menjulang tiga Piala Dunia sepanjang Kariernya.
Kesemua rekod yang telah dicipta oleh Lagenda Brazil itu bukan sahaja tidak mampu untuk dipecahkan oleh pemain sehebat Messi dan Ronaldo bahkan rekod-rekod itu sangat sukar untuk dipecahkan oleh siapa pun.