Linangan Air Mata Iringi Persaraan Sergio Aguero

Dunia bola sepak telah kehilangan satu lagi permata berharga apabila bintang bola sepak Argentina dan Manchester City serta Barcelona, Sergio Aguero, telah mengumumkan persaraannya daripada sukan bola sepak.

Aguero terpaksa mengambil keputusan sedemikian selepas dia mengalami masalah kesihatan degupan jantung tidak sekata atau dalam bahasa perubatannya disebut cardiac arrythmia.

Aguero yang baru berusia 33 tahun hanya melakukan lima penampilan buat pasukan Barcelona dek masalah kecederaan dan kesihatan sejak berpindah ke Sepanyol.

Pada 30 Oktober lalu, dia terpaksa dikejarkan ke hospital selepas mengalami ketidakselesaan di bahagian dada ketika pasukannya seri 1-1 dengan Alaves.

Untuk rekod, Aguero menamatkan karier bola sepaknya dengan mencatatkan rekod 427 gol dalam 786 perlawanan.

Sidang media pengumuman persaraan Aguero tersebut telah dihadiri ramai peminat serta rakan bola sepak. Antaranya adalah Pep Guardiola yang sanggup terbang ke Barcelona semata-mata untuk bersama Aguero dalam majlis yang penuh syahdu ini.

Persaraan Diiringi Air Mata

Aguero jelas seorang pemain yang disayangi oleh ramai peminat dan pemain, sama ada rakan sepasukan ataupun lawan. Menerusi tinjauan kami di Twitter, ramai pemain dan penyokong telah menzahirkan rasa sedih dan hormat mereka di atas persaraan ini yang dirasakan terlalu awal bagi pemain sebaik Aguero.

Bekas rakan sepasukan di Manchester City, Leroy Sane telah menciap;

“Seorang legenda sebenar dalam permainan ini.
“Adalah satu kebanggaan dapat beraksi bersama kamu, Sergio.
“Aku ucapkan selamat maju jaya untuk masa depan kamu.”

Bekas kapten Manchester City yang telah banyak kali menjulang Liga Perdana Inggeris bersama Aguero, Vincent Kompany, turut menciap di akaun rasmi Twitternya.

“Seorang penyerang yang luar biasa telah bersara daripada sukan ini, tetapi juga merupakan seorang rakan sepasukan yang mantap, seorang kawan dan seorang yang berpersonaliti unik. Terima kasih dan salam hormat kepada fenomena sebenar Man City.
“Saya ucapkan yang terbaik buat legenda terbaik.”

Pasukan gergasi Jerman, Bayern Munich, tidak ketinggalan untuk memuatnaik ciapan yang penuh hormat kepada legenda ini.

“Dukacitanya karier yang mantap telah berakahir.
“Selamat maju jaya untuk masa depan, Sergio Aguero.”

Bekas kapten Chelsea, John Terry, telah mengiktiraf Aguero antara pemain terbaik yang pernah beraksi di Liga Perdana Inggeris, sambil memuatnaik gambarnya memegang trofi liga.

Pendahulu La Liga, Real Madrid, turut mengucap selamat kepada Aguero.

“Adalah satu kebanggaan dapat bersaing dengan pemain seperti kamu Sergio Aguero, salah seorang pemain terbaik dalam dunia. Semoga berjaya buat kami dan keluarga kamu.”

Statistik Gila Aguero

Penjaring Keempat Terbanyak

Aguero adalah penjaring keempat terbanyak dalam sejarah Liga Perdana Inggeris dengan 184 gol dalam 275 perlawanan, hanya di belakang Alan Shearer yang menjaringkan 260 gol, Wayne Rooney dengan rekod 208 gol dan Andrew Cole yang berjaya menembusi gawang lawan sebanyak 187 kali.

Dia juga merupakan penjaring terbanyak bagi kategori rakyat asing, sembilan gol mengatasi Thierry Henry yang merekodkan 175 jaringan.

Conversion Rate Yang Tinggi

Selain itu, Aguero juga telah menjaringkan satu gol dalam setiap 108 minit perlawanan dalam Liga Perdana Inggeris dan ini adalah kadar conversion yang paling tinggi dalam liga terbaik di dunia tersebut.

Sebenarnya, Aguero masih boleh bermain selama 2520 minit, bersamaan dengan 28 perlawanan dalam Liga Perdana Inggeris tanpa jaringan dan masih lagi mempunyai nisbah minit per gol terbaik bagi mana-mana pemain yang telah menjaringkan lebih 20 gol.

Hatrik

Penyerang Argentina ini telah mencipta 18 hatrik dalam kariernya, termasuk 12 kali di dalam saingan Liga Perdana Ingggeris – rekod tertinggi bagi mana-mana pemain dalam divisyen tertinggi bola sepak England.

Konsistensi

Di antara musim 2007-08 sehingga musim 2019-20, Aguero telah menjaringkan sekurang-kurangnya 20 gol semusim, dalam 12 daripada 13 musim tersebut. Dia juga telah mencapai lebih 30 gol dalam lima musim berasingan sepanjang bersama Manchester City.

Liga Juara-Juara UEFA

Secara totalnya, Aguero telah menjaringkan 36 gol buat Manchester City dalam saingan tertinggi buat kelab-kelab Eropah, Liga Juara-Juara UEFA – berkongsi rekod bersama Didier Drogba. Jumlah ini merupakan jaringan terbanyak daripada seorang pemain, buat kelab-kelab Inggeris.

Pasukan Lawan

Sebanyak 128 pasukan telah merasai bagaimana perasaannya selepas gol mereka dibolosi Aguero. Antaranya adalah Barcelona, Real Madrid, Bayern Munich, Chelsea, Liverpool, Manchester United dan juga Queens Park Rangers.

BACA:  Aguero Dedah Mesej Yang Messi Kirim Selepas Real Peroleh Gol Ketiga Mereka