Liverpool Aktifkan Klausa Pelepasan Bernilai €70 Juta Dominik Szoboszlai

Selepas mengesahkan ketibaan Alexis Mac Allister, Liverpool kini dilaporkan turut berjaya merekrut Dominik Szoboszlai apabila kelab Merseyside itu mengaktifkan klausa pelepasan bernilai €70 juta pemain RB Leipzig itu.

Menurut laporan The Athletic, Liverpool telah memaklumkan kepada RB Leipzig mengenai pelepasan kontrak tersebut.

Pakar perpindahan Fabrizio Romano turut mengesahkan proses perpindahan Szoboszlai kini sedang dalam proses untuk dilengkapkan.

“Liverpool telah mencapai persetujuan dengan Szoboszlai untuk semua terma peribadi. Pemain muda itu akan menjalani pemeriksaan kesihatan dan kemudian bersedia melakukan debut untuk pasukan barunya itu.”

Szoboszlai menjadi pemain kedua yang direkrut oleh Liverpool pada musim panas ini.

Sebelum ini Jurgen Klopp berjaya menambat Mac Allister pada harga €40 juta yang dianggap sangat munasabah.

Kedua-dua pemain dibawa masuk untuk memperbaiki keupayaan jentera tengah Liverpool yang dianggap sebagai posisi paling bermasalah pada musim lalu.

Setelah tamat musim 2022/23 yang lalu, kelab berpengkalan di Anfield itu turut telah melepaskan James Milner, Naby Keita dan Oxlade-Chamberlain – bermakna Klopp memerlukan pengganti.

Szoboszlai adalah pemain tengah versatile dan mempunyai corak permainan persis Toni Kroos.

Walaupun tidak mempunyai pengalaman di Premier League, dan berusia 22 tahun, pemain berasal dari Hungary itu dipandang tinggi oleh Klopp.

Maka tidak hairanlah mengapa harganya lebih tinggi berbanding perpindahan Mason Mount daripada Chelsea ke Man Utd, kerana pemain seperti  Szoboszlai  ibarat ketibaan bakal pemenang Ballon d’Or dan seorang berkelas dunia ke Anfield.

Mempunyai kemampuan beraksi sebagai pemain No.8 dan No.10, Szoboszlai juga boleh beraksi sebagai penyerang utama pasukan.

Musim lalu pemain ini menjaringkan 10 gol dan menghasilkan 11 assist di semua pertandingan untuk RB Leipzig.

BACA:  Klopp Lebih Rela 'Kalah' Daripada Menang Seperti Sergio Ramos