Liverpool Cipta Rekod Dan Sejarah Baharu Premier League Selepas Tewaskan Newcastle

Liverpool mencipta rekod dan sejarah baharu Premier League selepas berjaya menewasakan Newcastle.

Kemenangan 4-2 di Anfield pada awal pagi tadi membenarkan The Reds mencipta kelebihan tiga mata di kedudukan teratas Premier League dalam misi memburu kejuaraan pada musim ini.

Walaupun kemenangan Liverpool itu nyata, ia tidaklah semudah seperti yang dilihat di atas kertas. Malah pada satu ketika Newcastle berjaya menyamakan kedudukan ketika perlawanan berbaki 16 minit melalui jaringan Alexander Isak yang memadam gol Mohamed Salah.

Skuad kendalian Jurgen Klopp bagaimanapun nyata bersemangat untuk mencipta kemenangan di perlawanan pertama tahun 2024 apabila Curtis Jones dan Cody Gakpo menjaringkan dua gol pantas pada babak kedua.

Newcastle enggan menyerah kalah dengan mudah dan cuba bangkit melalui jaringan Sven Botman untuk menjadikan kedudukan 3-2 – untuk penamat yang mendebarkan.

Bagaimanapun Mohamed Salah memadam harapan pasukan pelawat apabila tenang menyempurnakan sepakan penalti selepas Diogo Jota didakwa dikasari oleh penjaga gol di dalam kotak penalti.

Dominasi anak buah Klopp dalam perlawanan ini turut membantu Liverpool mencipta rekod baharu Premier League.

34 percubaan sepanjang perlawanan yang dihasilkan oleh pasukan yang kini bergelar pilihan juara turut bermakna mereka telah menghasilkan 7.27 jangkaan gol (expected goal).

Data itu adalah yang tertinggi pernah direkodkan oleh mana-mana kelab Premier League sejak OPTA mulai mengumpul data di pertandingan tersebut pada 2010.

Selepas perlawanan Klopp yang jelas gembira dengan kemenangan tersebut berkata: “Ia adalah perlawanan sensasi ditampilkan pasukan saya. Kami memulakan perlawanan dengan penuh semangat.

“Semua orang melihat bagaimana Dubravka (kehebatan penjaga gol Newcastle) atau kami sendiri menjadikan jumlah jaringan tidak berapa jelas.

“Perlawanan yang maha hebat. Ada banyak aspek dalam perlawanan ini saya amat suka selain gol yang membocori kami.

“Perlawanan yang luar biasa. Atmosfera luar biasa. Daripada segi counter-pressing ia adalah ilmu yang hebat untuk bola sepak. Mereka semua harus menyaksikan ini, ambil pelajaran daripadanya dan teruskan bermain begini. Semuanya hebat belaka.

“Usaha sama harus diteruskan. Kami mempunyai lima enam hari untuk berlatih sebelum perlawanan seterusnya.

BACA:  Marco Asensio Sanggup Terima Pemotongan Gaji Demi Untuk Menyertai Liverpool