Liverpool Tawarkan Gaji Bernilai £100k Seminggu Kepada Bintang Real Madrid

Liverpool dilaporkan bersedia untuk menawarkan tawaran bernilai £100,000 seminggu kepada bintang Real Madrid, Marco Asensio dalam usaha mereka untuk memperkuatkan skuad.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu sangat berminat untuk mendapatkan khidmat Marco Asensio dan kerana itulah mereka menyediakan tawaran bernilai £100,000 itu kepada bintang Los Blancos itu.

The Reds telah dikaitkan dengan Marco Asensio sejak sekian lama dahulu dan terbaru terdapat laporan yang menyatakan bahawa mereka akan menghantar bidaan rasmi kepada Real Madrid untuk mendapatkan bintang berusia 26 tahun itu.

Menurut sumber laporan dari media AS, AC Milan turut sedang berusaha untuk memujuk Los Blancos supaya melepaskan pemain midfield mereka itu.

Walau bagaimanapun, AC Milan gagal untuk memenuhi kehendak pemain itu sendiri yang masih tidak mahu meninggalkan Real Madrid.

Media tersebut turut mendakwa yang gergasi Eropah itu meminta yuran perpindahan bernilai £33.4 juta untuk melepaskan bintang kebangsaan Sepanyol itu.

Walau bagaimanapun, Juara saingan Serie A itu tidak mampu untuk membayar yuran perpindahan yang Real Madrid minta dengan mereka hanya mampu menawarkan €30 juta sahaja untuk mendapatkan Asensio.

Rundingan bersama pemain juga sepertinya bermasalah dengan The Rossoneri hanya mampu menawarkan £75,000 seminggu sahaja untuk mendapatkan bintang Sepanyol itu.

Liverpool sementara itu mampu untuk menawarkan gaji yang lebih banyak berbanding apa yang ditawarkan oleh AC Milan.

Media dari Madrid telah mendedahkan yang Liverpool sememangnya sudah membuat tawaran rasmi bernilai £100,000 seminggu (€6 juta setahun) kepada bintang Los Blancos itu sendiri.

Memandangkan AC Milan sepertinya tidak mahu meneruskan usaha mereka dalam memburu Asensio, maka ia memberi ruang yang lebih selesa untuk Liverpool menamatkan rundingan.

Selepas berjaya menandatangani bintang Benfica, Darwin Nunez pada jendela perpindahan musim panas ini, Jurgen Klopp sepertinya sudah bersedia untuk memperkuatkan barisan midfield beliau dengan mendapatkan khidmat Asensio.

Liverpool turut berjaya melengkapkan pembelian pemain muda seperti Fabio Carvalho dan Calvin Ramsay pada jendela perpindahan musim panas ini.

Dengan Takumi Minamino sudah melengkapkan perpindahannya menyertai Monaco, Divock Origi pula ke Milan, Liverpool turut kehilangan Sadio Mane yang memilih untuk menyertai Bayern Munich.

Kehilangan semua pemain di posisi serangan itu sedikit sebanyak merisaukan Jurgen Klopp yang mahu segera memperkuat bahagian tersebut.

Masa depan Naby Keita dan Alex Oxlade Chamberlain juga sepertinya masih samar-samar dengan kedua-dua pemain itu turut berpotensi untuk dilepaskan.

Hal ini menyebabkan berita Liverpool mahu mendapatkan Asensio semakin hangat dibincangkan dengan ramai peminat percaya The Reds bakal berjaya membawa bintang Sepanyol itu ke Anfield dalam masa terdekat ini.

Carlo Ancelotti sebelum ini pernah mendedahkan yang beliau tidak berhasrat untuk menjual Marco Asensio, namun memandangkan bintang Sepanyol itu sendiri mahukan minit permainan, maka beliau sepertinya akan terpaksa akur untuk melepaskan pemain midfieldnya itu pergi.

Walau bagaimanapun, Liverpool sendiri juga sepertinya tidak mungkin akan mampu menjanjikan minit permainan kepada Asensio dan hal itu sepertinya sedikit menyukarkan untuk The Reds mendapatkan khidmatnya.

AC Milan lebih berpotensi untuk mendapatkan Asensio kerana mereka mampu menjanjikan minit permainan yang mencukupi kepada bintang Sepanyol itu.

Walau bagaimanapun juga, segala keputusan kini di tangan Asensio sendiri, dan tidak akan mengejutkan andai melihat beliau akan memilih untuk ke Anfield walau tiada jaminan minit permainan untuknya.

Liverpool masih belum menghantar bidaan rasmi, dan mereka sepertinya akan melakukan hal tersebut dalam masa terdekat ini.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Laluan Liverpool Untuk Menjuarai Liga Semakin Mudah