Lukaku Menegaskan Yang Dirinya Layak Dianggap Penyerang Berkelas Dunia

Romelu Lukaku menyatakan yang beliau selayaknya untuk dianggap sebagai salah seorang penyerang berkelas dunia ketika bercakap dalam temu bual menjelang perlawanan bertemu Portugal.

Beliau memberi hujah-hujah yang menarik untuk peminat sedar yang dirinya layak untuk dikategorikan sebagai penyerang berkelas dunia.

Lukaku ketika ini sudah berjaya menjaringkan tiga gol dalam saingan Euro 2020, selepas sebelum ini beliau mengharungi musim yang cukup gemilang bersama Inter Milan.

Beliau berjaya meledak 24 gol dalam saingan Serie A ketika membantu Inter Milan memenangi gelaran Scudetto pada musim lalu.

Bintang berusia 28 tahun itu mahu dikenali sebagai salah seorang penyerang elit dalam dunia bola sepak, dan meletakkan namanya sebaris dengan Robert Lewandowski, Karim Benzema dan Harry Kane.

Lukaku dalam kenyataannya beliau telah menyatakan:

“Ketika orang bercakap tentang Lewandowski, Benzema atau Kane, mereka akan anggap mereka ini berkelas dunia.”

“Tapi bila bercakap tentang saya, mereka hanya anggap saya berada di tahap persembahan terbaik. Tapi itu yang membantu saya untuk bekerja lebih keras dan menjadi lebih kuat.”

“Saya berhak untuk ada dalam senarai pemain berkelas dunia.”

Bekas bintang Manchester United itu berjaya mempamerkan aksi persembahan yang cukup mengagumkan di peringkat kumpulan saingan Euro 2020.

Beliau berjaya membantu Belgium untuk mara ke pusingan 16 terbaik sebagai Juara kumpulan selepas mencatatkan tiga kemenangan dari tiga perlawanan.

Menjelang aksi pertemuan bertemu Portugal di pusingan 16 terbaik ini, pengurus Belgium, Roberto Martinez telah memberikan pujian yang menggunung kepada penyerangnya itu dan turut bersetuju dengan keputusannya menyertai Inter Milan.

“Dengan Romelu, kita selalu bercakap tentang bakat individunya. Dia telah dilahirkan dengan kapasiti untuk menjaringkan gol dan jika kamu lihat, statistik dia membuktikannya. Jumlah gol yang dia jaringkan untuk setiap pasukan dia wakil sungguh menakjubkan.”

“Apa yang kita bincangkan sekarang, walau bagaimanapun, adalah tentang pemain yang berbeza. Sekarang kita bincangkan tentang pemain yang berada di kemuncak bakat individunya, dia betul-betul berada di tahap tertinggi dalam kematangannya.”

“Saya sangat kenal dia kerana saya yang tandatangani dia bersama Everton di usia dia 19 tahun, tapi hari ini dia jelas manusia berbeza dan pemain yang berbeza. Dia boleh beri kesan pada pemain lain.”

“Kamu boleh tetapkan pelbagai cara untuk melakukan pressing, cara permainan yang berbeza, dan dia akan mampu untuk menyesuaikan diri dengan sempurna.”

“Dan itu adalah kemungkinan salah satu perbezaan yang ada dalam diri dia yang saya nampak sejak 12 ke 13 bulan terakhir ini, dan mungkin sebelum itu lagi.”

“Menyertai Inter Milan merupakan langkah yang bijak dari dia, dan ia adalah diwaktu yang tepat, bersama pengurus yang tepat dengan berjaya memenangi gelaran Serie A. Saya rasa semua itu telah membantu Lukaku untuk lebih berkembang dan saya rasa dia sedang berada di tahap yang terbaik dalam kariernya.”

Lukaku mempunyai tugas berat selepas ini dengan beliau akan memimpin skuad Belgium untuk bertemu Portugal awal pagi esok dalam perlawanan pusingan 16 terbaik saingan Euro 2020.

Seandainya Belgium berjaya menewaskan Portugal, lawan mereka selepas ini adalah Itali yang sudah menunggu di peringkat suku akhir, selepas menewaskan Austria 2-1 awal pagi tadi.

Perlawanan ini juga akan mempertemukan Lukaku bertemu Cristiano Ronaldo dengan kedua-dua mereka sedang mengejar gelaran kasut emas untuk saingan European Championship kali ini.

Cristiano Ronaldo ketika ini sudah berjaya menjaringkan 5 gol sementara Lukaku pula baru menjaringkan tiga gol di peringkat kumpulan sebelum ini.

Skuad emas Belgium tentunya akan berusaha sehabis daya mereka untuk menewaskan Portugal seterusnya mara ke peringkat suku akhir, dalam usaha mereka untuk menjuarai saingan Euro 2020 ini.

Portugal pula tentunya akan melakukan sesuatu untuk mempertahankan kejuaraan Euro yang mereka menangi pada 2016 yang lalu dengan menyingkirkan Belgium di pusingan 16 terbaik ini.

Apa yang pasti, Cristiano Ronaldo tentunya akan berusaha untuk menambah lagi gol jaringan beliau, dalam usahanya untuk memecahkan rekod Ali Daei sebagai penjaring gol terbanyak sepanjang zaman di pentas antarabangsa.

Siapa yang akan memenangi perlawanan ini akan terjawab dengan kedua-dua Portugal dan Belgium akan bertemu awal pagi esok di La Cartuja Stadium.

BACA:  Romelu Lukaku Akhirnya Berjaya Menunjukkan Impak Seperti Yang Chelsea Harapkan