Lukaku Mengamuk Pecahkan Cermin Bangku Simpanan

Lukaku

Penyerang Belgium, Romelu Lukaku Bolingoli nyata tidak dapat menahan dan mengawal emosinya selepas gagal membantu Belgium mara dengan membazirkan beberapa deretan peluang yang tidak masuk akal.

Namun itulah bola sepak yang sememangnya kejam dan mengingatkan kembali dunia dengan pepatah terkenal seorang legenda bola sepak:

“Bola tu kalau dah dia tak nak masuk gol buat macam mana pun memang tak akan masuk lah.”

Dan itulah yang terjadi kepada Lukaku dalam perlawanan menentang Croatia di mana Belgium memerlukan kemenangan untuk layak ke pusingan 16 terakhir.

Sekurang-kurangnya tiga gol atau hatrik boleh dicetak oleh Lukaku dengan hanya satu tolakan mudah dan dua peluang lagi boleh dimaafkan namun itu juga tidak terjadi.

Selepas wisel penamat Lukaku telah menumbuk cermin di bangku simpanan sehingga pecah dan patah sebelum ditenangkan oleh staf kejurulatihan Belgium termasuklah Thierry Henry.

Tiada sesiapa yang boleh dipersalahkan Lukaku selain diri sendiri ketika orang ramai dengan mudah boleh meletakkan semua kesahalahan ke atas Lukaku.

Pemain penyerang Inter Milan yang dipinjam dari Chelsea itu telah berlinang air mata ketika dia melalui terowong untuk ke bilik persalinan.

Lukaku bergelut dengan kecederaan menjelang Piala Dunia dan tidak cukup cergas untuk memulakan perlawanan menentang Croatia – hanya memasuki permainan pada separuh masa ketika Belgium terumbang-ambing di ambang penyingkiran.

Dalam beberapa minit di padang dia melepaskan rembatan kaki kanan yang menghentam tiang apabila dihadiahkan peluang dengan gol terbuka.

Kegagalan pertama itu menjadi pemula kepada kesilapannya pada babak kedua yang mengerikan bagi mana-mana pemain dalam perlawanan getir.

Tidak lama selepas dia menanduk melepasi palang dari jarak enam ela dengan gol ternganga – walaupun gol, jaringan itu tidak akan dikira kerana hantaran lintang Kevin De Bruyne telah keluar dari permainan.

Pemain berusia 29 tahun itu kemudian melakukan percubaan meliar dari jarak empat ela apabila bola tiba-tiba datang kepadanya dengan pantas.

Kemudian kesilapan terbesar datang dari hantaran lintang Thorgan Hazard yang menghantar ke tiang jauh menemui lagi Lukaku dari jarak tiga ela ketika gawang terbuka.

Namun Lukaku memilih untuk mengawal dahulu bola dengan dada dan tidak terus melakukan first timer, sentuhan pertamanya telah memberi peluang kepada Croatia menutup ruang.

Tidak dapat dinafikan lagi bola sangat mesra dengan Lukaku dalam perlawanan ini, yang menunjukkan dia berada dalam posisi terbaik dan nalurinya sebagai seorang penyerang sangat tajam

Semuanya baik buat Lukaku kecuali sentuhan penyudah dan mungkin kerana baru pulih dari kecederaan menjadi faktor kenapa Lukaku gagal pamerkan penyudah.

Pakar BBC Sport berasa simpati terhadap Lukaku dan percaya bahawa dia tidak bersedia untuk bermain menentang Croatia.

Bekas penyerang Chelsea, Didier Drogba berkata selepas Lukaku memecahkan cermin bangku simpanan:

“Dia kecewa bukan sahaja kerana dia terlepas gol tetapi kerana semangat pasukan di kejohanan ini. Semua bercakap tentang pergaduhan antara pemain. Inilah yang akan buatkan Lukaku lebih kecewa berbanding peluang yang terlepas.”

Dia menambah:

“Kita tidak boleh menyalahkan seseorang yang telah cedera selama dua bulan. Sebagai penyerang dia sepatutnya lebih berhati-hati, tetapi anda tidak boleh menyalahkannya.”

Rakan pakar BBC, Alan Shearer menambah:

“Ia akan menyakitinya. Dia masih belum bersedia, jika tidak mereka akan menurunkannya. Dia memberi mereka titik fokus. Kekurangan masa permainannya telah merugikan mereka.”

Drogba menambah:

“Anda memerlukan lebih banyak permainan untuk mencari rentak. Jika mereka adalah pasukan yang positif, dengan tenaga yang positif, saya tertanya-tanya sama ada satu daripada peluang ini akan masuk?”

Berkenaan dengan kesilapan terakhirnya yang melantun dari dada Lukaku, Drogba berkata:

“Ini adalah jenis gol (Filippo) Inzaghi akan jaringkan, gol akan berada di hujung kakinya. Cakap-cakap tentang pergaduhan di kem, sebab itu dia kecewa.”

BACA:  Peminat Chelsea Garu Kepala Tidak Percaya Lukaku Gagal Sudahkan Peluang