Man City Sudah Hampir Pasti Tandatangani Haaland Pada Musim Panas Nanti

Manchester City dilaporkan sudah mencapai kata sepakat untuk menandatangani Erling Haaland dari Borussia Dortmund pada musim panas ini.

Haaland merupakan antara pemain penyerang terhebat dalam dunia bola sepak hari ini, dengan banyak pasukan gergasi Eropah yang berusaha mendapatkan khidmatnya.

Real Madrid, Barcelona, Paris Saint Germain, Manchester United, Chelsea dan Liverpool merupakan antara pasukan yang benar-benar berminat untuk mendapatkan khidmat Haaland.

The Daily Mail melaporkan yang Haaland dijangka akan menyertai Manchester City dengan sumber terdekat mengatakan yang pemain berusia 21 tahun itu akan mendesak agar beliau akan dilepaskan ke Etihad.

Syarat peribadi telah dirundingkan antara wakil Man City dan wakil Erling Haaland sendiri dan kini Juara bertahan saingan Premier League itu bersedia untuk menawarkan kontrak kepada bintang Norway itu.

Haaland memiliki klausa perlepasan bernilai £63 juta dalam kontraknya bersama Borussia Dortmund dengan City dilaporkan perlu membayar sekitar £100 juta untuk membawanya ke Etihad.

Nilai £100 juta itu termasuklah yuran perpindahan, bayaran kepada ejen, bonus kontrak dan segala kos-kos lain untuk melengkapkan urusan penandatanganan tersebut.

Nilai tersebut jelas sekali tidak ada masalah untuk Man City dengan mereka juga turut meletakkan Haaland sebagai pemain sasaran utama kelab pada musim panas ini.

Pengurus Man City, Pep Guardiola dilaporkan sudah lama mendesak pihak kelab untuk mendapatkan pemain penyerang terbaru selepas pemergian Sergio Aguero.

Musim panas lalu mereka berusaha keras mahu mendapatkan Harry Kane, namun usaha Man City itu berakhir dengan kegagalan.

Man City bahkan telah menawarkan £150 juta kepada Tottenham Hotspur untuk mendapatkan Harry Kane, namun tawaran mereka diabaikan oleh Daniel Levy.

Harry Kane sendiri sebenarnya turut berminat untuk melengkapkan perpindahan menyertai Man City namun beliau akhirnya terpaksa akur dengan keputusan kelab.

Ayah kepada Haaland, Alf-Inge pernah tiga tahun beraksi bersama Manchester City sebelum ini dan keluarganya dikatakan masih mempunyai hubungan yang baik dengan kelab.

Menurut sumber pelbagai media di Eropah, Haaland kini dikatakan kuat mahu menyertai Manchester City berbanding pasukan lain yang mahu mendapatkan khidmatnya.

Erling Haaland pada ketika ini terpaksa diketepikan dari skuad utama Borussia Dortmund kerana sedang dibelenggu masalah kecederaan.

Beliau walau bagaimanapun dikatakan sudah semakin hampir untuk kembali sertai skuad utama selepas kecederaan ototnya beransur pulih.

Haaland telah berjaya menjaringkan 80 gol dari 79 perlawanan untuk Borussia Dortmund, sejak dari awal ketibaannya ke Signal Iduna Park dari Red Bull Salzburg pada tahun 2020 yang lalu.

Man City jelas sekali bakal tampil lebih garang dengan kehadiran Erling Haaland, apa lagi selepas mereka memiliki barisan pemain berkelas dunia yang lain dalam skuad mereka.

Walau tanpa pemain penyerang utama, Man City tetap mampu mempamerkan aksi persembahan terbaik mereka sepanjang musim ini.

Pemain seperti Kevin De Bruyne, Bernardo Silva, Riyad Mahrez, Raheem Sterling dan kesemua pemain lain memainkan peranan penting sebagai penjaring gol utama.

Skuad kendalian Pep Guardiola itu tetap berjaya mencatatkan kemenangan besar walau mereka tidak memiliki pemain penyerang utama.

Bayangkan saja bagaimana hebatnya mereka andai mereka mampu memiliki pemain penyerang berkualiti tinggi seperti Erling Haaland.

Pemain muda Norway itu sudah membuktikan kemampuan sebenar beliau di pelbagai pentas terutama dalam saingan Champions League.

Beliau dijamin boleh menjadi mesin peledak gol utama Man City dan The Citizens akan sangat beruntung andai mereka benar-benar berjaya mendapatkan khidmat bintang Norway itu.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Paul Ince Percaya Keane Punca Haaland Tak Kan Mahu Ke Old Trafford