Manchester United Menawarkan Sanchez Kepada Dortmund Untuk Mendapatkan Sancho

Menurut satu laporan dari Sepanyol, Manchester United mungkin akan menggunakan Alexis Sanchez sebagai sebahagian dari perjanjian untuk mendapatkan Jadon Sancho dari Borussia Dortmund musim panas nanti.

Setan merah merupakan pasukan paling kerap dikaitkan dengan Jadon Sancho dan antara yang paling berpotensi untuk menandatangani pemain kebangsaan England itu.

Namun, walau keadaan ekonomi pasukan kini agak terjejas ekoran dari penularan wabak yang sedang melanda dunia, nilai untuk mendapatkan Jadon Sancho bukanlah serendah yang disangka.

Setan merah mungkin dapat mengurangkan harga Sancho dengan menawarkan pemain lain kepada Dortmund sebagai petukaran dan menambah sedikit dana lagi untuk menandatangani pemain sensasi Bundesliga itu.

Menurut laporan dari media Sepanyol, Mundo Deportivo, United sanggup untuk melepaskan penyerang tidak terpakai mereka, Alexis Sanchez sebagai sebahagian dari perjanjian untuk mendapatkan Sancho.

Laporan sama turut mempersoalkan adakah Dortmund mampu untuk membayar gaji bintang United itu atau tidak, hal ini kerana, pasukan setan merah sendiri sepertinya sudah tidak mampu lagi untuk menanggung kerugian atas pemain tersebut.

Sancho dilihat sangat sesuai dengan perancangan United yang mahu menandatangani pemain muda, berbakat dan mereka turut terdesak mencari pemain di bahagian serangan terutama disebelah kanan.

Bintang berusia 20 tahun itu kini menjadi antara prospek masa depan terbaik selepas mempamerkan aksi cemerlang sejak mula bermain dalam kesebelasan utama Dortmund.

Beliau mula menandatangani perjanjian bersama Borussia Dortmund pada tahun 2017 dari Manchester City dengan nilai perpindahan cuma £8 juta sahaja.

Musim ini, pemain kebangsaan England itu telah berjaya menjaringkan 14 gol dan mencatatkan 16 assist untuk pasukan kendalian Lucian Favre’s dalam saingan Bundesliga.

Beliau antara nadi penting dalam membantu pasukan Dortmund mengejar Bayern Munich dalam perebutan Juara saingan Bundesliga musim ini.

Disebelah pihak lagi, bekas pemain penyerang pasukan Barcelona, Sanchez pula dilihat bukanlah pemain yang sesuai untuk beraksi bersama pasukan Borussia Dortmund.

Dortmund terkenal dengan sebuah pasukan yang akan mencari pemain muda untuk ditandatangani dan digilap bakatnya supaya boleh dijual kembali dengan harga yang lebih tinggi.

Jadi untuk menandatangani pemain yang sudah berusia seperti Sanchez dan dilihat kepada sejarah aksi hambar pemain itu dalam beberapa musim terakhir ini, rasanya sukar untuk menarik minat Dortmund untuk bersetuju dengan penawaran dari United itu.

Walau bagaimanapun, Dortmund turut mempunyai sejarah pernah menandatangani pemain sudah berusia 31 tahun seperti Mats Hummels dengan nilai perpindahan yang agak besar pada jendela perpindahan musim panas lalu.

Namun pemain pertahanan yang mereka tandatangani itu berbaloi untuk dibawa masuk memandangkan kepada aksi persembahan yang dipersembahkan olehnya.

Sanchez sendiri kini berusia 31 tahun tetapi dengan apa yang dipamerkan beliau sepertinya tidak sesuai untuk beraksi bersama pasukan Borussia Dortmund.

Tetapi seandainya Sanchez mampu untuk memberikan aksi terbaiknya untuk pasukan kendalian Favre’s, dia mungkin akan menjadi pengganti terbaik untuk kehilangan yang ditinggalkan oleh Sancho.

Bekas pemain Arsenal itu kini sedang dipinjamkan kepada pasukan Inter Milan dari Manchester United, namun masalah kecederaan mengganggu beliau untuk mendapatkan aksi terbaiknya.

Beliau tidak pernah mempamerkan aksi hebatnya seperti ketika beraksi bersama pasukan Arsenal dan Barcelona ketika bersama setan merah.

Sukar untuk melihat beliau mendapat tempat kembali dibawah kendalian Ole Gunnar Solskjaer musim hadapan dan boss United secara terang-terangan mahu melepaskan beliau kepada mana-mana pasukan yang berminat.

Menggunakan beliau untuk mendapatkan Sancho juga sebahagian dari perancangan United untuk melepaskan pemain itu kerana tidak mampu untuk membayar gajinya yang terlalu tinggi.

BACA:  Conte Tegaskan Beliau Tidak Benci Sesiapa Selepas Pertelingkahan Dengan Mourinho