Manchester United Sedia Menawarkan £50 Juta Untuk Aubameyang

Pierre Emerick Aubameyang merupakan seorang pemain posisi penyerang yang sangat berbisa di dalam saingan Premier League.

Beliau adalah salah seorang pemain terbaik sepanjang zaman yang ditandatangani untuk menyertai premier league.

Setibanya penyerang kelahiran Gabon itu ke kancah premier league, beliau sudah mempamerkan kelincahan dan ketajaman beliau di bahagian serangan pasukan Arsenal.

Auba menjaringkan gol demi gol dan memperlihatkan seperti beliau mudah untuk beradaptasi dalam saingan liga Inggeris ini.

Kebiasaannya penyerang yang bermain di liga berbeza memerlukan waktu untuk mendapatkan rentak mantap beraksi di premier league.

Melihat beliau menjaringkan gol dengan aksi yang bersahaja membuatkan peminat berasa sebenarnya mudah untuk menjaringkan gol.

Pada penampilan ke 75 beliau dalam saingan premier league, Auba sudah berjaya menjaringkan 49 gol dan melakukan 10 assist. Pencapaian yang luar biasa hebat bukan?

Namun sedihnya kehebatan beliau dalam menjaringkan gol masih belum membantu pasukan Arsenal mencapai apa-apa kejuaraan.

Pencapaian terbaik beliau bersama Arsenal adalah membantu pasukan itu untuk mara ke perlawanan akhir Ueropa League musim lalu.

Sehingga kini beliau masih belum berjaya untuk beraksi di pentas Liga Juara-juara bersama pasukan Arsenal.

Memandang Arsenal mungkin masih tidak berjaya untuk bermain di liga Juara-juara untuk musim depan, dan kontrak Auba juga sudah berada dipenghujungnya.

Auba mungkin akan meninggalkan Arsenal dan berkelana ke pasukan lain untuk beraksi di pentas lebih besar pada jendela perpindahan akan datang.

Barcelona adalah antara pasukan yang paling lama dikaitkan dengan pemain beusia 30 tahun itu.

Tetapi kini, salah satu pasukan seteru Arsenal di Premier League sudah mula untuk merisik penyerang sensasi mereka.

Menurut satu sumber, Manchester United dan Ole Gunnar Solskjaer kini dalam pemburuan untuk mendapatkan Aubameyang dengan tawaran £50 juta.

Setan merah kini sedang berada di kemuncak prestasi dengan berjaya mencapai kemenangan demi kemenangan.

Sejak kehadiran Bruno Fernandes ke dalam pasukan United, mereka tidak pernah tewas dalam semua pertandingan.

Kini semua liga utama di Eropah telah digantung ekoran dari penularan virus Covid-19, sekembalinya aksi liga nanti, setan merah menjadi antara pasukan pilihan yang dijangka akan beraksi di liga Juara-juara musim depan.

Hal itu bakal membuatkan Aubameyang tertarik untuk menyertai mereka memandangkan pasukan kendalian Mikel Arteta itu kini berada di kedudukan kesembilan dalam liga.

Sekiranya United berjaya membawa masuk Auba dan menggandingkan pemain itu dengan Fernandes, Rashford dan Martial ia pastinya akan menjadi gabungan yang mantap.

Odion Ighalo sememangnya menunjukkan prestasi mantap bersama pasukan setan merah sejak ketibaan beliau pada Januari lalu.

Namun beliau hanyalah pemain pinjaman dan tidak boleh untuk menyamakan beliau dengan keupayaan Aubameyang.

Siapa tahu Aubameyang boleh menjadi seperti Robin Van Persie yang telah mempamerkan aksi mantap sepanjang bersama pasukan United.

BACA:  Arsenal Bakal Berdepan Kesukaran Untuk Lepaskan Pemain Seperti Aubameyang