Martin Odegaard Cuba ‘Bodek’ Haaland Untuk Sertai Arsenal

Martin Odegaard dalam satu temu bual baru-baru ini telah memberi nasihat kepada rakan senegaranya, Erling Haaland supaya memilih untuk sertai Arsenal andai beliau berminat mahu ke England.

Haaland ketika ini hangat dikaitkan dengan bakal meninggalkan Borussia Dortmund pada jendela perpindahan musim panas ini.

Bahkan Haaland pada awal bulan lalu turut dilaporkan akan menyertai Manchester City selepas wakil kedua-dua belah pihak dikatakan telah bersetuju dengan syarat peribadi yang ditawarkan.

Pemain berusia 21 tahun itu dikatakan telah ditawarkan dengan kontrak yang sungguh luar biasa lumayan dengan beliau akan menerima sekitar £500,000 seminggu.

Seandainya hal itu benar-benar berlaku, maka Haaland bakal menjadi penerima gaji tertinggi dalam saingan Premier League selepas beliau sah menjadi pemain Manchester City nanti.

Walau bagaimanapun, Odegaard masih tetap percaya yang Haaland belum memutuskan apa-apa lagi berkait masa depannya dan beliau turut sempat bergurau mengajak rakan senegaranya itu ke Emirates.

Manchester City yang dijangka akan mengaktifkan klausa perlepasan bernilai £63 juta untuk dapatkan Haaland itu dikatakan sebagai calon kegemaran untuk mendapatkan bintang Norway itu.

Namun, seperti yang dinyatakan di atas, tak salah kan nak mencuba? Siapa tahu Odegaard mampu mempengaruhi rakan senegaranya itu untuk menyertai Arsenal nanti, kan?

Bercakap kepada Stadium Astro, bekas bintang Real Madrid itu telah menghamburkan pujian menggunung kepada Haaland dan beliau turut ditanya tentang masa depan rakan senegaranya itu.

“Dia seorang kawan yang kelakar, kawan yang baik dan dia sahabat saya, pemain yang menakjubkan juga, sudah tentu kita akan lihat perkembangan dia saya sendiri pun tak tahu.”

Jelas Odegaard kepada Stadium Astro.

“Jika dia datang ke England dia perlu datang kepada kami tentunya, tapi saya tak tahu apa akan dia lakukan, cuma dia memang seorang yang sangat hebat.”

Pemain midfield Arsenal itu kemudiannya menambah lagi dengan menyatakan:

“Sejujurnya kami tak bercakap terlalu banyak tentang itu, saya tahu ramai orang yang mencuba untuk memujuk dia dan beritahu dia apa perlu dilakukan dan apa yang tak perlu dilakukan.”

“Dia buas, dia kuat, dia laju, saya rasa dia ada segalanya dan sejujurnya saya rasa dia boleh bermain di mana-mana liga dan mana-mana negara.”

Di bawah merupakan rakaman penuh sesi temu bual Martin Odegaard bersama Stadium Astro dengan banyak hal menarik yang beliau kongsikan sepanjang temu bual tersebut.

Awal minggu baru-baru ini, tular gambar Haaland ketika kanak-kanak sedang memakai jersi Arsenal dengan ramai penyokong Gunners yang teruja melihat gambar tersebut.

Haaland juga sememangnya sahabat karib Martin Odegaard, dengan beliau pada Oktober lalu berjaya mencatatkan hat-trick ketika membantu Norway menewaskan Romania 4-0 dalam saingan Nations League.

Selepas tamat perlawanan itu, beliau turut menghamburkan pujian menggunung kepada pemain nombor lapan Arsenal itu.

Odegaard berjaya mencatatkan dua assists untuk Haaland dalam perlawanan tersebut, dengan Haaland kemudiannya menyatakan bahawa:

“Saya cuma perlu beri penghargaan kepada dia. Akhirnya dia dapat sentuhan dia semula dan bermain dengan sangat baik.”

“Ya, saya dengan berbesar hati boleh berkongsi hat-trick ini dengan dia (bahagi dua dengan Odegaard). Sangat hebat dapat bermain dengan Odegaard. Kami akan lebih berkembang dalam tahun-tahun mendatang. Kami masih muda.”

Adakah Haaland akan termakan pujukan Odegaard? Atau adakah Odegaard akan betul-betul pujuk Haaland? Atau Haaland akan memilih untuk sertai Manchester City? Bincangkan diruangan komen.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Haaland Pamer Kebijaksanaan Yang Sungguh Menakjubkan Ketika Beraksi Bertemu Netherlands