Matthaus: Ketibaan Ronaldo Tidak Jadikan Juventus Pasukan Terbaik Eropah

Legenda Jerman, Lothar Matthaus berkata kehadiran Cristiano Ronaldo di dalam skuad Juventus mungkin membantu kelab Itali itu merapatkan jurang dengan pasukan ternama Eropah yang lain, tetapi ia tidak menjamin Juventus akan memenangi Liga Juara-Juara Eropah.

Ronaldo mengejutkan dunia bola sepak apabila meminta Real Madrid untuk melepaskan beliau untuk menyertai Juventus. Presiden Real Madrid, Florentino Perez dengan berat hati memperkenankan permintaan Ronaldo mengenangkan jasa dan trofi yang dibawa Ronaldo ke kelab tersebut sebelum ini.

Matthaus percaya Juventus berdepan tugas yang sukar untuk memenangi Liga Juara-Juara Eropah walaupun mempunyai Ronaldo

Juventus membayar €120 juta kepada Real Madrid untuk mendapatkan khidmat Ronaldo yang kini sudah memasuki usia 33 tahun. Tujuan utama Juventus membawa masuk Ronaldo sebenarnya cukup mudah, iaitu menamatkan penantian selama 22 tahun untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah.

Kali terakhir Juventus muncul juara Eropah adalah pada musim 1995/1996 dimana mereka menewaskan Ajax menerusi sepakan penalti.

Juventus berjaya melangkah ke perlawanan akhir sebanyak dua kali dari 4 musim sebelum ini, tetapi mereka dikecewakan oleh Barcelona pada tahun 2015 dan Real Madrid pada tahun 2017.

Walau bagaimanapun, bekas pemain Bayern Munich dan Inter Milan Lothar Matthaus percaya kehadiran Ronaldo tidak semestinya dapat memudahkan usaha Juventus untuk memenangi Liga Juara-Juara Eropah memandangkan usianya yang semakin meningkat.

Inilah Lothar Matthaus, bintang Jerman dan Bayern Munich suatu ketika dahulu. Sekarang berkhidmat sebagai pengurus besar Jerman

“Ronaldo bukan lagi berada pada usia terbaik sebagai pemain bola sepak. Saya rasa Ronaldo akan lebih fokus kepada Liga Juara-Juara Eropah. Dalam pertandingan tersebut, beliau dapat mempamerkan prestasi terbaiknya, seperti yang berlaku musim lepas ketika beliau bersama Real Madrid.”

“Mungkin ini kedengaran agak ganjil, tetapi Napoli dan Inter Milan merupakan pasukan lawan yang cukup kuat di dalam Serie A. Saya rasa liga Itali akan bertambah menarik musim ini selepas Juventus berjaya memenanginya buat kali ke-7 berturut-turut. Tetapi dengan kehadiran Ronaldo, Juventus mampu menghadirkan ancaman yang lebih berbahaya kepada pasukan ternama lain.”

“Juventus semakin menghampiri tahap pasukan ternama Eropah yang lain tetapi saya tidak akan letakkan Juventus sebagai pasukan elit semata-mata kerana Ronaldo.”

Matthaus juga percaya kehilangan Ronaldo bukan sahaja akan dirasai oleh Real Madrid, tetapi juga seluruh komuniti La Liga.

Gandingan Dybala – Ronaldo yang amat ditunggu-tunggu peminat

“Ia merupakan kehilangan yang besar buat La Liga, tetapi Real Madrid masih lagi Real Madrid walaupun tanpa Ronaldo.”

“Real Madrid sering kehilangan pemain utama mereka, dan ia merupakan sebahagian daripada sejarah kelab tersebut. Mereka akan mencari bintang baru selepas ini.”

“Mungkin Gareth Bale akan menjadi pengganti kepada Ronaldo. Sejak ketiadaan Ronaldo, Bale telah menunjukkan permainan yang cemerlang dan mungkin kali ini, beliau akan mempamerkan potensi sebenar beliau.”

BACA:  Ronaldo Buat Perangai Dan Manchester United Tidak Gembira