Matuidi: Juventus Akan Bantu Ronaldo Akhiri Kemarau Gol

Pemain tengah Juventus, Blaise Matuidi berkata seluruh pasukan akan membantu Cristiano Ronaldo mengakhiri kemarau gol yang dihadapinya ketika ini.

Ronaldo masih lagi belum menjaringkan gol dalam Serie A setakat ini walaupun telah bermain dalam 3 perlawanan.

Ronaldo muncul pemain paling membazir di Eropah setakat ini. 23 percubaan tanpa sebarang gol !

Dalam aksi terakhir Juventus menentang Parma semalam, Ronaldo bergelut untuk menemui jaring sepanjang perlawanan walaupun mempunyai beberapa peluang keemasan untuk membuka akaun jaringannya di Serie A. Kapten Portugal itu melakukan 8 percubaan ke arah pintu gol Parma semalam tetapi tidak bernasib baik.

Pemenang Ballon D’Or sebanyak 5 kali itu telah melakukan percubaan sebanyak 23 kali ke arah gol tanpa menghasilkan sebarang gol dalam 3 perlawanan yang beliau sertai setakat ini.

Ia merupakan rekod paling teruk bagi mana-mana pemain dalam ‘Europe’s Big Five Leagues’, dan berada di belakang Ronaldo adalah pemain tengah Nantes, Valentin Rongier dengan 15 percubaan.

Walau bagaimanapun, rakan sepasukan Ronaldo, Matuidi percaya Ronaldo akan mengakhiri kemarau jaringannya tidak lama lagi dan seluruh skuad Juventus akan membantu beliau untuk kembali menjaringkan gol.

Mario Mandzuki masih lagi ayam tambatan Juventus

“Ronaldo merupakan seorang pemain yang hebat dan akan menjaringkan gol tidak lama lagi. Beliau merupakan pemain yang penting dalam pasukan ini.”

“Beliau tidak bernasib baik dalam perlawanan tadi, tetapi kami akan membantu beliau. Ronaldo masih lagi mempunyai masa yang banyak.”

“Ronaldo kelihatan sedikit kecewa kerana tidak mampu menjaringkan sebarang gol tetapi masa beliau akan tiba.”

Pendapat yang sama turut dikongsi pemain antarabangsa Brazil, Douglas Costa yang masuk sebagai pemain gantian ketika menentang Parma. Costa juga melakukan penampilan ke-50 beliau bersama Old Lady sejak menyertai pasukan tersebut pada tahun 2017.

“Cristiano Ronaldo bermain dalam liga yang baru untuk beliau dan kami juga faham beliau mahu menjaringkan gol. Tetapi Ronaldo juga sedar perkara paling penting adalah kami dapat memungut 3 mata.”

Dalam perlawanan yang berlangsung semalam, Juventus terpaksa berhempas pulas sebelum pulang dengan 3 mata.

Juventus terlebih dahulu membuka jaringan seawal minit ke-2 menerusi Mario Mandzukic selepas pemain pertahanan Parm gagal mengeluarkan bola dari kotak penalti dengan baik.

Matuidi meraikan jaringan kemenangan Juventus. Ronaldo hanya mampu tersenyum

Kegembiraan Juventus tidak berkekalan lama kerana pemain baru Parma, Gervinho berjaya menolak masuk bola ke dalam gawang Juventus untuk menyamakan kedudukan. Ia juga merupakan penampilan pertama Gervinho bersama Parma sejak berpindah dari kelab China Super League, Hebei China Fortune.

Pemain antarabangsa Perancis, Matuidi kembali meletakkan Juventus di hadapan pada minit ke-58 menerusi satu gerakan menarik dari sebelah kanan padang. Tiada lagi tambahan gol selepas itu dan kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Juventus mengekalkan rekod 100 peratus kemenangan dalam Serie A setakat ini dengan mengumpul 9 mata dari 3 perlawanan dan kekal menerajui liga yang akan berhenti rehat buat seketika bagi memberi ruang kepada aksi antarabangsa.

BACA:  Paul Pogba Mungkin Bakal Diketepikan Dari Skuad Piala Dunia Perancis