Media Dedah Real Madrid Plot Drama Bidaan ‘Last-Minute’ Tekan PSG Jual Mbappe

Real Madrid dilaporkan sedang merancang untuk mendapatkan Kylian Mbappe dengan bidaan minit akhir di jendela perpindahan musim panas ini – sekali gus menguji iman PSG untuk melepaskan pemain itu.

Suatu ketika bintang Perancis itu kelihatan tiada masa depan bersama PSG. Ini selepas Mbappe menolak untuk menyambung kontrak untuk kekal di Parc des Princes sehingga mendorong kelab itu tidak membenarkan pemain itu berlatih bersama skuad utama.

Malah PSG juga percaya Mbappe sebenarnya sudah mempunyai perjanjian bersama Real Madrid untuk berhijrah ke kelab La Liga itu sebagai ejen bebas sebaik sahaja kontraknya tamat pada Jun 2024.

Selepas terlepas perlawanan pertama PSG di musim baharu Ligue 1 – berkesudahan seri tanpa jaringan menentang Lorient – PSG kemudiannya membuat pusingan U.

Mbappe kini dibenarkan kembali menyertai skuad kendalian Luis Enrique untuk perlawanan seterusnya.

“Kylian Mbappe berada di dalam keadaan terbaik ketika latihan,” kata Enrique baru-baru ini yang turut membayangkan pemain itu akan diturunkan untuk aksi seterusnya.

“Dia menampilkan kesungguhan dan berada di tahap terbaik daripada segi mental. Saya gembira mempunyai pemain berkelas dunia seperti Mbappe.”

Walaupun PSG dikhabarkan akhirnya akan mencapai persetujuan dengan Mbappe mengenai masa depannya, perkhabaran pemain itu bakal meninggalkan PSG tidak pernah padam.

Menurut pendedahan media Jerman, BILD, Real Madrid sebenarnya sedang merancang satu plot minit akhir untuk membawa pemain itu ke Santiago Bernabeu pada musim panas ini.

Ideanya ialah dengan menawarkan PSG €120 juta untuk mendapatkan khidmat pemain itu beberapa hari sebelum jendela perpindahan di Eropah ditutup.

Tawaran minit akhir itu adalah cubaan untuk mendesak PSG melepaskan Mbappe. Tindakan tersebut turut tidak memberikan ruang kepada PSG untuk berfikir panjang dan terus berdolak dalih menahan Mbappe.

Mbappe kini mempunyai baki kontrak setahun bersama PSG dan dijangka akan tetap menyertai Real Madrid sebagai ejen bebas sekiranya PSG terus berdegil membenarkan pemain itu pergi pada jendela perpindahan kali ini.

Los Blancos sehingga kini telah membawa masuk Jude Bellingham, Arda Guler dan Fran Garcia, selain Kepa Arrizabalaga dan Joselu secara pinjaman.

Setelah kembali bersama PSG di minggu kedua Ligue 1, Mbappe dibawa masuk sebagai pemain gantian dalam perlawanan menentang Toulouse dan menjaringkan sepakan penalti untuk membantu kelabnya mengikat lawan mereka itu 1-1.

BACA:  Champions League 2020/21 Semi Final: Manchester City 2-0 PSG (Agg. 4-1)