Melihat Luis Suarez Menangis Teresak-esak, Penyokong Atletico Rasa Terharu

Luis Suarez menangis teresak-esak di tempat duduk pemain simpanan selepas beliau terpaksa dikeluarkan kerana dibelenggu masalah kecederaan.

Ia merupakan aksi perlawanan yang sangat penting untuk Atletico Madrid dengan mereka perlu mencatatkan kemenangan untuk layak ke aksi kalah mati.

Suarez diturunkan sebagai pemain utama dalam perlawanan bertemu Porto awal pagi tadi, namun beliau hanya mampu beraksi selama 13 minit sahaja.

Diego Simeone meletakkan pemain kebangsaan Uruguay itu sebagai penyerang utama dalam usaha mereka untuk menjaringkan sebanyak gol yang boleh.

Dengan aksinya yang terlalu singkat, jelas sekali Suarez gagal untuk memberikan impak seperti yang diharapkan dengan tempatnya digantikan oleh Cunha.

Bekas bintang Liverpool itu gagal untuk menahan emosinya dengan beliau menangis teresak-esak ketika duduk di tempat duduk pemain simpanan.

Beliau menangis kerana bimbang Atletico akan tewas atau sekadar seri dalam perlawanan ini kerana gagal untuk menjaringkan gol.

Beliau mungkin juga rasa bersalah kerana terpaksa merugikan kelab membuat pertukaran awal, namun satu hal yang pasti beliau risau skuadnya bakal kalah.

Melihat beliau begitu beremosi membuatkan para peminat di media sosial turut terharu dengan semangat serta kecintaan pemain berusia 34 tahun itu terhadap kelabnya.

“Luis Suarez menangis selepas dikeluarkan kerana masalah kecederaan. Hanya selepas satu musim, dia sudah ada hubungan yang begitu kuat dengan kelab. Dia layak dianggap legenda.”

“Suarez tak dapat teruskan permainan dan dia menangis, saya pula yang risau, harapnya kecederaan dia tak terlalu teruk.”

“Luis Suarez dikeluarkan, dia menangis kerana takut Atletico akan ditewaskan, tak sangka dia begitu peduli dan sayangkan kelab.”

“Berbanding Griezmann, saya rasa Suarez akan lebih disayangi oleh peminat kerana dia bermain betul-betul kerana hati dan dia meletakkan kelab melebihi segalanya.”

Aksi antara Atletico Madrid bertemu Porto merupakan perlawanan paling hangat dan panas berbanding semua perlawanan lain yang dilangsungkan hari ini.

Skuad kendalian Diego Simeone itu berjaya mencatatkan kemenangan selesa 3-1 menewaskan Porto, selepas Antoine Griezmann, Angel Correa dan Rodrigo De Paul mencatat nama sebagai penjaring gol.

Dalam perlawanan ini juga telah banyak berlaku insiden-insiden panas yang memperlihatkan tiga kad merah dan empat kad kuning terpaksa dikeluarkan oleh pengadil perlawanan.

Beberapa kali juga para pemain kedua-dua pasukan sudah hampir bertumbuk, namun mujur saja ia berjaya dileraikan oleh pengadil perlawanan.

Carrasco menjadi pemain pertama dilayangkan kad merah dalam aksi panas antara Atletico Madrid bertemu Porto.

Beliau dilayangkan kad merah selepas menghayun leher Otavio yang mahu mengambil bola dari tangannya, dan menyebabkan bintang Porto itu tersembam mencium tanah.

Selepas Yannick Carrasco dibuang padang, bintang Porto pula terpaksa kehilangan seorang pemain selepas Wendell dilayangkan kad merah.

Wendell dilayangkan kad merah selepas didakwa menyiku muka Matheus Cunha dan berlakunya kekecohan di garisan tepi padang ketika insiden itu berlaku.

Agustin Marchesin juga turut dilayangkan kad merah selang satu minit sahaja selepas rakan sepasukannya, Wendell di buang padang.

Beliau merupakan penjaga gol simpanan Porto dan dilayangkan kad merah kerana turut campur bergaduh ketika insiden kekecohan sebelum Wendell dibuang padang.

Kemenangan Liverpool juga secara tidak langsung membantu Atletico melayakkan diri ke pusingan kalah mati, sebagai naib juara kumpulan.

Kecederaan Suarez sepertinya agak berat dan beliau berpotensi untuk diketepikan ketika aksi Madrid derby pada hujung minggu ini bertemu Real Madrid.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Lihat Gandingan Mantap Thiago Messi Dan Benjamin Suarez