Mengamuk Di Tepi Padang Punca Moyes Dilayangkan Kad Merah

David Moyes telah dilayangkan kad merah ketika aksi kekalahan West Ham United bertemu Eintracht Frankfurt dalam aksi leg kedua peringkat separuh akhir saingan Europa League awal pagi tadi.

The Hammers berdepan cabaran sukar di pentas bola sepak Eropah selepas mereka mencatatkan kekalahan 2-1 ketika aksi di London Stadium sebelum ini dan kekalahan 1-0 di Deutsche Bank Park awal pagi tadi.

West Ham turun dalam perlawanan hari ini dengan misi mahu mencatatkan kemenangan selesa seterusnya melayakkan diri ke pentas perlawanan akhir.

Harapan mereka mahu layak ke perlawanan akhir walau bagaimanapun semakin pudar selepas Aaron Cresswell dilayangkan kad merah pada minit ke-19 permainan.

Beberapa minit sahaja selepas Cresswell kembali ke bilik persalinan, pasukan tuan rumah berjaya membuka tirai jaringan mereka untuk mendahului West Ham 1-0 menerusi Rafael Santos Borre.

Ketinggalan 1-0 dalam perlawanan ini dan ditambah pula dengan terpaksa bermain dengan kekurangan seorang pemain, West Ham jelas sekali memerlukan keajaiban untuk ke pentas perlawanan akhir.

Tekanan jelas sekali terus memuncak dengan pengurus West Ham, David Moyes kemudiannya turut dilayangkan kad merah selepas beliau dilihat menunjukkan reaksi bengang di garisan tepi padang.

Moyes dilayangkan kad merah

Bekas pengurus Manchester United itu dilihat menendang objek dengan perasaan penuh kemarahan dengan perlawanan pada ketika itu berbaki 15 minit sahaja sebelum tamat.

Melihat reaksi berlebih-lebihan beliau itu, pengadil perlawanan tiada pilihan lain selain dari menghukum beliau dengan layangan kad merah.

Moyes jelas sekali bengang dengan situasi yang berlaku di tepi padang itu dan West Ham sendiri terpaksa akur mereka terpaksa menamatkan permainan dengan tanpa pengurus mereka berdiri di tepi padang sambil memberi arahan.

Sehingga kini masih belum jelas apa yang sebenarnya berlaku di tempat kejadian dan apa perkara yang telah memancing emosi Moyes hingga beliau boleh hilang kewarasan akalnya ketika itu.

Tidak keterlaluan untuk katakan yang emosi telah merosakkan segalanya di Jerman dan melenyapkan impian West Ham United untuk ke perlawanan akhir.

Melihat kepada video yang tular, Moyes jelas sekali sememangnya bengang dengan situasi yang berlaku di tepi padang dengan beliau dilihat menjerit-jerit meluahkan kemarahannya yang membawa kepada kad merah untuknya.

Bahkan ada laporan tak rasmi dari pelbagai sumber termasuk BBC Sport yang melaporkan bahawa Moyes sebenarnya mengamuk kerana bengang dengan budak Milo.

Walau bagaimanapun juga, tidak kira kepada siapa Moyes melepaskan kemarahannya, jelas sekali beliau nampak hilang kawalan dan gagal untuk menstabilkan emosinya sendiri berdepan situasi tersebut.

Tindakan pengadil perlawanan melayangkan kad merah padanya juga tidak boleh dipertikaikan lagi dengan beliau selayaknya menerima hukuman tersebut.

West Ham tersingkir dari saingan Europa League

Pada akhirnya, West Ham gagal untuk bangkit dari kekalahan dan persembahan mereka semakin huru-hara selepas ketiadaan Cresswell.

Mereka sebenarnya berjaya mencipta beberapa peluang keemasan namun gagal untuk menyudahkan kesempatan itu dengan menghasilkan gol.

Eintracht Frankfurt berjaya mencatatkan kemenangan 1-0 seterusnya layak ke pentas perlawanan akhir menerusi keputusan aggregate 3-1.

Mereka selepas ini akan turun beraksi bertemu wakil dari saingan liga bola sepak Scotland, Rangers yang mara ke perlawanan akhir dengan menyingkirkan RB Leipzig.

West Ham United sementara itu perlu mengalihkan perhatian mereka ke aksi dalam saingan liga, dengan mereka kini sedang bersaing rapat untuk memburu kedudukan empat teratas dalam carta saingan Premier League.

Walau agak sukar untuk melakukan hal itu, namun tidak boleh dinafikan lagi yang West Ham sememangnya memiliki potensi untuk melakukan hal tersebut.

Mereka setidak-tidaknya perlu menang baki semua perlawanan sambil berharap Arsenal, Tottenham Hotspur dan Manchester United keciciran mata.

Walau bagaimanapun juga, Moyes sendiri sudah tentu akan menyasarkan untuk layak ke saingan Europa League andai harapan untuk mereka ke Champions League sukar untuk direalisasikan.

Sumber: GMS

BACA:ย  West Ham Alami Kerugian Ribuan Pound Kerana Percayakan Lingard