Ten Hag Sebenarnya Anggap Maguire Pemain Penting Yang Tiada Galang Ganti

Harry Maguire dilaporkan tidak akan menyertai West Ham pada jendela perpindahan musim panas ini.

Dan Erik Ten Hag turut dikatakan cukup gembira untuk pemain pertahanan termahal dunia itu kekal di Old Trafford dan bersaing untuk mendapatkan tempat di dalam kesebelasan utama pasukan.

The Hammers sebelum ini mencapai persetujuan bernilai £30 juta untuk menjana perpindahan pemain itu dari United dalam usaha David Moyes memperkuatkan pasukannya setelah membenarkan Declan Rice menyertai Arsenal dengan nilai £105 juta.

Mail Sport bagaimanapun mendedahkan juara Europa Conference League itu sudah hilang sabar menunggu Maguire membuat keputusan untuk meninggalkan United.

Maguire turut dilaporkan menuntut £7 daripada United sebagai pampasan untuk meninggalkan Old Trafford untuk menampung perbezaan gajinya sekiranya menyertai West Ham.

Ten Hag bagaimanapun melihat pemain berusia 30 tahun itu sebagai antara pemain terpenting di dalam skuad sedia ada dan sedia membenarkan Maguire bersaing untuk mendapatkan tempat di dalam pasukan.

Ini juga bermakna pemain pertahanan England itu tidak akan menuju ke Stadium London pada musim panas ini.

United dan Ten Hag juga sedar mereka perlu mencari pengganti sekiranya Maguire meninggalkan tempat itu, dan perkara tersebut bukannya mudah untuk direalisasikan tatkala jendela perpindahan hanya tinggal beberapa minggu sahaja lagi.

Secara praktikal Ten Hag memerlukan empat pemain pertahanan tengah dan tidak melihat ada pemain lain di pasaran yang memiliki kualiti setanding atau lebih baik daripada Maguire.

Moyes bagaimanapun masih berharap Maguire membuat keputusan untuk menyertai mereka dalam masa terdekat walaupun turut mulai mencari alternatif lain untuk pemain itu.

Perkhabaran mengenai Maguire tidak akan menyertai West Ham didedahkan oleh Mail Sport pada Isnin lalu, bermula dengan perkhabaran United hanya mahu melepaskan pemain itu selepas berjaya mengikat pengganti yang sesuai dengan profil yang mereka hendaki.

Musim lalu skuad kendalian Ten Hag menamatkan saingan di kedudukan ketiga Premier League yang turut bermakna Maguire akan mendapat kenaikkan gaji yang lumayan berdasarkan klausa kontrak dengan pemain itu – kerana bakal bermain di Champions League.

Pemain berusia 30 tahun itu sentiasa bergelut dengan prestasi sejak tiba dengan rekod perpindahan dunia untuk pemain pertahanan bernilai £80 juta dari Leicester pada 2019.

Pada awal kariernya bersama United Maguire menampilkan prestasi meyakinkan sehingga diberikan lilitan kapten oleh Ole Gunnar Solskjaer yang membimbing United pada ketika itu.

Maguire kemudiannya terus bergelut dengan prestasi seiring dengan prestasi United yang terumbang ambing.

Malah pemain pertahanan itu turut menjadi mangsa kritikan dan kecaman kerana aksi dan kesilapan komikal yang dilakukannya.

West Ham sebenarnya menawarkan minit perlawanan yang lebih banyak untuk Maguire sekiranya pemain itu menyertai mereka.

Minit perlawanan dianggap penting untuk pemain itu untuk merebut tempat di dalam skuad England menuju Kejohanan Euro 2024 pada musim panas akan datang.

Menentang Wolves pada hujung minggu lalu, Maguire tidak diturunkan beraksi dan sekadar memanaskan bangku pemain simpanan.

BACA:  Michael Owen Percaya 'Lembab' Merupakan Masalah Terbesar Harry Maguire