Ronaldo Sempat Melawat Ferguson Selepas Juventus Tumpaskan Manchester United

Pemain serangan Juventus, Cristiano Ronaldo sempat meluangkan masa bertemu bekas mentornya, Sir Alex Ferguson selepas tamat perlawanan Juventus menentang Manchester United awal pagi tadi.

Dalam aksi peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah, Juventus berjaya menjinakkan anak buah Jose Mourinho di hadapan puluhan ribu peminat Red Devils yang sangat inginkan kemenangan.

Hubungan yang sangat rapat antara Ferguson dan Ronaldo menjadi kunci utama dominasi Manchester United ketika penghujung era Ferguson

Juventus menguasai hampir keseluruhan perlawanan dan ada pihak yang menganggap pertemuan itu sama seperti ‘budak menentang dewasa’. Pemain antarabangsa Argentina, Paulo Dybala muncul wira Juventus apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan pada babak pertama untuk membawa pulang 3 mata berharga ke Itali.

Perlawanan itu juga menyaksikan bekas pemain Manchester United, Ronaldo kembali ke Old Trafford buat kali pertama  memakai jersi Juventus. Untuk rekod, beliau pernah bermain menentang Manchester United di Old Trafford sebanyak dua kali, kali pertama ketika bermain untuk Real Madrid.

Namun begitu, Ronaldo membuktikan mengapa beliau adalah superstar di dalam dan di luar padang apabila meluangkan masa sibuknya untuk berjumpa dan bermesra dengan Ferguson.

“Seorang jurulatih yang hebat dan paling penting sekali, individu yang amat menakjubkan.”

“Beliau mengajar saya banyak perkara di dalam dan luar padang. Gembira untuk melihat kamu berada dalam keadaan yang bagus, Boss !”

Seperti diketahui umum, Ronaldo menganggap ikon dan juga pengurus legenda United, Sir Alex Ferguson sebagai ‘bapa’ dan mereka berdua mempunyai hubungan yang sangat rapat.

Ferguson merupakan individu yang bertanggungjawab membawa Ronaldo ke England pada tahun 2003 dan diberi kepercayaan untuk memakai jersi yang ditinggalkan seorang lagi pemain legenda, David Beckham yang berpindah ke Real Madrid.

Ferguson berjaya membentuk Ronaldo menjadi salah seorang pemain terbaik dunia sehingga memenangi anugerah Ballon d’Or buat kali pertama. Ronaldo juga berjaya menjulang 3 kejuaraan Liga Perdana Inggeris, Piala FA, Liga Juara-Juara Eropah dan Piala Kelab Dunia.

Air dicincang tidak akan putus

Akhirnya, takdir membawa Ronaldo ke Santiago Bernabeu dalam perpindahan rekod dunia ketika itu bernilai £80 juta. Kapten Portugal ini berjaya menambah 4 lagi Ballon d’Or dalam trofi kabinetnya disamping pelbagai kejuaraan di peringkat kelab.

Awal tahun ini menyaksikan Ferguson mengalami masalah kesihatan yang agak buruk dimana beliau terpaksa menjalani pembedahan mengejut untuk merawat penyakit ‘brain haemorrhage’.

Selepas menjalani proses pemulihan berbulan lamanya, Ferguson membuat kemunculan pertama di khalayak ramai pada bulan September ketika United menentang Wolves. Berdasarkan gambar terkini beliau dengan Ronaldo, kesihatan Ferguson sudah beransur pulih dan diharap keadaan ini akan terus berkekalan.

BACA:  Dua Aksi Dungu De Gea Hadiahkan Chelsea Gol Gratis