Mo Salah Lebih Hebat Berbanding Ronaldo Dan Messi Pada Ketika Ini

Tidak ada mana-mana pemain yang sehebat Mo Salah pada ketika ini, termasuklah Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi.

Ia merupakan dakwaan yang dilakukan oleh salah seorang bekas pemain Liverpool, yang merasakan Salah tiada tandingannya pada ketika ini.

Messi mencuri perhatian ramai pada minggu ini selepas kejayaan beliau meledak gol yang super cantik dan menakjubkan ketika membantu PSG menewaskan Manchester City kemarin.

Messi mempamerkan aksi persembahan yang sungguh mengagumkan ketika membantu PSG menewaskan City 2-0 dalam aksi saingan peringkat kumpulan B awal pagi semalam.

Cristiano Ronaldo turut berjaya mencuri perhatian ramai selepas beliau muncul sebagai penjaring gol kemenangan untuk Manchester United menewaskan Villarreal awal pagi tadi.

Bintang Portugal itu meledak gol di minit-minit akhir permainan, untuk membantu mengesahkan kemenangan 2-1 setan merah menewaskan Juara saingan Europa League musim lalu itu.

Sementara Mo Salah pula, beliau berjaya menjaringkan dua gol di Porto, ketika membantu Liverpool mencatatkan kemenangan 5-1 awal pagi semalam.

Pemain kebangsaan Mesir itu kini sudah berjaya menjaringkan lapan gol dari lapan penampilan untuk skuad kendalian Jurgen Klopp.

Bekas bintang Liverpool, Dean Saunders percaya tiada pemain sehebat Mo Salah dalam dunia bola sepak hari ini, dan turut merasakan The Egyptian King itu lebih bagus berbanding Messi dan Ronaldo.

“Sekarang, ketika kita sedang bercakap, siapa lebih bagus berbanding dia?”

Tanya Saunders di studio talkSPORT, sebelum beliau sendiri yang menjawab persoalan tersebut.

“Lapan gol dari lapan perlawanan dengan dia bermain di sayap kanan, dia bukan bermain di tengah. Dia memang nampak jelas sukar untuk dihentikan.”

“Kita ada Messi dan Ronaldo, yang mana mereka ada kehebatan masing-masing, tapi pada ketika ini, mereka tak sebagus Mo Salah.”

Permulaan karier Messi di Paris tidak seperti apa yang diharapkan dengan beliau hanya beraksi sebanyak empat perlawanan bersama PSG.

Beliau juga sering dibelenggu masalah kecergasan dan kecederaan sejak dari awal ketibaannya ke ibu kota Perancis itu.

Sementara Ronaldo pula, beliau memulakan kehidupan baru di Old Trafford dengan sangat sempurna, selepas bintang Portugal itu menjaringkan lima gol setakat ini.

Walau bagaimanapun, tahap persembahan Manchester United masih lagi belum mencapai standard mereka yang dibarisi oleh pemain-pemain berkelas dunia.

Ketika ditanya adakah beliau lebih memilih untuk memiliki Salah atau Ronaldo dalam skuadnya, Saunders menjawab:

“Kalau sekarang, Salah.”

“Sangat mudah untuk sebut nama Ronaldo, tapi pada ketika ini, Salah nampak seperti dia akan menjaringkan gol setiap minggu.”

Peter Crouch dan Joe Cole baru-baru ini turut memberikan pujian yang menggunung pada Mo Salah dan turut menganggap bintang Liverpool itu lebih hebat berbanding Messi.

Salah pada musim ini tidak dinafikan lagi sememangnya berada di tahap persembahan terbaiknya dan beliau juga merupakan nadi penting dalam membantu Liverpool untuk terus mencatat kemenangan.

Para penyokong Liverpool turut berharap agar bekas bintang Roma dan Fiorentina itu akan terus kekal di Anfield dan akan menandatangani perjanjian lanjutan kontrak.

Kontrak asal Mo Salah bersama Liverpool akan berakhir pada musim panas 2023 dengan The Reds pada ketika ini sedang berunding kontrak baru dengannya.

BACA:  "Saya 'Bunuh' Kamu"- Gurauan Salah Dan Jones Mencuri Perhatian Peminat