Messi Berjaya Menyamai Rekod Ronaldo, Namun Ia Dipecahkan Selepas 24 Jam

Lionel Messi berjaya menyamai rekod Champions League milik Cristiano Ronaldo awal pagi kemarin, namun ia tidak bertahan lama sebelum beliau kembali dipintas.

Duo legenda itu boleh dikatakan telah berkongsi hampir kesemua rekod yang ada dalam dunia bola sepak, dengan mereka turut mendominasi anugerah-anugerah individu yang ada dipertandingkan sejak lebih sedekad lalu.

Dek kerana silih berganti dalam mencipta rekod, para peminat sering memperdebatkan siapa lebih hebat antara mereka berdua berdasarkan rekod-rekod yang mereka pecahkan.

Terbaru, mereka sedang berebut untuk memegang rekod dalam saingan Champions League, untuk rekod menjaringkan gol bertemu pasukan berbeza terbanyak.

Selepas berjaya menjaringkan dua gol untuk Paris Saint Germain ketika menewaskan RB Leipzig 3-2, Lionel Messi telah menyamai rekod Ronaldo untuk menjaringkan gol bertemu 38 pasukan dalam saingan Champions League.

Walau bagaimanapun, belum sempat beliau memecahkan rekod tersebut, Cristiano Ronaldo kembali menjarakkan diri selepas kejayaan beliau menjaringkan gol bertemu pasukan ke-39 dalam saingan Champions League, Atalanta.

Kedua-dua mereka berjaya menjaringkan gol dalam membantu skuad mereka untuk bangkit dari ketinggalan.

Dalam situasi Messi, Paris Saint Germain ketinggalan 2-1 menjelang 30 minit terakhir sebelum perlawanan tamat, dengan bintang Argentina itu menjaringkan gol penyamaan, diikuti dengan penalti panenka yang sangat klinikal.

Ronaldo dan Manchester United sementara berdepan dengan tugas lebih berat, selepas mereka ketinggalan 2-0 pada aksi babak pertama bertemu Atalanta.

Walau ketinggalan, anak-anak buah Ole Gunnar Solskjaer itu akhirnya berjaya untuk sekali lagi melakukan aksi comeback, seterusnya mencatatkan kemenangan 3-2 menewaskan gergasi Serie A itu.

Marcus Rashford dan Harry Maguire berjaya untuk mencatat nama sebagai penjaring gol, sebelum Ronaldo meledak gol, seterusnya mengukuhkan rekod beliau yang hampir dipecahkan oleh Messi itu.

Ini merupakan pertama kali Cristiano Ronaldo menjaringkan gol bertemu Atalanta dalam saingan Champions League.

Manchester United berjaya mencatatkan kemenangan 3-2 menewaskan Atalanta, seterusnya meletakkan mereka di kedudukan pertama dalam saingan peringkat kumpulan F.

Selepas mencatatkan dua kemenangan dari tiga perlawanan awal dalam saingan Champions League, setan merah sepertinya antara pasukan paling berpotensi untuk mara ke pusingan kalah mati.

Mereka selepas ini akan sekali lagi bertemu Atalanta, dengan skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer itu bakal berkunjung ke Bergamo, pada awal bulan hadapan.

Walau bagaimanapun, melihat kepada prestasi tidak menentu Manchester United sejak beberapa perlawanan kebelakangan ini, ia sedikit membimbangkan para penyokong.

Walau bagaimanapun juga, dengan kelebihan yang mereka miliki pada ketika ini, agak jelas yang setan merah sangat berpotensi untuk mara ke pusingan kalah mati.

BACA:  Ali Daei Tidak Kisah dan Tidak Kecewa Jika Ronaldo Pecahkan Rekod Beliau