Lionel Messi rasminya telah menyertai Inter Miami. Pengumuman rasmi turut dibuat kelab tersebut.
Sebelum ini pemain Argentina itu dikaitkan dengan kepulangan semula ke Barcelona. Namun akhirnya dia telah memutuskan untuk menolak peluang tersebut dan menyertai Inter Miami.
Lionel Messi menegaskan dia tidak mahu kembali ke Barcelona kerana dia pernah melalui begitu banyak tekanan sepanjang di sana.
Dia dituduh dengan macam macam dakwaan tidak berasas sebelum ini termasuk daripada pihak La Liga.
Messi akui dia masih sayangkan Barcelona dan keluarganya sangat teruja apabila membaca laporan mengaitkan pemain itu mahu kembali semula ke Barca.
“Saya merindui segalanya tentang Barcelona. Saya mengikuti semua perlawanan mereka di tv. Saya gembira melihat Cules menjadi juara La Liga sekali lagi.”
“Keluarga saya sangat teruja apabila membaca berita menyatakan bahawa saya sedia kembali ke Barcelona.”
Messi menegaskan kini dia lebih matang dalam membuat keputusan selepas apa yang menimpanya dahulu. Dia kini membuat keputusan yang turut mengambil kira keluarganya.
“Namun ada banyak perkara yang perlu saya pertimbangkan.”
“Hakikatnya memang saya nak kembali, sangat teruja nak kembali ke sana. Namun selepas apa yang menimpa saya ketika saya terpaksa keluar daripada kelab itu, saya tidak mahu melalui kesakitan seperti itu lagi.”
“Kemudian saya memutuskan untuk bertenang dan menunggu pilihan lain. Saya nak buat keputusan untuk diri sendiri dan keluarga.”
Messi mengesahkan bahawa La Liga sanggup memberikan syarat khas kepada Barcelona jika kelab itu mahu mendapatkan Messi.
Messi menambah: “Saya dengar La Liga menerima segala yang dicadangkan Barca. Segalanya ok, namun masih ada banyak perkara harus dilakukan.”
“Saya mendengar Barcelona mahu menjual pemain dan mengurangkan gaji pemain lain. Dan sebenarnya, saya tidak mahu melalui situasi seperti itu [menyusahkan orang lain].”
“Lagipun sebelum ini saya sudah dituduh dengan macam macam fitnah dan tohmahan ketika saya di Barcelona. Itu membuatkan saya agak letih.”
“Saya dah muak nak melalui semua itu lagi. La Liga sendiri menyatakan mereka setuju untuk menerima saya semula [dengan syarat khas]. Tetapi ada banyak perkara perlu diselesaikan.”
Oleh sebab itu Messi menyatakan dia tidak mahu meneruskan rundingan dengan Barca. Kerana dia risau ia akan mengambil masa yang lama. Dia sebelum ini pernah membuat keputusan untuk dirinya sendiri dan terlepas pandang tentang keluarganya ketika dia datang ke PSG.
“Ya, saya risau perkara yang sama seperti sebelum ini akan berlaku lagi. Saya datang ke Paris dan tinggal di hotel bersama keluarga saya untuk tempoh sangat lama. Anak saya sepatutnya pergi ke sekolah namun terpaksa duduk di hotel.”
“Kali ini saya tidak mahu membuat keputusan untuk diri saya sendiri, kerana saya perlu memikirkan keluarga saya.”
“Saya akui, saya dan keluarga melalui 2 tahun yang tidak menyeronokkan [di Paris]. Saya cuma menikamti bulan bulan yang indah ketika menang Piala Dunia. Selain daripada itu, ianya fasa yang sukar.”
Lionel kemudian menjelaskan, segala pengalaman lalu membuatkan dia mahu mencari ketenangan dan kedamaian. Lagipun dia sudah mencapai segala yang dia mahukan di dalam kariernya. Terutama sekali Piala Dunia.
Maka Messi pun ke Amerika Syarikat.
“Saya sudah mencapai segalanya dalam karier saya, puji kepada Tuhan. Piala Dunia adalah perkara yang paling saya mahukan. Jadi, sekarang saya nak mencari tempat yang lebih tenang.”