Kapten Argentina, Lionel Messi mengakui beliau ‘terluka’ kerana gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika Argentina seri 1-1 menentang Iceland malam tadi dalam perlawanan pembukaan peringkat kumpulan D yang berlangsung di Stadium Spartak.
Pemain berusia 30 tahun tersebut melihat sepakan penalti beliau diselamatkan oleh penjaga gol Iceland, Hannes Halldorsson pada minit ke-64 ketika perlawanan terikat 1-1.
Kegagalan Messi menyudahkan sepakan penalti nyata membawa padah kerana Argentina buntu untuk mencari gol kedua dan sekadar mampu mencatatkan keputusan seri menentang negara terkecil pernah bertanding dalam sejarah Piala Dunia.
Ketika bercakap kepada wartawan selepas tamat perlawanan, Messi mengakui beliau agak terluka dengan kegagalan tersebut dalam perlawanan yang sepatutnya dimenangi Argentina dengan mudah.
“Sepakan penalti itu berpeluang mengubah skrip perlawanan. Ia merupakan satu kelebihan kepada Argentina.”
“Sudah tentu saya terluka kerana gagal menyudahkan penalti tersebut. Iceland mungkin membuka sedikit permainan mereka jika penalti itu masuk dan kami mungkin mendapat lebih banyak ruang untuk menjaringkan lebih banyak gol.”
“Saya berasa bertanggungjawab kerana tidak mampu memastikan Argentina mengutip 3 mata penuh. Tanpa ragu-ragu, gol daripada sepakan penalti tersebut mampu mengubah keputusan perlawanan.”
“Kami berasa sedikit terkilan kerana gagal mengutip 3 mata yang sepatutnya kami berhak dapat. Amat penting buat mana-mana pasukan untuk memulakan kempen Piala Dunia dengan kemenangan, jadi sekarang kami harus mengalihkan fokus terhadap Croatia pula. Kami harus melupakan episod luka ini dengan cepat.”
Messi dan sepakan penalti bukanlah ‘rakan baik’ sejak kebelakangan ini. Untuk rekod, beliau gagal menyempurnakan 4 dari 7 sepakan penaltinya ketika beraksi untuk Argentina dan Barcelona.
“Kami masih lagi belum melupakan impian kami walaupun seri perlawanan pertama. Pasukan ini masih mempunyai keazaman yang sama.” Tambah Messi lagi.
“Saya rasa kami berhak mencatatkan kemenangan. Kami bekerja keras mencari ruang untuk menembusi pertahanan Iceland tetapi kami gagal melakukannya.”
“Keputusan ini tidak akan mengganggu perjalanan Argentina selepas ini. Kami mempunyai beberapa hari untuk berehat dan melakukan persediaan untuk perlawanan yang seterusnya menentang Croatia.”
Argentina bakal bertemu Croatia selepas ini dalam perlawanan wajib menang sekiranya mereka mahu menghuni tangga teratas kumpulan. Croatia berada dalam prestasi terbaik selepas menjinakkan wakil dari Afrika, Nigeria 2-0 dalam satu lagi perlawanan kumpulan D yang berlangsung awal pagi tadi.
“Kami tidak merancang untuk mencatatkan keputusan seri dalam perlawanan pertama tetapi tiada pasukan yang akan membiarkan kamu menang dengan mudah. Piala Dunia kali ini bakal menjadi kejohanan yang sengit, setiap perlawanan bakal berlangsung dengan sengit.”