Mikel Arteta Calon Pilihan Gantikan Tempat Arsene Wenger

Bekas kapten Arsenal, Mikel Arteta merupakan calon pilihan untuk menggantikan tempat Arsene Wenger selaku pengurus Arsenal yang baru, menurut laporan terkini daripada Sky Sports.

Arsene Wenger bakal meninggalkan Arsenal hujung musim ini selepas 22 tahun menguruskan kelab tersebut. Beliau berjaya membimbing Arsenal memenangi 3 kejuaraan Liga Perdana Inggeris di samping menjulang 7 trofi Piala FA.

Calon hangat gantikan tempat Wenger walaupun tiada pengalaman. Arsenal dan kedekut tahik hidung masin berpisah tiada

Dalam perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris menentang Huddersfield hujung minggu lalu, Wenger menerima penghormatan daripada pasukan tuan rumah sebelum perlawanan bermula dan anak buah beliau juga memberikan hadiah perpisahan terbaik dengan mengutip 3 mata penuh dalam perlawanan tersebut.

Berkenaan pencarian pengurus Arsenal yang baru, Wenger berkata beliau memilih untuk tidak terlibat dalam pemilihan dan hanya akan memberikan pendapat sekiranya diminta berbuat demikian.

Ketua Pegawai Eksekutif Arsenal,Ivan Gazidis mahu pengganti Wenger yang bakal dibawa masuk tidak lama lagi memiliki ciri yang sesuai untuk mengetuai struktur baru kelab tersebut.

Arteta menyertai Arsenal dari Everton pada tahun 2011 bagi menggantikan tempat Cesc Fabregas yang berhijrah ke Barcelona. Beliau bermain untuk Arsenal selama 5 musim dan juga dilantik menjadi kapten Arsenal pada musim terakhirnya.

Dua tahun menuntut ilmu dengan Master Pep. Wenger-ball bakal berubah menjadi Tiki-Taka-Tiki-Tekuk

Beliau bersara sebagai pemain bolasepak pada tahun 2016 dan menyertai barisan kejurulatihan Pep Guardiola di Manchester City. Beliau berkhidmat sebagai pembantu kepada Guardiola sehingga sekarang dan musim ini menyaksikan Manchester City berjaya memenangi Liga Perdana Inggeris dan Piala Carabao.

Walaupun umum mengetahui Arteta tidak memiliki sebarang pengalaman dalam bidang pengurusan, Gazidis pernah berkata beliau tidak takut untuk melantik sesiapa sahaja yang dirasakannya sesuai untuk Arsenal.

Antara ciri penting yang harus ada pada pengurus baru Arsenal adalah beliau berminat untuk bermain bolasepak secara progresif, menghormati tradisi kelab, dan bersedia untuk membentuk bakat muda yang ada di Arsenal.

Walaupun musim Arsenal sudah berakhir, pihak atasan akan mengambil masa seketika sebelum mengumumkan pengurus Arsenal yang baru, besar kemungkinan sebelum bermulanya Piala Dunia musim panas nanti.

Musim ini menyaksikan kuasa Arsene Wenger selaku pengurus Arsenal semakin berkurang dengan pelantikan Raul Sanllehi sebagai Ketua Hal Ehwal Bolasepak dan Sven Mislintat sebagai Ketua Bahagian Pengambilan Pemain.

Allegri mengesahkan beliau akan terus kekal bersama Juventus. Melepassss…

Tindakan tersebut dilaporkan menjadi punca mengapa Wenger memilih untuk meninggalkan Arsenal lebih awal walaupun kontraknya masih berbaki 1 tahun.

Selain Arteta, beberapa nama lain seperti Julian Nagelsmann (Hoffenheim), Leonardo Jardim (Monaco) dan  Massimiliano Allegri (Juventus) turut dikaitkan dengan kerusi panas tersebut.

Terbaru, Hofenheim mengesahkan Nagelsmann ‘100%’ akan kekal bersama kelab tersebut musim hadapan selepas membimbing mereka menduduki tangga ke-3 Bundesliga musim ini, sekaligus mengesahkan tempat di peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan.

BACA:  [Video] Tindakan Terpuji Guendhouzi & Iwobinho Menceriakan Peminat Arsenal