Mino Raiola Namakan Empat Kelab Yang Boleh Disertai Erling Haaland, Sempat Ejek Manchester United

Ejen bola sepak terkemuka, Mino Raiola, telah mendedahkan bahawa pemainnya, Erling Haaland, berkemungkinan besar akan meninggalkan Borussia Dortmund, dengan beberapa kelab terkemuka Eropah sedia untuk berebut mendapatkan penyerang bintang ini.

Haaland telah menjadi satu nama yang cukup digeruni dan menjadi penyerang yang paling ditakuti di Eropah selepas menjaringkan 74 gol dalam 72 penampilan buat Dortmund, dan Raiola memberikan bayangan bahawa penyerang ini mungkin akan berpindah pada penghujung musim ini sambil menghina lembut pasukan Manchester United.

“Mungkin musim panas ini, atau musim panas lepas tu” ujar Raiola ketika ditanya Sport 1 tentang status perpindahan pemainnya itu.

“Tapi ada kemungkinan besar yang Haaland akan keluar pada musim panas paling dekat ni. Kita tengok macam mana.

“Bayern, Real, Barcelona dan City – ini adalah antara kelab besar yang dia boleh pergi.

“City dah menang lima kejuaraan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, lagi banyak daripada United. Bila mana kita berpindah ke Dortmund, kita dah tahu dah langkah ini akan tiba.”

Juara England, Manchester City, kini sememangnya sedang mencari seorang penyerang selepas gagal untuk mendapatkan penyerang utama England yang beraksi buat pasukan kelas dua di Liga Perdana Inggeris, Tottenham Hotspur. Dengan sejarah yang ada dalam darah Haaland, di mana ayahnya, Alf-Inge, pernah beraksi buat kelab milik billionair Dubai tersebut, kelebihan mungkin ada buat City.

Pada masa yang sama, Real Madrid juga turut mensasarkan pembelian pemain berprofil tinggi pada musim hadapan dengan penyerang muda sensasi Perancis, Kylian Mbappe, bakal menjadi ejen bebas apabila kontraknya bersama Paris Saint-Germain bakal tamat pada hujung musim nanti.

Pasukan yang pernah menjadi pencabar utama Real Madrid, Barcelona, pula dijangka tidak akan membuat sebarang tawaran atau bidaan terahadap Haaland memandangkan situasi kewangan kelab yang berada dalam keadaan yang sangat nazak ketika ini. Walaubagaimanapun, mereka mungkin mampu mendapatkan wang tambahan jika mampu menjual tiga pemain yang sudah tidak disukai oleh Xavi Hernandez selaku ketua jurulatih – Frenkie de Jong, Sergino Dest dan juga Marc-Andre Ter Stegen.

Walaubagaimanapun, fokus Haaland kini kekal di Bundesliga dan dia dijangka bakal diturunkan dalam saingan liga menentang Vfl Bochum di tempat lawan pada hari Sabtu. Dortmund kini berada di kedudukan kedua liga, mengutip 30 mata daripada 14 perlawanan, empat mata di belakang pendahulu liga, Bayern Munich.

Haaland sememangnya mempunyai susuk badan yang menakutkan selaku seorang penyerang. Gambar : SBNation

Jika perpindahan Haaland keluar dari Dortmund terjadi, dia dijangka bakal mencipta satu rekod perpindahan dunia. Sebelum ini tersebar khabar angin bahawa juara Liga Juara-Juara UEFA 2021, Chelsea, sedia untuk membida Haaland pada harga 175 juta Euro.

Walaubagaimanapun, Haaland berasakan bahawa nilai tersebut terlalu tinggi bagi seorang pemain.

Bercakap kepada wartawan Sky Sports pada musim panas lalu, Haaland berharap khabar angin itu adalah tidak benar dan dusta semata-mata.

“Sebelum hari semalam, saya sudah sebulan tidak bercakap dengan ejen saya,” ujarnya.

“Jadi kamu dah dapat jawapan dia. Saya harap semua ini hanya khabar angin, kerana ia melibatkan duit yang terlalu banyak untuk seorang manusia.”

“Apa yang paling penting sekali, saya masih ada baki tiga tahun dalam kontrak saya.”

“Saya menikmati masa saya di sini. Tapi sudah tentu piala juga penting kerana itu memang keutamaan saya.”

Bekas penyerang utama Red Bull Salzburg itu memenangi anugerah Pemain Terbaik Tahunan Bundesliga pada musim lalu, dan turut membantu Borussia Dortmund memenangi gelaran DFB Pokal.

Haaland meledak dua gol ketika aksi perlawanan akhir saingan DFB Pokal musim lalu bertemu RB Leipzig, seterusnya membantu BVB menamatkan saingan musim 2020-21 dengan satu piala.

Untuk rekod, Dortmund pada musim ini telah kehilangan seorang pemain utama mereka yang juga gandingan Haaland di bahagian serangan, Jadon Sancho, yang menyertai kelab England, Manchester United.

Permulaan Sancho di United dilihat agak sukar di mana dia langsung tidak menjaringkan gol mahupun menyumbangkan assist.

Walaubagaimanapun, sebaik sahaja pengurus Ole Gunnar Solskjaer dipecat, Sancho terus menjaringkan gol pertamanya pada musim ini menerusi satu rembatan padu ke penjuru gawang ketika United menewaskan wakil Sepanyol, Villareal, dalam perlawanan penting di Liga Juara-Juara UEFA.

Bermain di bawah pengendali sementara, Michael Carrick, Sancho sekali lagi mencatatkan nama selaku penjaring ketika pasukannya terikat 1-1 menentang Chelsea.

Sancho dijangka akan terus mendapat tempat dalam skuad United di bawah pengurus interim yang baru dilantik, Ralf Rangnick, di mana dia tampak selesa dengan posisi dia diturunkan dan mampu bermain dengan baik ketika menentang Crystal Palace.

Andai United mampu mengecapi kejuaraan sesuatu pada musim ini, mungkinkah kita akan menyaksikan gandingan semula Sancho dan Haaland di kelab yang pernah menguasai dunia suatu ketika dahulu ini?

Lagi pula, Rangnick sememangnya mengenali Haaland ketika pemain tersebut bermain di Red Bull Salzburg.

Sumber : Kitab Sukan

BACA:  "Barca Mana Ada Duit Beli Saya"- Haaland Label Barcelona Kelab Miskin