MotoGP: Hafizh Sasar Gelaran ‘Rookie of the Year’

Pendatang baru MotoGP, Hafizh Syahrin Abdullah telah menetapkan sasaran untuk meraih gelaran ‘Rookie of the Year’ musim ini.

‘Rookie of the Year’ merupakan gelaran yang dipertandingkan di antara pelumba yang baru memasuki kelas premier MotoGP.

Paling kurang rookie of the year musim ni

Termasuk Hafizh, terdapat 5 pelumba yang bersaing merebut gelaran tersebut musim ini. Pelumba tersebut adalah Franco Morbidelli, Tom Lüthi, Takaaki Nakagami, dan Xavier Simeon.

Hafizh yang memandu untuk Monster Yamaha Tech3 berjaya mempamerkan persembahan yang baik dalam perlumbaan MotoGP pertamanya di Qatar 2 minggu lalu. Beliau berjaya meraih 2 mata berharga selepas mengakhiri perlumbaan di tangga ke-14 keseluruhan.

Pelumba kelahiran Malaysia ini merupakan pelumba rookie ke-2 terbaik dalam perlumbaan di Qatar, hanya di belakang Morbidelli yang mengakhiri perlumbaan di kedudukan ke-12. Morbidelli merupakan juara Moto2 musim lepas dan dianggap calon pilihan untuk memenangi anugerah ‘Rookie of the Year’ musim ini.

Saingan MotoGP bakal bersambung minggu hadapan dengan para pelumba menuju ke Argentina.  Peminat Malaysia mempunyai kenangan indah di litar ini musim lalu selepas pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi berjaya menawan litar tersebut.

Morbidelli. Juara Moto2 musim lepas dan calon pilihan untuk meraih gelarang rookie of the year

Hafizh berkata beliau enggan berasa terlalu selesa dengan dua mata yang berjaya dikutipnya sebelum ini dan berazam untuk memperbaiki lagi persembahan beliau di Argentina. Apabila ditanya adakah beliau mensasarkan untuk memenangi gelaran ‘Rookie of the Year’ musim ini, Hafizh dipetik berkata:

“Saya rasa masih terlalu awal untuk bercakap mengenai perkara tersebut. Mungkin selepas 3 atau 4 perlumbaan, saya akan mempunyai jawapan untuk menjawab pertanyaan anda.”

“Gelaran tersebut amat diidamkan semua pelumba rookie yang beraksi dalam MotoGP. Saya memandang gelaran tersebut sebagai satu motivasi buat saya setiap kali berlumba.”

Walaupun berjaya mempamerkan pemanduan yang baik dalam perlumbaan pertamanya, Hafizh mengakui masih banyak perkara yang perlu dilakukannya untuk menyesuaikan diri dengan jentera yang lebih berkuasa dari apa yang biasa ditunggangnya di Moto2.

“Apa yang penting buat saya ketika ini adalah untuk cuba menghabiskan setiap perlumbaan kerana saya masih lagi pelumba baru dalam MotoGP. Semakin banyak pusingan saya habiskan, semakin banyak pengalaman saya kutip.”

Hafizh berharap mampu mengulangi pencapian berada di atas podium Moto2 , kali ini untuk MotoGP

“Saya akan cuba mengekalkan pemanduan yang konsisten sepanjang perlumbaan bagi membolehkan saya berada di kedudukan Top 10, Top 5 dan mungkin selepas itu saya mampu berada di atas podium.”

“Sudah tentu ia tidak akan berlaku dalam masa terdekat ini tetapi saya tahu ia tidak akan mengambil masa terlalu lama untuk saya berada di atas podium.”

“Kita telah membuktikan kepada dunia yang rakyat Malaysia juga mampu bersaing dan menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam semua kelas dunia permotoran.”

“Saya amat berharap mampu membuatkan Malaysia berasa bangga dengan pencapaian saya.”

BACA:  Kontrak Hafizh Syahrin Bersama Tech 3 Disambung Sehingga Tahun 2019