Mourinho: Burnley Mampu Cabar Slot Liga Juara-Juara

Pengurus Manchester United, Jose Mourinho berkata Burnley adalah salah satu pasukan yang mampu meraih slot ke pertandingan peringkat Eropah musim hadapan.

Burnley kini berada di tangga ke-7 Liga Perdana Inggeris dengan mengumpul 32 mata selepas 19 perlawanan, dan hanya ketinggalan 3 mata di belakang penghuni tangga ke-4, Liverpool.

Burnley mampu mencabar tempat Liverpool dan Arsenal

Prestasi yang dipamerkan Burnley musim ini amat menakjubkan memandangkan musim lepas mereka hanya mampu meraih 40 mata sepanjang musim.

Burnley yang dikendalikan oleh Sean Dyche telah berjaya meraih beberapa mata apabila bertemu pasukan ‘Top 6’ dan paling mengagumkan adalah mereka mampu meraih kemenangan apabila menewaskan Chelsea 3-2 di Stamford Bridge pada perlawanan pertama musim ini.

Burnely bakal berkunjung ke Old Tafford untuk berhadapan dengan pasukan pencabar liga, Manchester United dalam aksi Boxing Day hari ini.

Mourinho dipetik berkata dalam satu sidang media menjelang pertemuan ini, beliau kagum dengan prestasi yang ditunjukkan anak buah Dyche dan percaya Burnley adalah salah sebuah pasukan yang mampu meraih slot ke pertandingan Eropah musim hadapan.

“Saya kagum dengan prestasi Burnley. Jika target mereka adalah untuk kekal dalam liga, saya rasa mereka sudah mencapainya apabila melihat mata yang dikumpul mereka setakat ini.”

“Andainya objektif mereka adalah untuk berada dalam kelompok 10 atasan liga, saya rasa mereka akan berjaya melakukannya. Jika mereka mahukan slot ke pertandingan Eropah, Burnley adalah pasukan yang akan bersaing merebut slot tersebut. Jadi mereka adalah lawan yang sukar buat kami.”

“Apabila kamu melihat objektif asal mereka dengan apa yang telah dicapai mereka setakat ini, mereka sudah mengharungi musim yang amat bagus.”

Salah satu faktor kejayaan Burnley musim ini adalah keutuhan barisan pertahanan mereka. Burnley mempunyai rekod pertahanan ke-4 terbaik liga musim ini, di belakang pasukan Manchester City, Manchester United dan Chelsea.

Pertahanan yang kental banyak membantu Burnley

Mereka hanya melepaskan 15 gol dalam liga setakat ini dan Mourinho percaya pasukannya bakal berdepan tugas getir untuk menembusi tembok pertahanan skuad yang digelar ‘The Clarets’ ini.

“Saya percaya rekod pertahanan mereka menunjukkan betapa bagusnya pasukan itu ketika ini. Mungkin Burnley telah melepaskan 3 gol dalam perlawanan terakhir mereka, tetapi sebelum itu pasukan mereka bertahan dengan cukup baik.”

“Semua orang sudah tahu corak permainan mereka. Jika kamu mahu Burnley bermain bolasepak yang kreatif dan cantik, mereka bukan pasukan yang anda cari.”

“Tetapi jika anda mahu bercakap mengenai pasukan yang bermain mengikut objektif, dan menggunakan kekuatan yang ada sebaik mungkin, Burnley adalah pasukan yang anda cari.”

BACA:  "Tiga Daripada Empat Pemain Paling 'Rosak' Masih Ada Di Man Utd"- Mourinho