Naby Keita Tolak Tawaran Barcelona & Bayern Munich Kerana Mahu Sertai Liverpool

Pemain tengah baru Liverpool, Naby Keita mendedahkan beliau menolak tawaran beberapa kelab besar seperti Bayern Munich dan Barcelona untuk bekerjasaman dengan Jurgen Klopp di Anfield.

Faktor Klopp menjadi punca utama mengapa Keita memilih untuk beraksi dengan Liverpool walaupun beliau perlu menunggu hampir setahun sebelum dibenarkan berpindah.

Keita tolak Barcelona dan Bayern Munich kerana mahu merasai pelukan Jurgen Klopp

Liverpool dan RB Leipzig mencapai persetujuan mengenai perpindahan Keita pada tahun lepas lagi dengan yuran perpindahan dianggarkan berjumlah  £48 juta ($64 juta). Walaupun harga telah dipersetujui, kedua-dua kelab bersetuju Keita hanya akan berpindah ke Anfield pada musim panas 2018 kerana penyertaan Leipzig dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah pada musim lepas.

Selepas menunggu sekian lama, Keita akhirnya sah menjadi pemain Liverpool pada 1 Julai lalu dan bakal bergandingan dengan seorang lagi pemain baru, Fabinho disamping kapten pasukan, Jordan Henderson.

Dalam satu temu bual eksklusif bersama Guardian, Keita mendedahkan punca sebenar beliau memilih untuk menyertai Liverpool walaupun turut menerima tawaran dari gergasi Eropah yang lain.

“Memang betul ada beberapa kelab besar lain yang berminat untuk mendapatkan saya. Tetapi apa yang menjadi faktor utama dalam keputusan saya adalah peranan jurulatih. ”

Selepas lama menunggu, Keita akhirnya bergelar pemain Liverpool awal bulan ini.

“Kami berbincang dengan baik. Perkataan yang beliau keluarkan ketika bercakap dengan saya mengenai projek di Liverpool benar-benar meyakinkan saya untuk datang ke sini. Saya boleh lihat Liverpool sedang berkembang dan saya juga bercakap dengan Sadio Mane mengenainya.”

“Sadio seperti seorang abang bagi saya. Kami bermain bersama selama 9 bulan di Red Bull Salzburg dan membina hubungan yang akrab. Kami berkawan baik sejak daripada itu.”

“Sadio beritahu saya betapa bagusnya Liverpool dan bagaimana kelab ini sedang berkembang dan mempunyai potensi yang besar.”

Keita mempunyai reputasi sebagai seorang pemain tengah yang gemar mengutip kad merah ketika beraksi di Bundesliga. Akan tetapi, Keita percaya beliau tidak akan berdepan masalah tersebut di Liga Perdana Inggeris kerana tahap fizikal yang tinggi di England.

“Saya tidak rasa aspek fizikal dalam permainan saya akan membawa impak negatif kepada pasukan. Saya kerap menonton aksi Liga Perdana Inggeris dan saya juga sudah terlibat dengan perlawanan persahabatan sebelum musim baru bermula. Saya akan menyesuaikan diri dengan liga ini. Saya jenis pemain yang suka memenangi bola dari kaki pihak lawan.”

Seorang lagi pemain mahal Liverpool.

“Saya juga seorang pemain yang memiliki mentaliti seorang juara. Saya mempunyai keinginan yang besar untuk bergelar pemenang. Sebab itulah saya seorang yang aggresif dalam cara yang positif di atas padang.”

Keita dan Fabinho sudah melakukan debut bersama Liverpool dalam perlawanan pra-musim kedua Liverpool ketika menentang Chester hujung minggu lalu, yang berakhir dengan kemenangan 7-0 berpihak kepada Livrpool.

BACA:  Liverpool Lancar Bidaan Rekod Dunia Untuk Dapatkan Penjaga Gol Brazil